SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Rabu, 15 September 2010

Hello..hello...Majlis Peguam! Mengapa membisu kes Sosilawati...

Sudah ramai mula tertanya-tanya kenapa Majlis Peguam berdiam diri dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lelaki lain.

Sebelum ini, badan peguam itu kerap bising-bising termasuk hentam kerajaan jika ada isu yang ada kepentingan kepada mereka ataupun pihak yang mereka sokong.

Sikap selektif Majlis Peguam ini turut dibidas Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

Pertubuhan NGO Melayu itu pelik dan hairan mengapa tidak ada kenyataan reaksi daripada Majlis Peguam mengenai kes pembunuhan kejam itu.

Menurut Ibrahim, kejadian itu membabitkan dua peguam iaitu peguam peribadi jutawan tersebut Ahmad Kamil Abdul Karim manakala seorang daripada suspek juga peguam bergelar Datuk.

“Sebelum ini mereka bukan main bising jika ada kes seumpana ini. Amat wajar Majlis Peguam bersuara paling tidak mengutuk perbuatan yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan apatah lagi pada bulan Ramadan dan di ambang Aidil Fitri,” katanya.

Ibrahim yang dihubungi Agendadaily berkata, sudah tiba juga masanya Majlis Peguam diletakkan di bawah Suruhjaya atau di bawah Peguam Negara supaya badan itu lebih bertanggungjawab dan tidak memihak.

Katanya, pendirian memilih terhadap sesuatu perkara memberi imej tidak baik kepada peguam-peguam lain.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Shahrizat yang juga bekas peguam menyifatkan perbuatan kejam itu memalukan bidang guaman kerana pembabitan suspek bergelar Datuk itu.

Agenda Daily

Gangga Negara..

Ahad, 12 September 2010

Jauhi Perkasa, selamatkah UMNO?

Apakah wajar kesemua parti komponen termasuk UMNO mengambil pendirian menolak Perkasa?

Awang lontarkan persoalan ini kerana ia sudah menjadi bahan bualan terutama di kalangan orang Melayu. Mesyuarat BN yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung, Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mencapai persetujuan untuk menjauhi Perkasa. Alasannya kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum selain menjejaskan konsep 1Malaysia.

Pada Awang, Perkasa hanyalah NGO biasa sebagaimana NGO bukan Melayu lain, yang sekadar membela kepentingan kaum masing-masing. Persekitaran politik yang dilihat tidak menentu dan berbahaya kepada kepentingan Melayu menyebabkan ramai menyokong Perkasa. Suka atau tidak, Perkasa menjadi sandaran baru kepada orang Melayu dan umat Islam. Dalam banyak isu melibatkan kepentingan bangsa dan agama, Perkasa lebih diyakini berbanding parti politik. Maka langkah menolak bulat-bulat Perkasa dalam membela kepentingan Melayu akan membawa UMNO ke ambang risiko besar.

Hari ini, UMNO dapat bertahan di sebalik gelombang asakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, juga adalah antara lain disebabkan peranan NGO seperti Perkasa. Janganlah melihat Perkasa sebagai hantu jembalang - sebagaimana persepsi banyak parti bukan Melayu. Pada Awang, Perkasa bukanlah ultra rasis berbanding banyak NGO yang bertaut rapat dengan parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan.

Ketika parti-parti Cina saling lengkap melengkapi dengan NGO mereka, ada pemimpin UMNO yang mahu menolak Perkasa tanpa melihat daripada perspektif lebih besar. Awang tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa Perkasa akan menggugat BN kerana dituduh rasis. Lakukanlah kajian menyeluruh. Hampir kesemua isu yang disuarakan oleh Perkasa adalah sebagai menyanggah tuntutan keterlaluan oleh pelbagai pihak tanpa menjaga sensitiviti orang Melayu dan prinsip dalam perlembagaan negara.

Perkasa tidak pernah meminta lebih untuk orang Melayu walaupun ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina. NGO itu hanya mahu mempertahankan apa yang ada pada Melayu pada waktu ini kerana Melayu masih jauh ketinggalan. Apakah komitmen Perkasa menjunjung perlembagaan juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia? Awang agak aneh mengapa mesyuarat BN itu tidak mengambil pendirian yang sama terhadap NGO bukan Melayu lain. Semalam, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan rasa gembira dengan jaminan bahawa UMNO juga tidak akan menyokong Perkasa. Awang ingin bertanya apakah tanpa Perkasa, Gerakan boleh memberi jaminan bahawa majoriti bukan Melayu akan menyokong BN?

Pendirian masyarakat Cina menolak BN pada pilihan raya umum lalu masih belum berubah. Gerakan sendiri sampai hari ini hampir lumpuh dan parti itu tidak bekerja keras memulihkan sokongan bukan Melayu, sebaliknya asyik mencari alasan lapuk.

Pada Awang, pendirian UMNO untuk turut sama menjauhi Perkasa tidak akan membantu parti itu. Persoalannya, apa pilihan UMNO yang terpaksa menjaga sensitiviti parti komponen lain?

Atas kertas UMNO boleh menolak Perkasa tetapi risikonya ke mana sokongan NGO itu selepas ini? BN sendiri akan terjejas jika ramai pengundi UMNO pula menjauhi parti itu kerana mengikut haluan Perkasa. Jika itu berlaku, yang lebih rugi adalah UMNO. Dalam kita ghairah mahu mendapat sokongan bukan Melayu, janganlah mudah terjebak dengan percaturan yang silap.

Awang khuatir, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Sokongan bukan Melayu adalah penting kepada BN namun pasak yang perlu dijaga adalah Melayu. Itu juga adalah asas kenegaraan yang bermula dengan kemurahan hati dan pengorbanan Melayu kepada kaum lain sejak sebelum merdeka lagi. Jika Perkasa dimusuhi, NGO itu dan Ibrahim tidak akan rugi apa-apa. Yang rugi adalah kuasa politik Melayu.

Awang melihat pilihan lain yang ada pada BN ialah semua parti komponen mesti komited mempertahankan perlembagaan dan akur kepada kontrak sosial. Jika itu boleh dipersetujui, Awang percaya Perkasa dengan sendirinya akan terpinggir daripada perhatian orang Melayu. UMNO juga perlu lebih kelihatan membawa agenda Melayu sebagaimana yang terus dijuarai oleh DAP, MCA, Gerakan dan MIC untuk melonjakkan kaum masing-masing.

Dalam UMNO perlu memikul cabaran mengetuai keluarga besar BN yang bererti mengurus kehendak pelbagai komponen, hakikatnya parti itu selama ini kuat adalah kerana agenda Melayu. Persoalannya lagi apakah parti komponen BN yang lain akan akur. Inilah cabaran besar UMNO. Yang pasti, orang Melayu kini memerhatikan tindak-tanduk UMNO dan akan membuat penentuan apabila tiba masanya. Mungkin pada waktu itu nanti, segala-galanya sudah terlewat bagi UMNO untuk mendengar suara kaumnya sendiri. Sangat terlewat.

Oleh : Awang Selamat

Gangga Negara..

Selasa, 31 Ogos 2010

Hargailah keamanan – PM

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menunaikan solat tarawih selepas baginda menghadiri Majlis Berbuka Puasa Muhibah 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Duta, semalam. Turut mengiringi baginda, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu- isu perkauman serta agama.

“Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada,” kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan Ke-53 yang akan disambut esok.

Beliau berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.

Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ke arah itu, katanya, kerajaan telah memasakkan asas-asas yang kukuh dalam bentuk Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.

Menurut Najib, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

“Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu-pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.

“Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan,” katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh- tokoh ternama negara, Najib berkata, bapa-bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

“Mereka sentiasa berusaha mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional.

“Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang.

“Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga melibatkan pengaliran bebas modal insan,” katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

Untuk itu, katanya, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalam mahupun luaran.

“Ingatlah bahawa Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi,” katanya.

Beliau menyeru warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

“Demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. “Mudah- mudahan kita mendapat rahmat,” katanya. – Bernama

Gangga Negara..

Jumaat, 27 Ogos 2010

Nuzul Quran dalam etika ummah

Peringatan Nuzul Quran bagi kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar abad yang lalu. Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan tanggal 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610 M.

Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari penghabisan turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 dari tarikh kelahiran Nabi.

Pada saat itu Nabi SAW sedang berwukuf di Padang Arafah dalam menyelenggarakan haji yang terkenal dikenali Haji Wada'. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan Nabi pun setelah Haji Wada' selama 18 hari, baginda wafat iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.

Ayat yang terakhir menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

"Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-ucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu."

Kalau kita sekarang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!"

Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud: (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Meskipun kata-kata 'malam' disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi. Ia dinamakan 'malam' yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril a.s.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata 'salam' akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian

Oleh sebab kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam, merapatkan hubungan silaturrahim dengan keluarga yang dekat mahupun yang jauh dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman."

(Surah al-Anfal: Ayat 1)

Pengabaian sesetengah umat Islam terhadap maksud hadis tersebut meletakkan diri mereka pada hari ini jauh sekali daripada memenuhi ciri-ciri Mukmin yang sejati. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa akan datang suatu zaman di mana orang berkumpul di masjid untuk sembahyang tetapi tidak akur dengan tetangganya iaitu memutuskan silaturrahim. Maka ia dinilai oleh Nabi sebagai orang yang melakukan solat tetapi hakikatnya tidak dihitung sebagai orang yang melakukan solat.

Sebagai umat yang satu, kita dapat saksikan bahawa setiap umat Islam mengerjakan ibadat yang sama, iaitu bersembahyang sebanyak lima kali sehari dan mengarahkan kiblat yang satu. Kita tidak akan dapat nilai-nilai kesatuan ini dalam agama lain, walaupun mereka melaksanakan ritual yang sama, tetapi arah mereka tidak bertemu di satu pusat atau tempat.

Bagi umat Islam setiap kali bersembahyang, sama ada sembahyang itu merupakan fardu atau sunat, kiblatnya adalah tetap sama, iaitu Kaabah.

Sewaktu melakukan ibadat haji, di tanah suci Makkah al-Mukarramah umpamanya ia turut membuktikan lingkaran ibadat dalam satu kesatuan.

Setiap umat Islam mengelilingi Kaabah dalam posisi ibadat yang dinamakan tawaf, dan ini dilakukan secara beramai-ramai.

Dalam melaksanakan tawaf itu, setiap umat Islam berpakaian ihram, yang tentunya memberikan makna sebuah kehidupan yang sederhana, pakaian yang tidak berjahit, berwarna putih dan membaca ayat-ayat yang sama, walaupun dari segi fizikalnya umat Islam itu berlainan keturunan tetapi mempunyai niat yang sama, iaitu niat kerana Allah SWT, tawaf tujuh kali, sembahyang sama bilangan rakaatnya mengikut sembahyang fardu yang dilakukan dan seterusnya melakukan segala rukun dan syarat ibadat itu dalam bentuk yang sama.

Inilah hakikat yang cuba disampaikan melalui falsafah kesatuan umat. Ia dijelmakan dalam bentuk amalan, ritual dan perilaku seharian, maka dengan itulah Islam mudah mendapat tempat, kerana amalan yang dipertanggungjawabkan itu adalah mudah dan amat sederhana sekali.

Akhir-akhir ini, falsafah kedinamikan dan kesatuan walaupun masih kekal, terdapat sedikit penyimpangan mula diperlakukan oleh sesetengah pejuang Islam yang bersandarkan keinginan politik. Mereka sanggup menghindarkan diri dari pembentukan jemaah, sebaliknya mengasingkan diri dengan perjuangan tertentu.

Pengakuan seorang khatib jemputan yang memasukkan nama Lim Guan Eng dalam bacaan doa kedua khutbah Jumaat yang disampaikannya sejak dua tahun lalu memberikan gambaran bahawa telah berlaku secara terang-terangan usaha untuk mempersendakan kesucian agama Islam oleh orang Islam sendiri.

Meskipun secara jelas maksud sebenar doa yang disampaikannya itu masih dipertikaikan, ramai umat Islam menganggap ia satu petanda betapa terdesaknya khatib tersebut sehingga sanggup meminggirkan kedudukan Ketua Agama Islam secara rasmi dan sah dari segi peraturan dengan menukarkannya dengan pemimpin bukan Islam yang cuba menggunakan kebijaksanaan pemimpin Islam sebagai topeng politiknya.

Gambaran apa yang berlaku di Pulau Pinang itu nampaknya sudah melampaui tahap politik yang matang, ia memberikan gambaran tahap politik menjadi semakin rendah dan kotor.

Maka tidaklah keterlaluan apabila ada pandangan mengatakan agama telah dikotorkan oleh tuntutan politik yang disengajakan oleh pihak tertentu bagi tujuan mengekalkan kuasa dan membina imej dengan mencampurkan urusan ibadat.

Amatlah diharapkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh polis Pulau Pinang akan menemui satu petunjuk yang jelas dan dapat kita sama-sama membandingkan bagi meletakkan kembali kedudukan Islam sebagai agama yang mementingkan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan.

Dari hakikat ini umat Islam tidak harus menjadikan al-Quran sekadar alat kepentingan untuk memperolehi keuntungan duniawi atau kepentingan politik. Umat Islam perlu kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut dalam realiti kehidupan.

Apa yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu-lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid , sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud "Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.

Bukan dalam soal penghayatan sahaja bahkan manusia hari ini langsung telah hilang pedoman, hilangnya sifat perikemanusiaan sehingga bayi-bayi yang dilahirkan akibat perzinaan dibuang merata-rata tempat. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap bayi yang tidak berdosa, tidak akan masuk ke dalam hatinya cahaya keimanan.

Malah yang lahir adalah sifat kebinatangan yang rakus serta tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperolehi lailatulqadar. Untuk mencapainya, kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama 'meraikan' kehadiran Ramadhan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Gangga Negara..

Ahad, 15 Ogos 2010

Sultan Azlan Shah bimbang!

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar) menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian daripada generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara kini di ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53.

Ini kerana titah Sultan Azlan Shah, kebelakangan ini telah terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Dalam titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam, baginda turut mengingatkan, Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

‘‘Sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakatan di antara istana dan rakyat; masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana yang genting dan kritikal.

‘‘Ia memberi satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan kestabilan negara,” titah baginda.

Malah titah baginda, kemuliaan institusi raja perlu didokong secara bersama dan peranan itu harus dilaksanakan dengan bijak oleh Raja Bergelar, Orang Besar dan Ahli-Ahli Dewan Negara Perak dalam menjaga nama baik dan imej institusi raja agar tidak tercemar.

Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 itu juga mengesahkan Datuk Mohd. Redzuan Mohd. Kushairi menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Mohd. Zulkifli Mohd. Kushairi yang meninggal dunia 6 Ogos 2009.

Mohd. Redzuan, 61, yang dilahirkan di Taiping, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian daripada Universiti Malaya.

Sultan Perak turut berkenan melantik Datuk Seri Panglima Mohd. Azumi Mohamed, anak kelahiran Batu Gajah yang juga bekas pemain hoki negeri dan kebangsaan, sebagai Ahli Dewan Negara Perak. Pelantikan yang berkuat kuasa semalam hingga 16 Mac 2012 itu bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Ismail Shah Bodin.

Sementara itu : Jadikan titah Sultan Perak satu peringatan

Titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewajarnya menjadi peringatan kepada generasi baru khususnya orang Melayu dalam berhadapan dengan suasana politik berkepentingan kebelakangan ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, kuasa raja-raja dan hak-hak istimewa orang Melayu akan hilang jika kesedaran tersebut tidak terus ditiupkan.

"Dalam keadaan suasana politik negara hari ini, sekiranya peringatan itu tidak diambil berat akan melenyapkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya di sini semalam.

Semalam, Sultan Perak menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara berada di ambang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 pada 31 Ogos ini.

Ini kerana, titah baginda, kebelakangan ini terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Mohd. Hilmi berkata, generasi muda harus mengkaji dan menginsafi semangat perpaduan yang terkandung di dalam Perlembagaan negara bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan di negara ini berkekalan.

Malah, katanya, selepas Ramadan ini, GMP menyasarkan bekerjasama dengan golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khasnya anak-anak Perak sendiri dalam usaha menyedarkan mereka mengenai isu itu.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajaran Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam pula mencadangkan supaya subjek Sejarah diangkat kembali imejnya supaya tidak lagi dilabel mata pelajaran 'kelas kedua' di peringkat sekolah sekali gus akan mendidik generasi muda mengenai semangat patriotisme.

Beliau melahirkan rasa bimbang jika mata pelajaran Sejarah terus diabaikan maka ia boleh menggugat perpaduan yang dikecapi selama ini.

Katanya, menerusi subjek Sejarah sahaja dapat mendidik generasi muda supaya sayangkan negara serta bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang berguna.

Ramlah berkata, tidak salah jika kerajaan mengutamakan mata pelajaran Sains dan Teknologi di peringkat sekolah tetapi ia perlu diseimbangkan dengan mata pelajaran Sejarah.

"Kita perlu melihat Jepun dan Korea yang walaupun telah lama maju tetapi masih mengagungkan sejarah negara yang dijadikan sebagai teras dalam kehidupan seharian," katanya.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Sapora Sipon percaya dengan kesungguhan mengutamakan mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah sahaja akan mampu melahirkan generasi muda yang cintakan negara.

Selain itu, katanya, media boleh memainkan peranan dengan menyalurkan semangat itu menerusi siaran drama, dokumentari atau iklan.

Beliau berkata, semangat itu penting kerana akan mendidik generasi muda agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar perlembagaan negara ini dengan sewenang-wenangnya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, subjek Sejarah di peringkat sekolah perlu disampaikan dengan lebih kreatif iaitu bukan setakat penghafalan di dalam bilik darjah sahaja.

"Pelajar mestilah dibabitkan dengan aktiviti luar seperti lakonan, lukisan atau kuiz supaya subjek Sejarah lebih menarik,'' katanya.- UM

Gangga Negara..

Selasa, 10 Ogos 2010

Penang DAP Zionis : Peniaga nekad teruskan operasi!

Meskipun dihalang beroperasi, para peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini nekad meneruskan perniagaan di lokasi itu kerana percaya mereka mempunyai hak berbuat demikian.

Tanpa mengendahkan petugas keselamatan yang mengawal tapak berkenaan hari ini, mereka membawa masuk segala barangan jualan ke dalam gerai masing-masing walaupun ia masih belum siap sepenuhnya.

Dalam keadaan cahaya samar-samar kerana ketiadaan lampu, ia langsung tidak menjejaskan semangat para peniaga terbabit yang hanya mahu mencari peluang menambah pendapatan di bazar yang telah 20 tahun beroperasi setiap kali tibanya Ramadan itu.

Peniaga kain, Saira Banu Abdul Latiff, 48, berkata, dia telah membayar sewa gerai sebanyak RM1,800 kepada Dewan Perniagaan Komtar selaku penganjur Bazar Ramadan untuk tempoh sebulan selepas permohonannya diluluskan. Justeru, jelasnya, beliau berhak menjalankan perniagaan di situ kerana telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

"Ini hak kami (peniaga), kami bukan beri rasuah untuk berniaga di sini, kami guna saluran yang betul. Kenapa pula kami tidak dibenarkan berniaga? "Kalau kami tidak dibenarkan berniaga, adakah kerajaan negeri akan tanggung semua kerugian kami?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak Bazar Ramadan Komtar di sini hari ini.

Mingguan Malaysia melaporkan, pihak pengurusan Komtar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut pada setiap kali bulan puasa.

Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan Jumaat lalu tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan kelmarin. Sebelum itu, kira-kira 200 orang terdiri daripada peniaga terbabit dan orang ramai berhimpun hampir sejam bagi membantah serta menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri.

Peniaga pakaian tradisional, Renny Feriyenti Koliman, 35, memberitahu, beliau hairan kenapa kerajaan negeri cuba membatalkan Bazar Ramadan tersebut pada saat-saat akhir. Menurutnya, keputusan tersebut ternyata menyusahkan para peniaga yang tiada lokasi alternatif untuk menjual barangan mereka.

"Kalau cakap kepada kami awal-awal, bolehlah kami usahakan untuk mencari lokasi lain. "Ini gerai sudah siap, nak cari tapak lain semua sudah penuh," ujarnya. Peniaga pakaian, Aliff Amka, 50, menjelaskan, kerajaan negeri perlu menunjukkan mereka mengamalkan sikap adil kepada semua kaum menjalankan perniagaan.

"Beri semua kaum peluang berniaga, bukan kepada satu-satu kaum sahaja untuk memonopoli ekonomi. "Kita tinggal dalam satu negara, biarlah rakyat pelbagai kaum sama-sama cari makan," katanya. Sementara itu, seorang pengunjung Komtar, Omar Abdullah, 58, berkata, kerajaan negeri sepatutnya lebih prihatin terhadap para peniaga kecil Melayu yang mahu mencari pendapatan lebih menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu ternyata menindas golongan berkenaan. "Janganlah sekat peniaga kecil Melayu yang nak mencari makan, berilah peluang kepada mereka tambah pendapatan," ujarnya.

Gangga Negara..

Selasa, 3 Ogos 2010

Beri kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti - Sultan Azlan Shah!

Canselor Universiti Malaya (UM), Sultan Azlan Shah (gambar) meminta kerajaan memberi kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti dengan tidak menyamakannya seperti penjawat awam lain.

Sebaliknya, baginda bertitah, autonomi khusus perlu diberikan kepada tenaga akademik terlibat terutama dalam soal skim perkhidmatan dan peruntukan kewangan.

Baginda bertitah, bagi dunia akademik, semakin lanjut usia para sarjana, maka semakin matang dan mendalam pengetahuan mereka dalam bidang yang dikuasai.

"Adalah satu kerugian besar kepada institusi dan negara apabila seorang sarjana yang telah mencapai status kematangan terpaksa meninggalkan tugas di universiti kerana terikat dengan skim perkhidmatan yang mewajibkan mereka bersara.

"Melahirkan seorang sarjana yang hebat memerlukan masa yang lama dan untuk itu, sarjana yang hebat perlulah dimanfaatkan oleh institusi untuk tempoh yang optimum," kata baginda ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-49 di Dewan Tunku Canselor di sini hari ini.

Pada sesi hari ini, seramai 201 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), termasuk seorang menerima Ijazah Doktor Perubatan (MD).

Selain itu, Sultan Azlan Shah juga berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada pakar kimia, Profesor Datuk Dr. V. G. Kumar Das dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Presiden Soka Gakkai International, Dr. Daisaku Ikeda yang diwakili oleh anaknya, Hiromasa Ikeda.

Sementara bagi Anugerah Pelajaran Diraja, Nurrashidah Ariffin, graduan Sarjana Muda Syariah (Syariah dan Undang-Undang) dan Benjamin Ong Jia Ming, graduan Sarjana Muda Sains (Ekologi dan Biodiversiti) menerima anugerah berprestij itu.

Sultan Azlan Shah bertitah, skim perkhidmatan tenaga akademik dan peruntukan kewangan universiti perlu dirangka selaras dengan pengharapan yang diletakkan kepada mereka untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan serta berperanan sebagai duta ilmu di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu baginda bertitah, pentadbiran universiti perlu dilihat daripada perspektif berbeza yang tidak harus disamakan dengan amalan birokrasi pentadbiran awam lain.
Titah baginda, alam keilmuan dan budaya kesarjanaan universiti perlu dicerminkan dari pelbagai aspek, merangkumi seni bina bangunan, landskap, tenaga akademik, tata cara pengurusan serta tata cara hubungan kerja.

Jelas baginda, inovasi dan kreativiti dapat ditingkatkan sekiranya pentadbiran universiti diberikan lebih banyak kepercayaan, perwakilan kuasa, fleksibiliti dan autonomi mengurus tadbir urusan harian.

"Setiap universiti perlu diberikan ruang luas untuk mengenal pasti identiti dan keunggulan masing-masing serta bidang yang mahu diberikan fokus. "Keseragaman atau uniformity yang terlalu ketat akan meninggalkan pengaruh negatif yang dikhuatiri boleh menjejaskan daya inovasi dan daya kreativiti yang amat perlu dipupuk dalam alam keilmuan dan budaya kesarjanaan," titah baginda.

Sultan Azlan Shah menarik perhatian dengan bertitah bahawa negara-negara maju amat memahami peranan murni yang perlu dipenuhi oleh universiti mereka dengan menggaris dan melaksanakan dasar yang amat membantu perkembangannya. "Kerana itu universiti di negara-negara maju berkembang hebat hingga berjaya mencapai status penarafan tinggi di peringkat antarabangsa," titah baginda.

Gangga Negara..