SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Rabu, 20 April 2011

Institusi raja akan dipertahan!

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengulangi ikrar akan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu daripada sebarang tindakan menghina, apatah lagi mahu meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama berakar di bumi ini.

Baginda bertitah, sebagai payung negeri, institusi raja perlu berpendirian tegas memastikan takhta kekal berada di atas politik.

“Tugas tersebut bukanlah ringan. Ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kedewasaan.

“Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum, agama, ditambah pula komposisi warga muda yang bertambah bilangannya, memiliki pelbagai idealisme di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, pada hari ini pemahaman warga terhadap institusi raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai kewujudannya dan ada pula yang kabur dengan peranannya.

Sehubungan itu titah baginda, menjadi tanggungjawab raja pemerintah untuk memperlihatkan kepada warganya kepentingan institusi raja terutama dalam memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Titah baginda lagi, pada masa ini institusi raja sedang melalui satu lagi evolusi hasil daripada suasana dinamik politik tempatan.

Bagaimanapun baginda yakin dengan pengalaman dan hikmah Sultan Azlan Shah serta raja-raja Melayu, institusi raja di bumi ini akan menemui paksi baru bagi melakarkan peranan yang lebih relevan dalam era semakin berubah.

DAULAT TUANKU!

Gangga Negara..

Selasa, 19 April 2011

Selamat Menyambut Hari Keputeraan ke 83.


Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini menyeru rakyat agar mengamalkan budaya politik yang berteraskan kesederhanaan dan mengutamakan perpaduan demi menjamin serta mempertahankan sistem kerajaan berasaskan amalan demokrasi.

Titah baginda, rakyat harus mengelak daripada menjadikan isu sensitif yang menyentuh kaum dan agama sebagai modal politik untuk mendapat pengaruh.

"Tidak akan berlaku stabiliti politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan dapat disuburkan ekonomi negara tanpa stabiliti politik. Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu kaum dan agama dipilih untuk disensasikan,” titah baginda.

Sultan Azlan bertitah demikian pada istiadat mengadap sembah setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena sambutan ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Iskandariah di sini.

Baginda juga menasihatkan rakyat agar mencari jalan penyelesaian yang membawa situasi ”menang-menang” kepada semua pihak agar tidak timbul pertelingkahan berterusan.

DAULAT TUANKU!

Gangga Negara..

Rabu, 13 April 2011

Nizar Bintang Tiga 'gila meroyan' di sidang DUN Perak!

Nizar dakwa polis pantau sidang DUN

Pembangkang mendakwa polis memasang satu gajet canggih bagi merakamkan perjalanan Persidangan DUN Perak yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, alat elektronik yang besar itu dipasang pagi tadi dan ditanggalkan selepas perasmian sidang DUN.

"Polis ada bawa satu alat elektronik besar iaitu satu gajet moden dan dipasang pagi tadi. Ia merupakan alat untuk rakam segala apa yang berlaku," katanya.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendakwa, terdapat lebih 100 polis berkawal pada persidangan DUN Perak hari ini.

Ini le jadinya bila orang udoh takut dengan bayang-bayang deme..!!!..entoh le kome..!!!

Gangga Negara..

Ahad, 3 April 2011

Berjaya pulih keyakinan rakyat!

Semalam adalah hari ulang tahun kedua Malaysia diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gaya kepimpinan beliau yang cukup dinamik. Pelbagai perkembangan menarik telah berlaku sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 iaitu ketika negara ini diwarnai dengan pelbagai rencah tidak menentu akibat dilanda tsunami politik selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Najib telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat, terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan iaitu pengundi.

Perkara itu diakui baru-baru ini oleh bekas penasihat ekonomi dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin apabila beliau memuji usaha Najib membina kembali keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan kerajaan persekutuan.

Barangkali, antara inisiatif paling menyerlah yang diambil oleh Najib untuk membina keyakinan rakyat ialah pelaksanaan konsep 1Malaysia yang begitu inklusif sifatnya dan membawa harapan baru dalam segenap bidang, terutama bagi mereka yang selama ini berasa tersisih akibat pelaksanaan dasar yang dianggap bersifat menindas.

Benarlah, harapan serta tindakan afirmatif merupakan penawar yang amat mujarab bagi mereka yang terluka hati kerana menganggap diri mereka menjadi mangsa kepada perbuatan yang tidak rasional dan saksama.

Sebagai pemimpin, Najib sentiasa melihat kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik — Melayu, Cina, India, Dayak, Iban, Kelabit, Orang Ulu, Bidayuh, Kadazan atau Murut sebagai satu sumber kekuatan bagi negara ini.

Beliau sering berkata: "Apa yang menjadikan Malaysia ini unik ialah kepelbagaian rakyatnya. Matlamat 1Malaysia adalah untuk memulihara dan memperkukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian ini, yang sejak sekian lama menjadi kekuatan kita dan terus menjadi harapan kita untuk masa akan datang."

Beliau juga sering mengulangi kata-kata berikut: "Setiap orang daripada kita walaupun mempunyai perbezaan, berkongsi cita- cita yang sama iaitu untuk menikmati hari esok yang lebih sejahtera.

Setiap orang daripada kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan persefahaman."

Kata-kata beliau itu sepatutnya sentiasa tersemat di sanubari seluruh rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya mereka membantu orang lain, bukan sekadar bersikap manis di mulut sahaja atau hanya berinteraksi dengan kaum atau masyarakat sendiri sahaja.

Apa yang membanggakan ialah contoh terbaik bagi konsep 1Malaysia ini diperlihatkan oleh Najib sendiri melalui sekian banyak tinjauan mesra yang beliau lakukan untuk mendampingi rakyat pelbagai kaum dan masyarakat di negara ini. Walaupun menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib tidak berasa kekok apabila melawat pasar, rumah panjang dan kampung yang jauh di pedalaman, gerai di tepi jalan, hospital atau di mana jua untuk bertemu dengan orang ramai dan memberitahu mereka bahawa keadaan akan bertambah baik sekiranya setiap orang sanggup berbakti dan memberi sumbangan kepada negara.

Untuk memastikan jentera kerajaan dapat memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada orang ramai, beliau memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk pelbagai kementerian.

Walaupun ia dipandang dengan penuh kesangsian oleh sesetengah pihak pada peringkat awalnya, namun selepas setahun dilaksanakan, GTP telah membawa begitu banyak kejayaan apabila berjuta-juta rakyat negara ini memperoleh nikmat daripadanya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Untuk julung kalinya dalam tempoh empat tahun, indeks jenayah negara ini telah menurun sebanyak 35 peratus dan jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 15 peratus, penurunan terbesar secara perbandingan antara tahun dalam sejarah Malaysia. Tahun lalu juga menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian tertinggi dalam pendidikan apabila 700,000 kanak-kanak mendapat pendidikan awal dan jumlah mereka yang mampu membaca dan mengira menunjukkan peningkatan yang amat ketara.

Jumlah biasiswa yang diberi juga meningkat serta lebih saksama di bawah pentadbiran Najib dan perkara ini menghapuskan perasaan tidak puas hati pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta ibu bapa mereka. Najib sering berkata kerajaan menganggap biasiswa sebagai suatu pelaburan, bukan perbelanjaan dan menegaskan bahawa pemberian itu akan mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar.

"Apabila kita terus membuat pelaburan untuk rakyat, negara kita akan menjadi lebih berdaya saing," katanya sambil menambah oleh kerana Malaysia sedang melangkah ke arah menjadi negara maju, kunci utama kejayaannya terletak pada rakyat sendiri.

Duta Besar Jordan ke Malaysia Maher A. Lukasha memberitahu Bernama bahawa sokongan yang diberi kerajaan Malaysia terhadap bidang pendidikan merupakan suatu usaha positif untuk rakyat negara ini dan Raja Abdullah 11 ibn Al Hussein dari negara beliau mengibaratkan pendidikan sebagai 'perisai yang melindungi sesebuah negara'. Dalam bidang pembanterasan rasuah pula, langkah kerajaan menggubal Akta Pemberi Maklumat pada tahun lalu merupakan suatu usaha yang sungguh bermakna.

Langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah di negara ini dan meningkatkan lagi keyakinan suruhanjaya itu dalam menangani jenayah rasuah seperti yang terbukti baru-baru ini apabila ia berjaya menahan beberapa pegawai kastam bersama hasil yang mereka peroleh secara haram.

Mengenai pengangkutan awam bandar pula, dalam tempoh setahun lepas, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) ialah 2.34 juta, manakala jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas transit pula meningkat 192 peratus.

Lebih dua juta penduduk luar bandar pula mendapat manfaat daripada pembinaan 750km jalan raya baru, di samping bekalan elektrik dan air bersih yang disalurkan kepada 36,723 isi rumah dan pembinaan serta pembaikan yang dilakukan terhadap 16,962 rumah di kawasan terpencil. Jumlah isi rumah yang tergolong sebagai miskin tegar juga menurun 99 peratus.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen menyifatkan Najib sebagai penyelesai masalah. Diplomat kelahiran Pahang itu, yang dianugerahi Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang pada tahun lepas, berkata GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) mencerminkan kesungguhan Najib menangani isu serius secara berdepan untuk memastikan hasilnya tercapai.

"Beliau adalah pemimpin yang berorientasikan hasil," kata Jasudasen.

Di bawah kepimpinan Najib, kerajaan telah melakukan pembaharuan dalam banyak bidang dan beliau sendiri yakin lebih banyak kejayaan akan dicapai pada masa akan datang.

Sesungguhnya, dengan kehadiran Najib sebagai pemimpin, penyatu, penunjuk teladan dan pembawa perubahan, Malaysia memang mampu mencapai semua itu dan barangkali, bukan sesuatu yang keterlaluan jika dikatakan bahawa ungkapan keramat 'Malaysia Boleh' adalah seiring dan senada bunyinya dengan ungkapan 'Najib Boleh'.

Gangga Negara..