SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Sabtu, 19 Jun 2010

Roket Patah : 'Perjanjian RM5 juta sengaja diadakan'!

DAP yang kononnya memperjuangkan demokrasi sebenarnya parti autokratik kerana sanggup menggunakan ugutan untuk menghalang wakil rakyat mereka daripada keluar parti.
Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Bebas di negeri ini menyelar tindakan DAP mahu menguatkuasakan surat perjanjian mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Menurut mereka, tindakan itu mempunyai unsur-unsur ugutan dan paksaan yang sama sekali bertentangan dengan amalan demokrasi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, tindakan DAP itu lebih menjurus pada agenda individu tertentu kerana mereka yang enggan mengikut agenda tersebut perlu membayar ganti rugi. Katanya, apa yang dilakukan DAP itu langsung tidak sesuai kerana wakil rakyat tidak sepatutnya membuat keputusan mengikut arahan pimpinan parti secara paksa.

"Jika DAP boleh memaksa wakil rakyatnya yang merupakan pimpinan parti itu, sudah tentu mereka akan paksa rakyat pula apabila mereka dapat memerintah negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan DAP yang mahu menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Perjanjian itu dikatakan ditandatangani oleh semua wakil rakyat DAP selepas Pilihan Raya Umum 2008 bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan. Pengerusi Kelab ADUN BN Perak, Datuk Nadzri Ismail pula berkata, tindakan DAP menggunakan surat perjanjian itu seolah-olah parti tersebut mahu mewujudkan akta lompat parti yang tidak diamalkan di negara ini dan juga di negara-negara maju.

Katanya, cara DAP itu tidak demokratik langsung kerana menggunakan ugutan untuk menghalang lebih ramai wakil rakyatnya mengikut jejak ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Jelapang, Datuk Hee Yit Foong menyertai Bebas. "Ini bermakna DAP tidak demokratik sebenarnya sehingga sanggup melaksanakan unsur-unsur ugutan kepada ahli mereka.

"Ini juga menunjukkan DAP takut lebih ramai ahli dan pemimpinnya keluar parti kerana kita tahu generasi mudanya memang bersifat terbuka apabila melihat perubahan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak seperti pemimpin lama DAP yang bersifat autokratik," katanya.

Sementara itu, ADUN Kawasan Lintang, Datuk Ahmad Pakeh Adam menyifatkan tindakan DAP menggunakan surat perjanjian tersebut lebih teruk daripada diktator. Beliau juga percaya surat perjanjian itu sebenarnya tidak wujud dan sengaja diadakan-adakan untuk menakutkan wakil rakyat DAP daripada keluar parti.

"Tindakan DAP ini lebih daripada diktator kerana kalau diktator, dia beritahu kita bila hendak pancung tetapi DAP ini tidak, dia akan pancung tanpa bertanya. "Apa yang dilakukan oleh DAP ini sama sahaja dengan Pas yang menggunakan sumpah bai'ah jatuh talak ke atas isteri jika lompat parti," katanya.

Sementara itu : Lompat parti - Ganti rugi RM5 juta DAP tidak sah.

Langkah DAP Perak menguatkuasakan syarat ganti rugi RM5 juta bagi memastikan wakil rakyatnya tidak keluar parti adalah amat bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan seperti mana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan setiap individu berhak memilih persatuan atau parti politik yang hendak disertai atas nama kebebasan untuk berpersatuan.
Justeru, beliau yang juga pakar Perlembagaan Persekutuan menegaskan, wakil rakyat yang dikehendaki membayar sejumlah itu kerana meninggalkan DAP tidak perlu mematuhi syarat tersebut kerana ternyata ia tidak sah.

"Syarat ini amat menghairankan saya kerana setiap individu telah diberi kebebasan untuk memilih mana-mana persatuan dan parti yang ingin mereka sertai. Mereka bebas untuk masuk atau keluar mana-mana persatuan.

"Ini adalah jaminan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Persatuan atau parti politik tidak berhak untuk mengenakan syarat sama ada menyekat untuk masuk atau keluar seperti mana yang dilakukan oleh parti DAP,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan DAP Perak menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu. Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008 bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

"Kita telah memutuskan perjanjian itu perlu ditandatangani setiap calon yang dipilih mewakili DAP pada ketika itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.

Gangga Negara..

Ahad, 13 Jun 2010

Pas perlu ganti nama baru!

Pas harus menggugurkan perkataan Islam dari singkatan nama parti itu yang digunakan sejak penubuhannya berikutan keputusan membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, keputusan itu berbeza dengan ideologinya yang mengutamakan prinsip Islam termasuk tidak melantik pemimpin dari kalangan bukan Islam.

“Tiada gunanya jika wakil mereka bukan Islam. Lebih baik bertukar kepada nama yang lebih nasional dan mudah diterima kaum lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan parti itu dalam Muktamar Tahunannya ke-56 di Kota Bharu semalam di mana calon bukan Islam akan dipilih dari ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang ditubuhkan parti itu kepada bukan Islam tetapi menyokongnya. Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kebenaran itu diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas iaitu badan tertinggi dalam parti itu.

Malah, katanya, calon akan dikenakan syarat agar tidak melompat parti dan hanya dibenarkan bertanding di kawasan yang bukan bermajoriti Melayu. Mengulas lanjut, Zainal berkata, keputusan pasti disukai PKR dan DAP kerana menjadikan Pas lebih liberal berbanding sebelum ini. Ia selari dengan prinsip kedua-dua rakannya itu dalam pakatan pembangkang.

“Bagaimanapun, mungkin wujud kalangan penyokong setia parti yang tersentak dan akan memberontak agar keputusan ini dibatalkan,” jelas beliau. Zainal tidak menolak keputusan itu merupakan perancangan jangka panjang Pas untuk menjadi sebuah parti yang nasional dan tidak terikat dengan pihak lain.

Penganalisis politik, Professor Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud berpendapat, keputusan itu pastinya sesuatu yang pahit hendak ditelan dan tidak dijangka oleh penyokong setia sejak sekian lama. Menurutnya, pendekatan itu mungkin merupakan hasil perbincangan berpanjangan oleh pemimpinnya selepas pilihan raya umum lalu yang mencerminkan politik negara tidak lagi dibezakan dengan sesuatu kaum atau agama. “Mereka menyaksikan bagaimana Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh P. Kamalanathan walaupun majoriti kawasan itu adalah Melayu,” katanya.

Kata beliau, dahulunya Pas merupakan pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) tetapi kini mereka sudah kehilangan taring khususnya selepas penyertaan mereka di dalam pakatan pembangkang. “Pas merasakan mereka ketinggalan berbanding PKR dan DAP, maka keputusan ini diambil agar mereka kembali terserlah dan bersuara dalam arena politik Malaysia,’’ ujarnya.

Tambahnya, keputusan itu mungkin dipengaruhi dengan keterbukaan beberapa pemimpin Pas terutamanya golongan muda yang terdidik melalui konsep perpaduan sejak di bangku sekolah.

Gangga Negara..

Selasa, 8 Jun 2010

Buat penilaian yang adil terhadap polis - Sultan Perak!

Sultan Azlan Shah melawat pameran sambil diperhatikan Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan (kiri) sempena majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Parit, Perak.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan masyarakat supaya membuat penilaian secara adil terhadap peranan dan sumbangan pasukan polis di negara ini. Baginda bertitah, perkhidmatan polis akan menjadi lebih berkesan jika masyarakat memberi dorongan, memperlihatkan simpati serta bersikap adil dan seimbang terhadap pasukan itu.

''Dalam memenuhi tanggungjawab yang begitu berat serta dengan bilangan anggota yang begitu ramai, sudah tentu ada sebilangan kecil anggota melakukan perkara yang mencalarkan nama baik pasukan, namun, masyarakat hendaklah bersikap adil dalam membuat penilaian.

''Jangan sampai mencurahkan susu sebelanga kerana nila setitik. Dalam menyiarkan cerita buruk, jangan sama sekali dinafikan cerita baik," titah baginda semasa merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

Baginda bertitah, masyarakat mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap insiden jenayah yang kejam tetapi mereka juga perlu menyedari bahawa polis bukan pencetus kejadian tersebut. Titah baginda, kejadian jenayah boleh bermula di peringkat awal apabila institusi keluarga dan sekolah tidak melaksanakan disiplin secara ketat.

''Tolak ansur yang keterlaluan terhadap kerenah anak-anak ketika melalui usia formatif memberikan nilai yang salah. ''Ini kerana anak-anak merasakan mereka boleh terlepas daripada hukuman apabila diberikan pembelaan keterlaluan meskipun telah melanggar disiplin dan peraturan sekolah.

''Nilai yang salah dari asuhan yang salah akan melahirkan produk yang salah dan akibatnya, negara dan warga yang terpaksa menanggung beban di kemudian hari," titah baginda. Sultan Perak bertitah, membasmi jenayah adalah usaha kolektif yang perlu dilakukan secara berintegrasi antara pelbagai institusi merangkumi keluarga, sekolah, masyarakat dan agama.

''Tugas polis akan lebih berkesan jika tanggungjawab secara kolektif dapat dilaksanakan. Tiada guna menambah bilangan anggota polis jika bilangan calon penjenayah turut bertambah," katanya. Pada masa sama, baginda bertitah, pasukan polis hendaklah sentiasa mempertahankan imej pasukan dengan komitmen untuk membina satu perkhidmatan yang cukup berdisiplin.

''Kaedah komunikasi awam dan media perlu dilaksanakan secara lebih berkesan supaya pasukan sentiasa diberikan gambaran positif serta mendapat sokongan rakyat," titah baginda. Pembinaan kompleks IPD Perak Tengah dimulakan pada 21 Ogos 1999 dan dijangka siap pada 7 Ogos 2001 tetapi terbengkalai disebabkan kegagalan pemaju.

Selepas pelantikan pemaju baru pada 2006, projek tersebut siap pada 2008 dengan kos hampir RM59 juta. Kompleks tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk lima banglo untuk pegawai yang diwartakan, 12 banglo semi D untuk pegawai berpangkat inspektor dan 122 rumah teres untuk anggota pelbagai pangkat.

Gangga Negara..

Sabtu, 5 Jun 2010

SEMOGA DILINDUNGI ALLAH



TUANKU Mizan Zainal Abidin mengaminkan doa selepas menunaikan solat Jumaat dan hajat untuk misi bantuan di Gaza di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam menyertai hampir 10,000 jemaah menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan para sukarelawan dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Solat sunat selepas solat Jumaat itu diketuai Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan disertai umat Islam pelbagai bangsa dari dalam dan luar negara.

Solat hajat untuk sukarelawan Gaza turut diadakan di beberapa masjid lain di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam bagi memohon perlindungan dan keberkatan Allah dalam meneruskan misi mereka membantu rakyat Palestin.
Gangga Negara..

Ahad, 30 Mei 2010

Samy Vellu : Berundurlah demi kaum India!

SEPANJANG pertemuan wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID dengan bekas Naib Ketua Pemuda MIC, V. MUGILAN, beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon. Pesanan ringkas juga bertalu-talu masuk ke telefon bimbitnya. Beberapa orang yang melintasi tempat kami bertemu, berhenti dan bersalaman dengan beliau sambil menyatakan sokongan terhadap usahanya membentuk Gerakan Anti Samy (GAS). Terpacul perkataan ‘perubahan’. Mereka tidak saling kenal mengenal, gerakan itu seolah-olah telah menyatukan mereka. Pemuda berusia 35 tahun itu nekad. Biar apa pun terjadi, beliau tidak mempunyai pilihan selain memastikan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Velly berundur.

Bagi Mugilan, masa yang terbaik untuk bekas Menteri Kerja Raya itu meletakkan jawatan adalah ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur dari kerajaan dan UMNO. Malangnya Samy Vellu tidak berbuat demikian menyebabkan masyarakat India di negara ini terpaksa menolak beliau dan MIC dalam Pilihan Raya Umum 2008. Dalam temuramah dengan bekas Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. SUBRAMANIAM pula, pemimpin yang lebih dikenali dengan nama Barath Maniam itu yakin MIC tidak akan menjadi relevan jika Samy Vellu terus menjadi pemimpin tertinggi. Malah beliau secara berterus terang memberitahu bahawa pemimpin yang pernah disebut-sebut sebagai hero kaum India kini bertukar menjadi zero.

Mugilan dan Subramaniam sependapat, cukuplah 31 tahun Samy Vellu menerajui MIC. Jika 18 tahun Tun V. Sambanthan menjadi Presiden disifatkan terlalu lama oleh Samy Vellu, maka angka 31 tahun sudah tentunya sangat lama sehingga menimbulkan rasa muak dan marah kaum India.


MINGGUAN: Mengapa desakan supaya Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan timbul secara tiba-tiba?

MUGILAN: Perkara ini bukan timbul tiba-tiba. Saya melihat sejarah MIC. Kira-kira 30 tahun lalu Samy Vellu pernah mendesak Presiden MIC ketika itu mendiang Tun V. Sambanthan meletakkan jawatan atas alasan memegang jawatan terlalu lama. Walhal Tun Sambanthan hanya memegang jawatan itu selama 18 tahun sahaja berbanding Samy Vellu iaitu 31 tahun. Segala projek yang dijalankan oleh Sambanthan berjaya seperti terlibat dalam proses kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan pemimpin negara lain. Beliau bersama pemimpin lain berjaya membuka jalan kehidupan baru kepada masyarakat India dengan terlibat dalam membawa satu formula keharmonian antara kaum di negara ini. Selain itu beliau juga berjaya menubuhkan National Land and Finance Cooperative Society (NLFCS). Ini berlaku selepas insiden 13 Mei 1969 di mana orang Inggeris yang memiliki tanah estet menjual tanah mereka kerana mahu balik ke negara asal. Ketika itu ramai orang India menetap di dalam estet. Oleh kerana bimbang mereka hilang mata pencarian Sambanthan telah menubuhkan satu koperasi. Beliau telah mengutip RM10 daripada pekerja estet dan berjaya membeli ladang-ladang itu. Mereka kemudiannya menjadi pemilik ladang-ladang berkenaan. Inilah jasa yang paling besar oleh Sambanthan dan ia masih berjaya sehingga hari ini. Namun Samy Vellu telah mendesak Sambanthan meletakkan jawatan kerana terlalu lama memegang jawatan. Sekarang saya pula membuat perkara yang sama kerana perbezaan yang jelas dari segi sumbangan Samy Vellu yang memegang jawatan terlalu lama berbanding Sambanthan.

Apa sebenarnya corak kepimpinan Samy Vellu?

MUGILAN: Jika kita lihat Samy Vellu telah menghasilkan satu formula untuk terus 'mengikat' masyarakat India. Selepas menjadi Presiden, Samy Vellu telah menubuhkan Maika Holdings Berhad (Maika). Beliau telah mewajibkan kuota untuk dipenuhi sebagai contoh Naib Presiden kena cari RM300,000, ketua negeri dan ketua cawangan pula perlu mencari derma pada jumlah tertentu. Kerja mereka ketika itu adalah untuk mengutip duit selama dua tahun. Jika ada masalah ketua-ketua ini tidak berani nak kemukakan kepada presiden kerana kuota mereka masih belum dipenuhi. Kemudian Samy Vellu mengetengahkan idea dan konsep yang sama dalam beberapa projek lain dan terakhir sekali pembinaan Kolej Perubatan AIMST. Dalam tempoh 31 tahun beliau mengarahkan pemimpin-pemimpin MIC untuk mencari derma. Dalam kepala pemimpin ini telah diterap satu formula jangan bagi beliau apa-apa masalah atau idea. Untuk penubuhan AIMST ketua cawangan perlu mendapatkan RM11,000. Kalau tak dapat tutup cawangan. Jadi ketua-ketua ini tertekan untuk mendapatkan jumlah yang ditetapkan. Keadaan itu menyebabkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India tidak sampai kepada kepada presiden kerana terlalu memberi perhatian kepada jumlah kuota yang perlu diperoleh. Bagi saya formula ini lebih kepada memperbodohkan ketua cawangan dan bahagian supaya dalam kepala mereka jangan bawa isu atau masalah rakyat kepada Presiden. Ini mengakibatkan hubungan antara Presiden, pemimpin dan masyarakat bawahan tidak akrab.

Kenapa kaum India di negara ini masih ramai yang mundur walaupun negara semakin maju?

MUGILAN: Jika kita lihat pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah masa paling gemilang. Ekonomi kita berubah dari negara pertanian kepada perindustrian dan ketika itu banyak estet yang telah dimajukan. Malangnya Samy Vellu tidak menggunakan peluang itu untuk memajukan kaum India. Mereka berpindah dari estet ke kawasan setinggan. Di estet kehidupan tidak berkembang. Bila mereka pindah ke bandar tidak ada lagi orang tua yang berani menegur, minda mereka semakin terbuka dan mereka mahu menjadi maju. Malangnya tidak ada jalan yang ditunjukkan kepada mereka.

Samy Vellu tidak pernah menghasilkan satu pelan komprehensif untuk memajukan kaum India. Sedangkan sama ada kita suka atau tidak Presiden MIC merupakan pemimpin untuk kaum India. Malangnya beliau tidak memainkan peranan dan langsung tidak ada pelan untuk memajukan kaum India walaupun ketika itu negara berada pada era yang gemilang. Kerajaan telah memberikan bantuan sebanyak RM330 juta untuk membangunkan AIMST. Pada asalnya kos pembinaan hanya sekitar harga itu namun kemudian naik sekali ganda. Bukankah ini satu pembaziran dan jumlah sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu masyarakat India untuk terlibat dalam program usahawan contohnya. Macam mana orang boleh tuduh Barisan Nasional (BN) tidak membantu masyarakat India sedangkan banyak wang telah disalurkan kepada MIC tetapi faedahnya tidak sampai kepada mereka. Oleh kerana itulah kita sering mendengar masalah sosial membabitkan orang India kerana Samy Vellu gagal membantu mereka. Jika kita lihat sebab utama kenapa Hindraf bertindak demikian adalah kerana mereka tidak berpuas hati terhadap Samy Vellu yang tidak melakukan apa-apa untuk kaum India.

Kenapa desakan supaya Samy Vellu meletakkan jawatan tidak dibuat selepas pilihan aya lalu kerana ketika itu jelas menunjukkan kaum India menolak MIC?

MUGILAN: Masalahnya beliau merupakan seorang diktator. Siapa yang berani melawan dia akan bising dan tidak ada orang yang berani bersuara, dalam mesyuarat baik di peringkat Majlis Tertinggi semua perlu ikut cakap dia. Selain itu masalah mula timbul apabila Samy Vellu melantik anaknya menganggotai Majlis Tertinggi.

Seperkara lagi Samy Vellu pernah menyatakan mahu meletak jawatan namun kemudian tak jadi. Pada 2006 umum bersara pada 2007 tapi tak jadi. Kemudian umum 2008 tukar 2009 kemudian 2010 dan sekarang 2011. Yang pasti beliau akan terus pegang jawatan hingga habis tempoh dan saya tidak hairan jika kemudian beliau akan terus bertanding atas alasan tidak ada pemimpin pelapis yang layak.

Kenapa saudara berani melawan dan kenapa yang lain tidak berani?

MUGILAN: Saya berani sebabnya terlalu banyak kepincangan yang berlaku membuatkan masyarakat India muak dengan beliau. Saya percaya Samy Vellu ada niat untuk menjadikan anaknya sebagai pengganti. Beliau membawa masuk anaknya dalam Majlis Tertinggi dan sebelum itu isteri Vell Paari adalah Timbalan Ketua Puteri, apa makna semua ini. Bagaimana anaknya boleh menjadi pengganti. Itu sebabnya Samy Vellu mahu bertahan dua tahun lagi. Masalahnya Vell Paari bukan seorang pemimpin yang bijak dan dalam tempoh dua minggu dilantik telah kecoh dengan macam-macam hal. Kita tengok apa yang berlaku kepada Maika ketika dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dulu. Sekarang sudah hampir muflis. Inikah orang yang kita mahu ketengahkan untuk menjadi pemimpin.

Kenapa saudara bersungguh-sungguh mahu menganjurkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS)?

MUGILAN: Apa yang saya lakukan adalah kerana masyarakat India tidak lagi suka pada Samy Vellu. Ramai pemimpin cawangan dan bahagian menolak beliau tetapi tidak berani melakukan apa yang saya buat namun mereka menyokong. Samy Vellu sudah menjadi liabiliti kepada masyarakat India dan juga kepada BN. Saya mahu menyelamatkan parti kerana saya begitu sayangkan MIC berasaskan sejarah dan sumbangannya kepada masyarakat India sejak sekian lama. Mereka bukan marah kepada MIC tetapi pada Samy Vellu. Satu lagi sama ada suka atau tidak Kerajaan Pusat hanya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantuan dan mendapat pandangan dari masyarakat India hanya melalui MIC. Ini adalah saluran terbaik cumanya masalah sekarang Samy Vellu masih berkuasa dan ini membuatkan masyarakat marah. MIC merupakan parti ibu kepada kaum India walaupun terdapat banyak parti lain.

Selagi Samy Vellu masih menjadi Presiden MIC selagi itulah sokongan kaum India akan berkurangan dan ini bahaya kerana boleh menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya akan datang. Apa yang dilakukan Hindraf adalah kerana mereka marah kerajaan tidak membantu golongan India. Sedangkan masyarakat India telah banyak dibantu oleh Kerajaan Pusat melalui MIC tetapi ia tidak sampai kepada masyarakat. Sekarang mereka sudah tahu siapa sebenarnya yang menjadi masalah kepada masyarakat India dan tarikh 30 Mei ini (hari ini) akan menjadi bukti mereka kembali memberontak sebagai mesej terhadap orang tertentu termasuklah komponen BN bahawa mereka tidak puas hati kepada Samy Vellu. Untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India sebelum pilihan raya akan datang Samy Vellu perlu diketepikan.

Tidakkah anda berasa bimbang tindakan ini boleh mengakibatkan karier politik terjejas?

MUGILAN: Apa yang saya lakukan ini tidak ada kepentingan sendiri. Kalau saya ada agenda sendiri pasti saya tidak akan menerima sokongan yang kuat seperti sekarang. Begitu juga jika gerakan ini didalangi oleh UMNO, tentunya masyarakat India tidak akan memberi sokongan yang amat memberangsangkan ini.

Saya pasti masyarakat India akan menyokong apa yang saya lakukan dan mahu memberi mesej yang jelas kepada beliau. Saya sendiri pun tidak tahu adakah saya berada di dalam MIC selepas ini atau pun apakah saya masih berada dalam politik selepas Samy Vellu berundur nanti. Niat utama saya hanya satu sahaja iaitu mahu menumbangkan Samy Vellu.

Gangga Negara..

Isnin, 24 Mei 2010

Ustaz Hadi cakap tak serupa bikin!

Pas cadang benarkan bukan Islam mengundi

Pas akan membincangkan kemungkinan untuk membenarkan ahlinya yang bukan Islam mengundi dalam pemilihan parti itu pada masa depan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu mungkin akan direalisasikan dengan penubuhan sayap baru parti itu iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Bagaimanapun kata beliau, banyak pindaan perlu dibuat pada perlembagaan parti yang sedia ada selain perlu mendapat kebenaran Pendaftar Pertubuhan. ''Sebelum itu berlaku, anggota PAS bukan Islam tetap diberi peluang memainkan peranan mereka demi perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan DHPP Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, sehingga kini DHPP mempunyai kira-kira 20,000 anggota di seluruh negara.
Tambah beliau, beberapa pemimpin DHPP Kebangsaan telah dilantik hari ini dan mereka akan menggerakkan operasi ke peringkat negeri.


Apakah Ustaz Hadi sudah lupa dengan Amanat nya sebelum ini!
Wallahuallam.


Gangga Negara

Khamis, 13 Mei 2010

P212 Sibu : Usah terpedaya politik pura-pura!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan ahli United Association of Chinese Aided School pada perhimpunan warga pendidik di sebuah hotel terkemuka di Sibu, semalam.Turut hadir calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew.Lebih 3,000 warga pendidik Cina menghadiri majlis itu.Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sahabat sejati pendidik sekolah Cina.

Penduduk Sibu jangan terpedaya dengan lakonan pemimpin pembangkang yang boleh disifatkan seperti 'pelawak' terbaik kerana hanya bijak membuat persembahan yang menghiburkan penonton.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, sememangnya pendekatan politik bangsawan oleh pembangkang mampu menarik perhatian tetapi cakap-cakap kosong 'si pelawak' seperti mereka tidak boleh diharapkan.
"Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pendekatan pemimpin-pemimpin kita adalah politik pembangunan dan kita juga tidak pandai berlakon seperti mereka," katanya ketika merasmikan Pentas 1Belia 1Saberkas sempena Minggu Belia Sarawak di Dataran Sibu, di sini malam tadi.

Katanya, pendekatan politik bangsawan atau berpura-pura yang digunakan oleh pembangkang itu sangat ketara sekali terutama ketika kempen Pilihan Raya Kecil Sibu sedang berlangsung.
"Sebagai contoh, kita dapat melihat seorang pemimpin pembangkang memakai 'songkok haji' ketika hari penamaan calon tetapi sanggup membuangnya apabila berjumpa dengan penganut Kristian di gereja," katanya.

Kata beliau, budaya banyak bercakap yang dibawa oleh pemimpin pembangkang di bandar ini juga tidak sesuai dengan masyarakat di sini kerana orang-orang Sibu terkenal dengan budaya bekerja kuat.

Abdul Rahman Zohari yang juga Presiden Saberkas berkata, persatuan belia itu yang mempunyai kira-kira 130,000 ahli sentiasa melahirkan generasi muda yang mampu menjadi harapan masa depan penduduk seperti calon BN, Robert Lau Hui Yew. Hui Yew malam tadi juga meluangkan masanya menghadiri sekejap majlis tersebut dengan bersalaman dengan para penonton yang kebanyakannya generasi muda.

Gangga Negara..