SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Ahad, 11 April 2010

Perak batal kelulusan balak!

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri akan membatalkan kelulusan kawasan pembalakan jika ia didapati menyebabkan masalah kepada kawasan hutan tadahan air dan juga penduduk sekitar.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap isu alam sekitar dan bersedia mendengar aduan daripada masyarakat yang khuatir pembalakan yang dijalankan menjejaskan kawasan mereka.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana sesuatu kawasan yang diberikan kelulusan untuk membalak boleh dibatalkan jika menimbulkan masalah kepada penduduk berdekatan terutama di kawasan tadahan air," katanya selepas majlis pengislaman 46 masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Raba, Air Banun dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan penduduk beberapa buah kampung sekitar Kuak Hulu di Pengkalan Hulu yang bimbang punca air dari bukit yang mereka gunakan sebagai bekalan air akan kering jika kerajaan membenarkan kawasan seluas 300 ekar berdekatan bukit berkenaan dibalak.

Katanya lagi, rungutan penduduk terbabit telah diterima dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah diminta menjalankan kajian mengenai perkara berkenaan. Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program pembangunan masyarakat Orang Asli.

Beliau berharap masyarakat Orang Asli di Perak dapat memanfaatkan pelbagai program pembangunan yang telah dilaksanakan bertujuan meningkatkan taraf hidup dan peluang latihan kepada generasi muda.

Turut hadir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Sheikh Mohd. Nor Mansor Al Hafiz.

Berucap merasmikan surau Al Fath di kampung itu sebelumnya, Zambry meminta Jabatan Agama Islam Perak meningkatkan program ilmu di kalangan saudara baru bagi mengelak mereka kembali kepada kepercayaan lama akibat tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan