SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Ahad, 30 Januari 2011

Kisah Nik Aziz...!

MURSYIDUL Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.

Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan strategik. Sebab itu, Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam.

Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Sebenarnya ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Rasanya kebanyakkan dari kita juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. sememangnya sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik.

Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd. Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Kita berharap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apakan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menenggelamkan rasional. Sedihnya, di antara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.

Gangga Negara..

Khamis, 6 Januari 2011

SUK Khusrin diludah air liur siapa...?

Simpati dan kasihan yang amat sangat dengan nasib Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru. Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikenali sebagai pegawai kerajaan yang amat digeruni semasa perkhidmatannya, kini sedang dihina.

Sebenarnya Khusrin ialah contoh pegawai kerajaan yang kita perlu ada. Tegas, berani dan tidak boleh ‘main- main’. Dari segi profesionalisme, Khusrin memang layak duduk di kerusi baru itu. Tapi sebaliknya beliau kini sedang dihina sehina-hinanya.

Jika dulu pegawai kerajaan Selangor dihina dengan pemberian penyapu, kini institusi itu sedang dihina dengan lebih kejam lagi. Mereka telah diludah.

Dikhabarkan, Isnin lalu pada hari dia melaporkan diri dan mahu masuk ke pejabatnya di tingkat 19 bangunan SUK Selangor, ada halangan besar yang ditempuhinya.

Kunci pintu ke biliknya telah ditukar. Tombol pintu itu semuanya ditukar bagi menghalangnya masuk dan duduk di atas kerusinya.

Saya tersentak mendengar cerita itu. Nak tergelak pun ada, sedih pun ada. Jika benarlah cerita itu, maka tersangat teruklah perangai mereka yang mengarahkan perkara itu dibuat.

MB Selangor, Khalid Ibrahim yang sedang bertungkus-lumus menghalang Khusrin itu patut merasa malu pada dirinya sendiri.

Sudahlah titah Sultan Selangor pun dibantah, lebih daripada itu beliau telah memutar-belitkan apa yang Tuanku Sultan pertitahkan kepadanya. Apa nak jadi dengan Khalid ini?

Dari awal lagi Cuit telah memberi peringatan kepada rakyat Selangor, perkara-perkara sebegini akan berlaku. Maka dalam satu tulisan, saya meminta kita semua Selamatkanlah Selangor.

Jika rakyat Selangor dulu telah membuat silap memangkah juak-juak itu atau merosakkan undi kerana marah kepada pentadbiran Pusat dulu, kini mereka harus kembali ke pangkal jalan.

Institusi kesultanan kini sedang diancam dengan acaman yang tidak pernah berlaku dulu. Orang sudah boleh kurang ajar dengan baginda Sultan. Baginda Sultan telah diadu-dombakan dalam kancah politik kotor oleh kerajaan Selangor. Sultan titah lain kepada MB, MB kata benda lain kepada orang ramai. Itu derhaka namanya.

Saya difahamkan oleh orang Istana, sebenarnya Sultan Sharafuddin telah pun meminta MB berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan JPA mengenai calon SUK, sebelum nama Khusrin disebut lagi. Tapi MB tak buat apa yang dititah. Namun selepas nama Khusrin disebut, dan mungkin kerana kemarahan konco-konco dalam DAP dan PKR yang terkejut Khusrin dilantik, maka barulah Khalid melatah.

Saya mahu bertanya kepada MB Khalid, Exco DAP, PKR dan Pas mengapa anda semua amat bencikan Khusrin? Soalan ini belum dijawab lagi sampai sekarang.

Yang kita tahu semasa Khusrin merajui JAIS, beliau banyak membantah perkara-perkara ‘gila’ yang diminta oleh Exco-Exco Selangor. Ia termasuklah soal wang zakat yang mahu diagihkan kepada penganut agama lain, saiz rumah ibadat agama lain yang tiada had, isu azan, selain isu ceramah politik di masjid dan surau.

Kebencian terhadap Khusrin ini sehinggakan Khalid sanggup mahu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi memberi kuasa kepada mereka untuk menentukan siapa yang mahu mereka lantik.

Tapi kita bimbang, jika Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dipinda kelak maka, Sultan akan terus dipermainkan. Pada masa itu Sultan akan diminta mempersetujui saja apa yang dikehendaki oleh orang seperti Khalid yang di belakangnya juak-juak DAP dan PKR yang mempunyai kepentingan.

Seorang dalam kerajaan Selangor memberitahu saya semalam: ‘‘Sebenarnya apa yang berlaku ini bukan soal teknikal sehingga memerlukan perlembagaan negeri dipinda.

‘‘Ia lebih kepada soal ketamakan, agenda projek dan mahu mengadjas (adjust) kenyangan mereka. Mereka mahukan seorang SUK yang boleh dicucuk hidung.”

Itu orang dalam kata. Disebabkan nafsu-nafsi yang tidak terbendung ini Sultan turut dihina sehina-hinanya.

Menurut ‘orang dalam’ itu lagi, PKR dan DAP sedang dalam proses mengumpulkan dana sebesar mungkin sebagai modal untuk menghadapi pilihan raya umum kelak. Selangor adalah lubuk emas. Banyak projek besar boleh diwujudkan. Selangor sebenarnya ialah penjana kewangan untuk membolehkan PKR dan DAP menggerakkan jentera pilihan raya untuk menawan Putrajaya.

Itulah yang menyebabkan Khalid begitu kalut sekali. Beliau mahukan seorang SUK yang boleh ‘kaw-tim’ dengan beliau dan juak-juaknya, termasuk Penasihat Ekonomi Negeri bergaji seringgit iaitu, Brother Anwar Bin Ibrahim.

Patik sebagai hamba rakyat Selangor ini berharap Tuanku Sultan bertenang dalam menghadapi krisis ini. Tuanku harus tegas, jangan goyah dengan tindakan MB ‘bengong’ itu. Berdiri teguhlah atas keputusan yang Tuanku telah putuskan. Seperti Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin cadangkan, pihak yang menentang perkenan Tuanku itu boleh didakwa di bawah Seksyen 121 kanun Keseksaan kerana ‘Perbuatan memerangi Raja-Raja Melayu’.

Saya amat bimbang dengan corak politik yang berlaku di Selangor itu. Pas Selangor juga difahamkan turut bimbang dengan corak politik ini. Itu sebab saya difahamkan mereka mengambil langkah berdiam diri.

Ingatlah, Sultan sebenarnya ialah kubu dan barisan pertahanan akhir (the last bastion) orang Melayu. Diandaikan jika orang Melayu kelak menolak orang politik bagi mempertahankan nasib mereka, maka sultan dan rajalah tempat mereka menyerah diri. Selain Allah SWT yang wajib disembah, di Malaysia ini - pada zaman ini, sultan dan rajalah khalifah kita yang ada untuk dirujuk.

Jika fungsi UMNO gagal, Pas gagal, PKR gagal - kepada sultan dan rajalah tempat kita berlindung. Akhir sekali jika institusi sultan dan raja pun runtuh, maka pada hari itu kita semua akan menjadi satu republik seperti Singapura - yang amat-amat dihajati oleh juak-juak DAP dan PKR.

Pada masa itu wahai Khalid Bin Ibrahim, wahai Anwar Bin Ibrahim, wahai Khalid Bin Samad (yang dikatakan antara penentang kuat Khusrin), orang Melayu hanya akan tinggal nama sahaja.

Saya bukanlah seorang rasis apabila memberikan kebimbangan ini, tapi itulah hakikatnya. Itulah juga yang dilakukan oleh negara-negara tamadun besar dunia lain apabila mereka mempertahankan ke‘bangsa‘an mereka.

Republik Rakyat China akan mempertahankan habisan-habisan keturunan Cina Han yang membentuk 92 peratus rakyatnya daripada kebangkitan keturunan etnik yang lain. Contohnya, mana-mana wilayah autonominya yang cuba memberontak, akan diganyang habis-habisan.

Begitu juga di India. Kerajaan Hindu India akan mempertahankan kedaulatan dan kebangsaannya dalam pemerintahan negara itu. Itu pasallah mereka akan mempertahankan hak Hindu melebihi hak orang Islam India. Begitulah juga dengan rejim laknat Israel terhadap penduduk Arab dan Palestin.

Oleh itu, orang Melayu di Tanah Melayu ini haruslah mempunyai semangat yang sama seperti Republik Rakyat China, India dan Yahudi Israel.

Apakah kita, orang Melayu (yang sekerdil ini) mahu membenarkan sebuah lagi negara kepunyaan Cina atau India di luar benua masing-masing. Cukuplah dengan apa yang ada di Singapura (negara kepunyaan Cina di luar Tanah Besar China). Apakah tanah air ini juga mahu diberikan...?

Saya harap saya tidak akan dituduh sebagai rasis lagi dengan pandangan itu, kerana ia adalah pandangan yang logikal dan berasas. Saya juga bukan menyimpang isu sebenar daripada isu SUK itu, tapi dalam konteks Selangor dan kerajaan pakatan pembangkang ini, ia ada kaitan dan ada relevansinya.

Rakyat Selangor sekarang berada dalam krisis, pegawai pentadbir telah diketepikan dan kuasa politik telah digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan krisis pengurusan kerajaan.

Dalam keadaan sekarang, saya difahamkan moral dan semangat pegawai-pegawai kerajaan Selangor telah jatuh. Pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan negara ini diketahui sebagai sangat protected terhadap birokrasi.

Penolakan Khusrin telah menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak menghormati birokrasi. MB tidak tahu menilai pegawai kerajaan yang mahu menjalankan tugas dengan adil dan tegas tanpa dieksploitasi oleh kuasa politik. Pelantikan Khusrin itu sebenarnya tidak terkeluar daripada peraturan undang- undang, tetapi hanya terkeluar daripada kehendak politik pakatan pembangkang.

Jika BN Selangor ditolak oleh pegawai-pegawai kerajaan kerana dihadiahkan penyapu maka apa yang dilakukan oleh Khalid ialah dia meludah ke muka mereka, tapi dengan air liur orang lain...?

Air liur siapa yang dimaksudkan itu, sama-sama anda tafsirkan.

Oleh Zaini Hassan

Gangga Negara..

Rabu, 22 Disember 2010

Falsafah tersirat ketuanan, hak istimewa Melayu!

Persoalan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu kini menjadi isu yang tak berkesudahan. Ini paling jelas dan semakin ketara seepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac 2008 diumumkan keputusannya. Persoalan ini seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan kekuatan politik di antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Bilangan wakil rakyat yang ramai dalam Parlimen daripada pakatan pembangkang seakan-akan mempunyai hubungan dengan isu ketuanan dan hak keistimewaan Melayu. Apakah hanya BN (khususnya UMNO) yang sepatutnya menjaga dan melindungi hak ketuanan dan keistimewaan Melayu?

Adakah pakatan pembangkang tidak mempunyai hak bagi melindungi ketuanan dan hak keistimewaan Melayu? Atau persoalan ini sengaja diputar-belit oleh pihak tertentu bagi melabelkan bahawa pakatan pembangkang adalah sebuah pakatan yang tidak akan mempertahankan hak istimewa Melayu dan ketuanan Melayu?

Jadi apabila pakatan pembangkang berkuasa maka ketuanan Melayu akan berakhir dan hak keistimewaan Melayu juga tidak akan dilindungi.

Setiap negara bangsa yang dibentuk mesti mempunyai prinsip-prinsip dan matlamat tertentu ke arah membentuk kestabilan negara bangsa dalam jangka panjang. Memang proses pembentukan negara bangsa memerlukan masa yang lama bagi mencapai matlamat yang dituju dan darjah kematangan yang tinggi.

Walaupun begitu matlamat yang dituju mestilah jelas agar matlamat tidak tersasul.

Perjuangan semua pihak tidak boleh lari daripada dasar asas yang dibentuk yang biasanya dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Negara atau falsafah tersirat yang tidak bertulis (seperti Great Britain).

Dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia, ia dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh diganggu dan digugat oleh mana-mana pihak. Meminjam kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak "Ia terkunci mati dalam Perlembagaan Persekutuan" (merujuk kepada hak keistimewaan orang Melayu dalam ucapan Perhimpunan Agung UMNO Oktober 2010).

Jadi mana-mana pihak tidak boleh menyentuh, mengubah atau meminda perkara ini lagi atas apa-apa sebab. Persoalan ini telah 'disimpul mati' dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini tidak dapat diubah oleh mana-mana parti politik yang mengusai Kerajaan Malaysia walaupun sekiranya ia dapat menguasai Parlimen dengan majoriti dua pertiga.

Perkara 153 mengenai hak keistimewaan Melayu hanya dapat dipinda sekiranya mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu yang terdiri daripada sembilan orang Sultan/Raja Melayu. Adakah Raja-raja Melayu akan bersetuju meminda perkara yang penting bagi orang Melayu ini yang telah diperjuang oleh bapa kemerdekaan dan pejuang bangsa terdahulu?

Saya melihat bahawa Raja-raja Melayu tidak akan mengubah perkara ini. Jika sekali pun perkara ini berlaku maka bangsa Melayu yang 'sedar diri' akan bangkit bangun menentang dan bersatu melindungi hak bangsa.

Jadi penulis melihat bahawa persoalan hak Melayu dan ketuanan Melayu bukanlah isu remeh yang boleh dipermainkan oleh golongan politik tertentu yang sudah lupa matlamat jangka panjang pembinaan negara bangsa.

Ia bukan persoalan mendapat kuasa dan berkuasa atau mendapat sokongan daripada golongan atau kaum tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang, tetapi lebih jauh ia adalah isu yang meruntuhkan kestabilan bangsa dan meranapkan keupayaan dan kekuatan bangsa dengan jalan yang tidak begitu harmoni.

Isu-isu begini amat berbahaya bagi sebuah negara bangsa yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Malaysia. Persoalan hak keistimewaan bangsa Melayu ini boleh menjadi isu sensitif terhadap kestabilan.

Ia boleh digunakan bagi memancing undi bagi golongan bukan Melayu dengan janji- janji seperti jika menyokong parti tertentu hingga dapat berkuasa nanti, maka hak sama rata akan diamalkan dan tiada lagi keistimewaan terhadap Melayu. Tetapi hal ini tidak boleh berlaku kerana negara bangsa Malaysia telah dibentuk berasaskan matlamat jangka panjang menjadi negara 'Melayu' (Malaysia) seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Struktur yang dibentuk adalah seperti yang telah digariskan dalam Perlembagaan seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang berkuasa melantik Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri melantik anggota Kabinet dengan pengesahan Yang di-Pertuan Agong.

Prinsip dan struktur ini (begitu juga kuasa sultan/raja setiap negeri Melayu serta peraturan melantik menteri besar di setiap negeri Melayu) adalah perlu jelas bagi setiap warga negara Malaysia.

Tanpa pengetahuan ini rakyat massa akan keliru dalam membuat keputusan dan akan digunakan oleh sesetengah ahli politik yang kurang 'jujur' dalam berpolitik. Ini semua sebenarnya mempunyai falsafah besar bagi pembinaan negara bangsa yang stabil dan kuat dalam jangka panjang.

Dalam hal ini pakatan pembangkang tidak perlu menekankan pengubahan struktur kuasa bagi menarik sokongan masyarakat khususnya Cina. Ia lebih baik difokuskan kepada perkara-perkara pembersihan unsur-unsur negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan peraturan dan undang-undang yang berlaku dalam kerajaan sekarang. Ini boleh diterima oleh semua rakyat massa tanpa mengira sesiapa.

Semua rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih daripada segala jenis rasuah dan salah guna kuasa.

Perjalanan dan penyusunan ekonomi dan sosial yang benar-benar mantap dan telus adalah lebih diterima oleh rakyat.

Pakatan pembangkang dan juga BN (khususnya UMNO) juga harus sedar bahawa dalam PRU 2008, sebahagian besar kawasan majoriti pengundi Cina di seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) telah dimenangi oleh DAP atau calon PKR keturunan Cina.

Calon BN keturunan Cina daripada MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Walaupun berlaku perubahan 100 peratus pengundi Cina kepada calon pakatan pembangkang (DAP khususnya), bilangan Ahli Parlimen tidak akan bertambah banyak lagi.

Dalam hal ini dapat dirumuskan bahawa pengundi Melayu mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar. Kedua-dua pihak sama ada BN atau pakatan pembangkang, jangan melihat hanya pengundi Cina (atau bukan Melayu lain) menjadi penentu kepada keputusan PRU akan datang. Polisi yang dibentuk mesti mengambil kira akan perasaan hati pengundi Melayu.

Ini kerana tanpa sokongan padu pengundi Melayu, mana-mana pihak akan gagal membentuk sebuah Kerajaan Pusat yang kuat. Ini adalah wajar dan logik yang besar kerana bangsa Melayu adalah penduduk majoriti Malaysia. Semua pihak harus akur pada garis kasar dan prinsip pembinaan negara bangsa Malaysia yang stabil sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Semua pihak mesti sedar bahawa setiap apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai maksud tersirat dan mempunyai falsafah serta makna yang besar di sebaliknya. Semua itu adalah mempunyai matlamat besar bagi pembentukan sebuah negara yang maju, mantap dan stabil.

Gangga Negara..

Isnin, 20 Disember 2010

Menang secupak, rugi segantang!

Adalah tidak sihat kepada sebuah kerajaan apabila hanya mahu mendengar pujian semata-mata. Tentu sekali sama tidak sihatnya apabila yang tidak memerintah hanya tahu memperlekeh hasil positif kerajaan.

Begitu juga dalam hal mengkritik, ia adalah sihat sama seperti reaksi terhadap kritikan itu. Tetapi yang selalu berlaku ialah yang dikritik dan mengkritik terbelenggu dengan perilaku untuk memusnahkan. Mereka sengaja menempatkan diri sebagai seteru walaupun mengaku mewakili suara rakyat.

Inilah yang sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Tidak pernah dalam sejarah 53 tahun Malaysia - sejak Mac 2008 - kita terpaksa makan, minum dan tidur dengan gembar-gembur politik. Semua hal dan peristiwa mahu disalut dengan kepentingan politik.

Lihatlah di Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjadi tempat mulia menyuarakan hati nurani rakyat, didominasi dengan pertengkaran penuh keegoan dan aksi ala demonstrasi. Suara pemeriksa dan pengimbang jarang-jarang kedengaran. Mereka menggunakan tipu helah bersuara rakyat tetapi yang dijaja sebenarnya adalah kepentingan peribadi, kelompok dan nafsu memburu kekuasaan.

Mereka bersuara tidak diberi keadilan tetapi realitinya merekalah yang meranapkan keadilan. Mungkinkah adil bagi mereka jika boleh sesuka hati menyalahgunakan Dewan yang mulia? Mungkinkah adil bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR - Gombak); R Sivarasa (PKR - Subang) dan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) jika boleh berbuat apa sahaja perbuatan yang melanggar peraturan.

Bagaimana pula wakil rakyat di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang juga telah dikenakan tindakan gantung daripada menghadiri sidang Dewan? Apakah itu bukan keadilan atau ia menggambarkan demokrasi telah runtuh?

Lihatlah di Dewan Undangan Negeri Perak, kerajaan yang disahkan oleh mahkamah dan Perlembagaan serta diperkenan oleh Sultan, terus-menerus dikata tidak sah. Mereka tetap bangga menggunakan perkataan perampas, sedangkan pertukaran kerajaan berlaku kerana sikap mereka sendiri.

Lihatlah politikus yang melenting dicap rasis, sedangkan mereka mudah menuduh orang lain sedemikian. Mereka berkata memperjuangkan kebebasan dan ketelusan tetapi media disekat daripada melaporkan perkara sebenar. Malah peruntukan negeri digunakan untuk menggerakkan propaganda parti, bukannya menyebar maklumat mengenai program kerajaan negeri.

Mereka marah dan tangkas mengumpulkan rakyat kononnya bagi menjelaskan fitnah dan konspirasi tuduhan liwat, sedangkan mahkamah telah memutuskan ia pernah berlaku tetapi tidak disabitkan kesalahan kerana masalah teknikal. Kumpulan ini juga marah digelar komunis tetapi sesenang hati mengata pemimpin lawan bukan rakyat Malaysia sebenar.

Dan terbaru, mereka melancarkan program 100 hari yang kononnya akan dilaksanakan jika PKR, Pas dan DAP berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Ia adalah janji terbaru pakatan pembangkang untuk melaksanakan reformasi menyeluruh pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Rupa-rupanya dalam sinikal memperlekeh Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan lain yang kini sedang rancak digerakkan, mereka cuba 'menculik' program negara dan rakyat itu. Mereka menjanjikan 'dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program itu."

Cuba kita imbas antara program 100 hari itu yang tujuannya mengajak rakyat Malaysia, pengundi yang berdaftar supaya 'ubah sekarang, selamatkan Malaysia':

* Reformasi institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

* Mansuhkan ISA, mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

* Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

* Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.

* Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan dan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

* Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus.

* Menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

Sebahagian besar daripada reformasi yang diimpikan untuk dilaksanakan pada hari pakatan pembangkang menawan Putrajaya itu, kini sudahpun digerakkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka pun sedar perkara itu kerana sama ada di podium ceramah, Dewan dan media, merekalah antara pihak yang berterusan memperlekeh program mahupun projek transformasi berkenaan.

Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak telah berubah. Perubahan yang mengutamakan kehendak rakyat dan memperkasakan sistem penyampaian kerajaan sedang dilaksanakan, bukan lagi sekadar impian di atas kertas. Cuma, tentu sekali cara dan pendekatannya berbeza dengan reformasi pakatan pembangkang itu.

Lihatlah semasa BN mengakui era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir, pakatan pembangkang pula berfikir sebaliknya. Projek-projek dalam ETP umpamanya yang digarap hasil gabungan minda pelbagai pihak, telah pun disebarkan kepada umum melalui hari terbuka. Orang awam termasuk pembangkang boleh mengkritik, malah memperbetulkan jika masih ada kepincangan. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kritkan membina.

Jelaslah program impian 100 hari yang mereka uar-uarkan pada konvensyen pekatan pembangkang Ahad lalu, bukanlah perkara baru. Begitulah cekapnya politikus 'menculik' program-program yang kini sedang dilaksanakan dan kemudian mengaku pula ia adalah perjuangan mereka.

Mungkin benar seperti nasihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada konvensyen pakatan pembangkang itu bahawa "janganlah kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan..."

Masih banyak kelemahan di negeri-negeri yang mereka tadbir - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Perbaiki yang itu dulu dan tunjukkan prestasi. Perhalusilah ucapan Abdul Hadi bahawa 'pakatan pembangkang perlu bermuhasabah diri dengan pencapaian selama ini ketika memerintah beberapa negeri, selain menilai kelemahan dasar dan pelaksanaan masing-masing.

Tanpa diragui, pemimpin adalah pemain utama untuk membangun mahupun menghancurkan agama, bangsa dan negara. Baik pemimpin, baiklah negara. Jahat pemimpjn, ranaplah bangsa. Fikirkanlah.

Gangga Negara..

Khamis, 9 Disember 2010

Cengkaman DAP Perak mula goyah?

DAP pada masa ini memperlihatkan ia sebuah parti politik yang tiada cacat cela dan cukup berpengaruh di Perak melalui kenyataan pemimpin-pemimpinnya yang ultra kiasu. Namun, apa yang berlaku dan ditonton oleh rakyat adalah sebaliknya. Cengkaman parti itu yang mendominasi kuasa politik di negeri itu selepas PRU 2008 dilihat mula goyah.

Tidak mustahil sekiranya DAP akan kehilangan banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada PRU akan datang sekiranya rekod buruk pemerintahan 11 bulan bersama sekutunya Pas dan PKR dapat didedahkan kepada umum.

Andaian ini berasas kerana kepimpinan ketiga-tiga parti itu dilihat tiada semangat untuk memelihara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Negeri, apatah lagi untuk menjaga kerukunan serta keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di negeri itu. Mereka berpolitik sepanjang masa hanya untuk merebut kuasa dan membalas dendam.

Mengikut sejarah, kewujudan DAP pernah ditolak rakyat di negeri itu dalam PRU 1995 atas sentimen perkauman tebal yang menyaksikan parti itu kecundang 1-52 kepada BN.

Walaupun DAP dan sekutunya berkobar-kobar untuk menakluk Perak dan negeri-negeri dikuasai BN, namun impian mereka kini berhadapan dengan halangan besar kerana rekod buruk yang mereka tinggalkan. Mereka tidak boleh berbohong dan bersandiwara di hadapan umum sepanjang masa.

Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mensasarkan akan merampas semula Perak dalam PRU akan datang membuktikan beliau terlalu rakus untuk memegang kuasa.

Parti itu mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang demokrasi normal di negara ini, sekiranya berjaya menawan Putrajaya. Hakikatnya kini, pemikiran rakyat dan suasana politik di negeri itu berbeza dengan impian Kit Siang.

Dulu Kit Siang boleh menjaja isu keris, isu hak sama rata dan mengajak rakyat mengubah pemerintahan negara dengan nada berapi-api di kawasan Lembah Kinta. Ramai rakyat terpedaya dengan politik persepsi yang dijajanya.

Kini, BN pula boleh menjaja dan melondehkan perilaku sarkas wakil-wakil rakyat DAP, Pas dan PKR di dewan negeri dan dewan rakyat kepada umum. Mereka bukanlah wakil rakyat yang berwibawa, telus dan berintegriti seperti yang dicanangkan.

Sentimen pecah dan perintah, menidakkan hak kaum pribumi serta mendahulukan kepentingan satu kaum sahaja seperti yang ditonjolkan DAP dalam pentadbirannya di Pulau Pinang tidak mungkin diterima sembrono rakyat di negeri yang berdaulat itu.

Ramai yang sudah menyedari kerosakan yang dibawa DAP, PKR dan Pas terhadap asas-asas kenegaraan sewaktu mereka memegang tampuk pentadbiran negeri.

Politik persepsi yang dimanipulasi ketiga-tiga parti itu dilihat tidak dapat bertahan lama.Realitinya, sebelum berpeluang membentuk kerajaan, segala keburukan dan tingkahlaku pemimpin DAP dan sekutunya tersimpan kemas. Rakyat seolah-olah melihat mereka lebih baik daripada BN. Namun, setelah banyak kelemahan dan keburukan pemimpin parti tersebut dibongkar satu persatu selepas PRU 2008, rakyat akhirnya sedar mereka ditipu.

Berdasarkan angka, kemenangan calon DAP bagi kerusi DUN dalam PRU di negeri itu juga tidak membuktikan mereka terlalu berpengaruh dalam kalangan rakyat iaitu 13 kerusi (PRU 1990), satu kerusi (PRU 1995), empat kerusi (PRU 1999), tujuh kerusi (PRU 2004) dan 18 kerusi (PRU 2008). Ini bermakna, 17 kerusi DUN kecuali Sitiawan bukan milik mutlak DAP yang tidak boleh ditawan semula kerana ia pernah dimenangi BN khususnya h parti-parti komponen iaitu MCA, MIC, PPP dan Gerakan.

Dalam PRU 2008, DAP memenangi kerusi DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Malim Nawar, Keranji, Sitiawan, Pasir Bedamar dan Sungkai.

Kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat, Taiping, Teluk Intan, Batu Gajah, Beruas, Sungai Siput, Bagan Serai dan Parit Buntar yang dikuasai DAP dan sekutunya itu mesti dimenangi semula kerana usaha pembangunan di situ ternyata hasil usaha BN selama ini.

Oleh itu, adalah jelas kemenangan atau kekalahan di DUN tersebut banyak dipengaruhi oleh isu, persepsi umum dan sentimen perkauman tebal yang perlu diawasi dan ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Berasaskan angka, tidak mustahil MCA, MIC, PPP dan Gerakan boleh merampas kembali kerusi-kerusi yang kalah itu jika ada kemahuan politik yang tidak berbelah bagi kerana majoriti pengundinya adalah bukan Melayu yang tinggal di bandar.

Persoalannya kini, adakah MCA, MIC, PPP dan Gerakan Perak sudah bersedia untuk menawan semula kerusi yang pernah mereka kuasai? Kekalahan teruk parti-parti tersebut dalam PRU 2008 jika berulang dalam PRU akan datang pastinya akan menjadi beban kepada UMNO.

Rakyat di negeri itu tidak mahu lagi melihat episod parti-parti komponen BN meminta-minta kerusi bertanding tetapi akhirnya kalah, tawar menawar mengenai calon yang tidak menepati kehendak rakyat dan pertukaran tempat bertanding pada saat akhir.

Isu 'yoyo' ini yang menarik minat dan menjadi perbualan hangat orang ramai. Kedudukan UMNO negeri yang memenangi 27 kerusi DUN perlu disokong oleh kemenangan calon-calon parti komponen BN lain sekiranya beriltizam untuk memerintah negeri Perak selepas PRU 13.

Gangga Negara..

Selasa, 7 Disember 2010

Pertikai hak istimewa derhaka!

Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.

Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.

''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

''Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Perak di Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta kerabat-kerabat diraja yang lain.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sultan Perak juga mengingatkan umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

''Amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

''Jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan," titah baginda.

Tegas Sultan Azlan, keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam dan orang Melayu hari ini bukannya ibarat ''pipis datang melayang atau bulat datang menggolek'' sebaliknya mempunyai kisah perjuangan yang panjang.

''Keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelosok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan.

''Pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci, meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam daripada sebarang usaha pemesongan," titahnya.

Baginda menekankan betapa perlunya masyarakat Melayu insaf bahawa sesuatu keistimewaan itu tidak mungkin kekal selamanya apatah lagi jika mereka gagal menghargainya.

Dalam titahnya, baginda memberi contoh penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang akhirnya memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia berlandaskan nilai-nilai yang diredai.

''Nyatalah, peristiwa hijrah telah mencetuskan satu perubahan penting kepada umat Islam. Peristiwa hijrah merakamkan berlakunya transformasi.

''Hijrah adalah titik peralihan membolehkan umat Islam membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama Islam sehingga ummah berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar," titah baginda.

Maka itu, titah baginda, sambutan Maal Hijrah hendaklah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah diri untuk tidak mengulangi setiap kesilapan sebaliknya bertawaduk dan mencari keredaan Allah.

UM Online

Gangga Negara..

Selasa, 30 November 2010

Jika bloggers mesra kerajaan beralih kiblat, apa akan terjadi?

Malam Rabu minggu lalu saya berpeluang menemui para blogger mesra-kerajaan yang hebat-hebat dalam satu forum di Petaling Jaya. Mereka merupakan blogger yang berhempas-pulas siang dan malam menyajikan pelbagai maklumat bagi membantu kerajaan, UMNO, BN dan orang Melayu.

Bahan-bahan dalam blog mereka cukup kuat. Siap dengan gambar, grafik dan fakta-fakta yang cukup mengkagumkan, yang media arus perdana – akhbar-akhbar, radio dan televisyen – gagal melakukannya (lagi).

Sebagai wartawan akhbar yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan konvensional melebihi 20 tahun, saya melihat revolusi para blogger pasca reformasi 1997/98 ini berupaya memporak-perandakan subjek mereka. Dalam dunia propaganda dan perang psikologi media di Malaysia, mereka ini cukup bernilai.

Bagi saya, yang menjadi ahli panel forum malam itu, mereka sebenarnya ialah penggerak utama (the prime-movers) dalam peperangan siber di negara ini. Diakui pada sebelum, ketika dan selepas reformasi itu dulu, kemunculan mereka ini cukup memudaratkan kerajaan memerintah.

‘‘Saya sebagai penggerak laman web Mahazalim serta Mahafiraun ketika itu berjaya memporak-perandakan pemikiran rakyat terhadap Mahathir,” kata Anuar Md. Nor, blogger yang kini menggerakkan blog UMNO Reform atau pembaharuan UMNO yang mesra-kerajaan.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui kekuatan media baru itu. Pemikiran rakyat ketika itu -- sama ada faktanya sahih atau tidak – telah dibentuk oleh media tersebut.

Persepsi rakyat terhadap kerajaan, para pemimpin parti, UMNO dan BN ketika itu, dicorak oleh mereka. Bagi yang tidak boleh mencapai siber, bahan-bahan daripadanya dicetak dan diedarkan ke seluruh pelosok bandar dan kampung.

Revolusi wartawan siber ini telah diwujudkan dengan begitu cepat dan amat menarik sekali. Mereka berupaya merunsingkan semua pihak.

Namun sebagai pemimpin bijak, Dr. Mahathir ketika itu tidak kalut. Malah beliau mewujudkan koridor raya multimedia bagi memberi ruang yang lebih luas bagi medium baru ini berkembang.

Hari ini peranan blog kewartawanan baru itu menjadi satu fenomena. Ia amat penting dalam perang propaganda politik dan sosial di negara ini. Dr. Mahathir sendiri melalui chedet.com berkecimpung menulis melalui laman siber itu. Blognya adalah blog paling popular di negara ini.

Tapi siapa prime-movers yang dimaksudkan itu? Mereka boleh ditentukan dalam beberapa kategori. Jika diikut format blog Rocky‘s Bru (yang dianggap oleh para bloggers mesra-kerajaan sebagai penghulu mereka), ia terbahagi kepada yang utama; Journo-Bloggers, Socio-Political (So-Po), So-Po Anonymous (penulisnya tidak dikenali), Politicians (Ahli-ahli Politik), Blog Gambar dan lain-lain.

Journo-Bloggers sendiri terdiri daripada wartawan dan bekas wartawan media konvensional yang menulis blog di atas kapasiti peribadi. So-Po pula terdiri daripada pelbagai pihak termasuk para profesional dan bergerak aktif meluahkan perasaan dan mendedahkan fakta-fakta yang cukup mengancam. Antaranya Zakhir Mohd atau Big Dog melalui blognya Thirteen Million Plus Ringgit, Syed Azidi AlBukhary melalui blognya yang cukup anti pemerintah dulu, Sheih Kickdefella.

Begitu juga dengan Syed Akbar Ali melalui blog OutSyed The Box – yang analisis terbarunya cukup analitikal dan tidak termampu ditulis oleh wartawan akhbar arus perdana (sekarang).

Beliau menggarap corak pemilihan DAP secara cukup menarik. Bagaimana Teresa Kok dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor – walaupun corot di tempat kelima ke bawah. Sayang sekali tulisan seperti itu tidak dapat dilakukan oleh wartawan akhbar dengan cepat. Syed Akbar – seorang bekas ahli bank, lulusan luar negara dan kini berniaga kedai emas – berjaya membuat analisis mengalahkan wartawan Utusan Malaysia sendiri!

So-Po Anonymous (yang tidak berselindung lagi dan mulai dikenali) seperti Parpu Kari melalui House PK merupakan blogger terhebat memainkan peranan mempertahankan kerajaan semasa daripada pihak pembangkang. Parpu Kari kini berada di tempat ke-3 paling popular mengikut ranking Alexa untuk blog dan portal politik sehingga 28 November ini.

Begitu juga Ruang Bicara Faisal atau rbf online (ranking ke-10), cukup berbisa dengan berita dan analisis sempoi warna-warni politik semasa.

The Unspinners (ke-6), yang kononnya merupakan sekumpulan bloggers yang tidak dikenali juga memainkan peranannya yang tersendiri. Juga Jebat Must Die yang baru-baru ini menggarap secara bersiri dengan begitu detail dan akademik peristiwa di sebalik Tragedi 13 Mei.

Tabik juga kepada Husin Lempoyang, seorang blogger yang cukup kritis pemikirannya. Juga blogger Apanama serta Lydia USM (Lawyer Garang) yang cukup garang dengan coretannya.

( sila klik untuk gambaran jelas )

Blog GAP atau Gerakan Anti-PKR yang diasaskan oleh seorang bekas hardcore ahli PKR yang taksub kepada Anwar Ibrahim dan kini berpatah arang 360 darjah. Ia kini berkedudukan ranking ke-5 paling popular.

Tidak ketinggalan blogger foto Minaq Jinggo yang berjaya merakamkan gambar bersejarah Nik Aziz membahagi-bahagikan wang kepada pengundi di Galas. Gambarnya dipetik oleh Utusan Malaysia dan menjadi panas selama kempen itu berlangsung. Pas akhirnya kalah di situ.

Itu hanyalah sekadar yang tersebut. Banyaklah lagi yang tidak tersebut. Banyak yang akan berkecil hati kerana nama-nama blog mereka tidak tersebut. Yang nyata mereka ini terlalu hebat. Bahan-bahan berserta analisis mereka cukup membantu kerajaan daripada tekanan dan serangan pihak pembangkang, yang juga mempunyai jentera siber yang cukup konsisten, terancang dan sistematik.

Dalam forum itu saya membangkitkan satu persoalan: ‘‘Bayangkan sekiranya anda semua yang berada dalam dewan ini swing atau berpatah balik ke sebelah sana (pembangkang), apa akan jadi kepada kerajaan, UMNO, BN, PM...?”

Apa akan jadi jika Anuar, Parpu Kari, GAP, RBF, Kickdefella atau Syed Akbar, Big Dog (yang terlalu kuat UMNOnya) berpatah mengasak kerajaan...???

Semua dalam dewan itu terdiam. Penganjurnya dari pihak kerajaan juga turut terdiam. Para bloggers sebenarnya amat pasrah. Mereka yang saya panggil sebagai penggerak utama propaganda itu sebenarnya amat berkecil hati. Mereka mengadu tiada siapa yang mengambil berat terhadap mereka. Tiada siapa yang mengkoordinasi mereka.

Semasa berdialog mereka merungut. Mereka memberontak. Ada yang diam kerana memikirkan perjuangan menentang sebelah sana amat mustahak sekali. Tapi sampai bila mereka boleh bertahan?

Peranan mereka dipandang sepikah? Bukan semua mereka bekerja tetap, profesional atau berniaga emas seperti Syed Akbar. Yang gagal bertahan akan tutup kedai.

Blog AIDC yang hebat menghentam pembangkang hampir-hampir mati (sudah mati pun) kerana tiada bantuan. Kos untuk mengekalkan jentera pelayarnya sahaja sekitar RM26,000 sebulan. Siapakah yang menjaga mereka?

Apakah pihak-pihak tertentu sedar perkara ini?

Bukan tujuan saya untuk mendapatkan atau mencari jawapannya. Kita sedar pihak tertinggi ada bertemu mereka. Tapi mana susulan (follow-up)? Mereka juga manusia yang mempunyai perasaan dan perlu makan.

Cuba bayangkan jika esok mereka beralih kiblat?

Oleh : Zaini Hassan

Gangga Negara..