SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Ahad, 24 Oktober 2010

Bangkit pertahankan Putrajaya!

DALAM ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO ke-61 pada Khamis lalu, satu bahagian kecil ucapannya mengupas mengenai tiga fasa pemulihan dalam UMNO.

Pertama dan terpenting, kata beliau, adalah memperakui kelemahan dan masalah yang dihadapi. Fasa kedua, adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja.

Najib tidak menjelaskan secara terperinci maksud beliau mengenai gerak kerja yang harus diambil oleh ahli-ahli dan para pemimpin UMNO. Bagaimanapun, berdasarkan mesej beliau dalam ucapan itu, Najib menuntut segenap peringkat dalam UMNO bekerja keras untuk mempertahankan Putrajaya daripada dirampas oleh kumpulan parti lawan yang beliau sifatkan sebagai Saudagar Mimpi.

Beliau tidak menamakan ahli-ahli politik Saudagar Mimpi itu dalam ucapannya, tetapi semua ahli UMNO memahami identiti mereka. "Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?" tanya beliau.

Najib kemudian menambah: "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Mesej terpenting Presiden UMNO itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 ialah beliau mahu ahli-ahli UMNO dan orang Melayu memahami risiko yang sedang dihadapi: Mereka berhadapan dengan kemungkinan kehilangan kuasa jika kelemahan tidak diakui, penawar politik tidak dicari dan usaha ke arah mempertahankan kuasa -- yang Putrajaya menjadi simbolnya -- tidak dipastikan kejayaannya.

Dalam perhimpunan agung yang menggenggam erat agenda Melayu dan ditunjangi jaminan Najib bahawa hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu terpateri kemas dalam Perlembagaan serta tidak mungkin dapat diubah kerana telah tersimpul mati, mesej politik beliau itu perlahan- lahan meresap ke akar umbi sungguhpun masih belum dirasai sepenuhnya.

Perbahasan, komen dan cadangan para perwakilan pada perhimpunan itu memperlihatkan Najib mendapat sokongan sepenuh hati daripada akar umbi UMNO.

Ucapan penggulungan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada hari terakhir perhimpunan tahunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang semalam pula menggambarkan anggota-anggota sayap UMNO itu memahami isyarat Najib.

Masing-masing membentangkan program-program yang telah dilaksanakan serta harapan tinggi supaya seruan pucuk pimpinan UMNO disambut dengan semangat oleh ahli-ahli parti.

Mereka menghuraikan tentang masalah persepsi,langkah-langkah mendekati orang muda dan wanita, pelan tindakan pilihan raya umum, isu dividen politik dan sokongan, titik sentuh dan betapa pentingnya strategi komunikasi bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13.

Berbunga

Namun, belum pun sempat program dan harapan itu berbunga dengan puji-pujian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendedahkan dalam ucapan penggulungannya tentang realiti politik yang dihadapi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, dari Johor hingga ke Pulau Pinang dan Kedah, program pendaftaran pengundi melalui jentera UMNO dan BN masih jauh daripada memuaskan, yang mencerminkan kelemahan tertentu.

Jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan melalui jentera UMNO di Johor, misalnya, hanya 13,125 orang. Dicampur jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti komponen BN lain, bilangan pengundi baru yang didaftarkan oleh UMNO dan BN di Johor hanya sebanyak 14,768 orang.

DAP pula mendaftarkan 10,693 orang pengundi baru di Johor. Bersama dengan parti-parti pembangkang lain, termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan parti-parti pembangkang telah berjaya menarik 18,129 orang penyokong mereka menjadi pengundi baru.

Dalam kes pendaftaran pengundi baru, prestasi UMNO dan BN tidak dapat menandingi apa yang dicapai oleh parti-parti pembangkang setakat ini.

Jumlah pengundi di Malaysia pada 2010 berjumlah 11.4 juta orang dengan bilangan pengundi baru yang mendaftar selepas 2008 dianggarkan sebanyak 569,137 orang. Memenangi minda dan hati mereka merupakan satu cabaran besar.

Fakta yang didedahkan oleh Mohd. Shafie itu adalah sesuatu yang memukul minda dan seharusnya menakutkan sayap-sayap UMNO. Sesiapa sahaja yang sayangkan UMNO harus sedar bahawa apa yang mereka lakukan selama ini belum cukup bagus; kerja keras mereka pula masih belum membuahkan hasil.

Realitinya ialah di sebalik retorik ucapan-ucapan politik semasa perhimpunan dan di luar perhimpunan, UMNO dan BN sebenarnya berhadapan dengan situasi gerak kerja politik yang belum benar-benar efektif.

Najib mewarisi UMNO dan BN daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memimpin UMNO dan BN dalam pilihan raya umum Mac 2008. Pilihan raya itu menyaksikan prestasi paling buruk BN dalam sejarah. Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada bulan April 2009 selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, dan BN turut tersungkur di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO, Najib menceritakan bagaimana dunia sudah seperti mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO dalam pergolakan tahun 1969, 1987, 1999 dan 2008, tetapi dalam setiap krisis, "UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita."

Najib percaya UMNO diselamatkan kerana jasa parti itu yang amat besar kepada orang Melayu dan rakyat pelbagai kaum. Sumbangan UMNO kepada kemakmuran negara ini dalam sejarah kekuasaannya yang panjang bersama parti-parti komponen BN dibalas dengan kepercayaan rakyat pada setiap pilihan raya umum.

Bagaimanapun, ekoran prestasi buruk BN pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008 dan politik yang bergelora, beliau berpesan supaya semua orang Melayu berpasak kepada UMNO dan bertetap kepada panji-panji BN. Putrajaya, iaitu kota pentadbiran yang menjadi simbol kuasa, kata Najib, mesti dipertahankan.

Dengan pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan dalam tempoh 30 bulan lagi, mesej Najib itu amat penting diinsafi oleh ahli-ahli UMNO dan para penyokong BN. Tempoh 30 bulan tidak lama memandangkan Malaysia kini telah melepasi separuh usia Parlimen selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Saat-saat penentuan politik kian hampir, masa yang tinggal pula makin suntuk. Atas kesedaran itulah, dalam ucapan penggulungannya Najib bingkas menggariskan empat tonggak untuk menjamin kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Empat tonggak kemenangan itu ialah: Pertama, kepimpinan nasional mesti diperkukuhkan; kedua, kepimpinan peringkat negeri mesti disenangi; ketiga, parti UMNO mesti diterima rakyat; dan keempat, UMNO menampilkan calon-calon yang boleh memenangi pilihan raya.

Transformasi

Model transformasi UMNO juga penting dalam perjuangan mempertahankan Putrajaya. Tema 'UMNO Dahulukan Rakyat', kata Najib dalam ucapannya, perlu menjadi pencorak kepada gerak kerja UMNO dalam bulan-bulan yang mendatang.

Anak Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu -- yang menegaskan beliau akan meneruskan semangat ayahandanya yang memperjuangkan keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru -- yakin transformasi UMNO itu, jika ia menjadi pegangan semua pihak, akan membawa perubahan besar kepada politik Malaysia.

Beliau memberikan analogi fenomena air bah besar di Pekan, Pahang iaitu kawasan Parlimen yang diwakilinya.

"Apabila air dari hulu mengalir (ke Pekan) bertemu dengan air laut pasang, ia akan menyebabkan berlaku limpahan bah besar di Pekan," katanya.

Adakah akan berlaku bah besar dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal menyaksikan UMNO dan BN kembali sebagai sebuah kuasa politik yang tiada tandingan? Adakah Putrajaya akan kekal selamat di pangkuan UMNO dan BN dalam tempoh 30 bulan lagi?

Misi dan visi politik itu jelas bermain-main dalam minda Najib.

Najib secara terbuka berkata, strategi untuk memastikan wujud bah besar yang berpihak kepada UMNO bukan sesuatu yang merupakan idea beliau. Elemen-elemen dalam strategi tersebut beliau cantumkan dengan idea-idea pemimpin akar umbi khususnya saranan-saranan yang dikemukakan oleh para perwakilan yang berucap pada Perhimpunan Agung UMNO.

Di atas kertas, elemen-elemen itu amat simplistik, efektif dan bukan sesuatu yang tidak berupaya untuk dicapai.

Pada acara penutup Perhimpunan Agung UMNO ke-61 semalam, Najib dalam diam-diam juga sudah memalu gendang perang.

Beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun melawat negeri-negeri untuk berjumpa dengan ahli-ahli UMNO dan rakyat. Jentera UMNO diarahkan untuk memastikan kejayaan program lawatan itu.

Dalam masa terdekat, rakyat akan melihat ahli-ahli UMNO merapatkan saf dan wajah barisan kepimpinan UMNO di peringkat tertentu disegarkan menjelang pilihan raya. Ia mengingatkan kita kepada program bertemu rakyat secara besar-besaran yang telah menukar mood politik negara pada zaman gelora tahun 1980-an dan 1990-an.

UMNO mempunyai sejarah yang hebat dalam program-program massa seumpama itu sejak zaman menentang Malayan Union pada tahun 1946 lagi.

Gerak politik yang bakal dilakukan oleh Najib itu pasti melengkapkan percaturan siasah dan gaya politik baru yang dimulakan sejak hari pertama beliau memimpin UMNO dan menerajui kerajaan pada April 2009 -- hari ketika beliau dipertanggungjawabkan dengan beban amat berat dalam persekitaran yang sungguh menekan.

Bahtera UMNO yang bergoncang kerana gelora politik dan asakan pembangkang tidak akan berhenti, itulah janji Perdana Menteri yang berusia 57 tahun itu. "Orang Melayu dan negara tidak boleh berharap kepada orang lain melainkan UMNO sahaja," tegasnya.

Pada mata Najib, hanya UMNO dapat menjamin masa depan orang Melayu dan negara. Maknanya, kukuh UMNO selamatlah Melayu; tegap UMNO, sejahteralah Malaysia.

Dan beliau mengajak lebih 3.5 juta ahli UMNO dan berjuta-juta rakyat Melayu dan bukan Melayu lain berkongsi salah satu matlamat perjuangan tersebut: Pertahankan Putrajaya - demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia.

Najib, tanpa diragui lagi, ingin mengukir masa depan politik dengan semangat itu.-UM.

Gangga Negara..

Rabu, 13 Oktober 2010

65 angkasawan berbaju Melayu!

Perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunus mencatat sejarah tersendiri apabila majlis tersebut turut dihadiri oleh 65 angkasawan dari luar negara.

Secara kebetulan kesemua mereka berada di Kuala Lumpur sempena Kongres Planet Ke-23 anjuran Persatuan Penerokaan Angkasa yang bermula 5 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Menariknya pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), kesemua angkasawan berkenaan segak dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan songkok.

Malah pasangan mereka juga kelihatan anggun dengan busana baju kurung yang disediakan khas oleh Jakel.

Penolong Pengurus Imej Jakel, Mohamad Azizi Wahab memberitahu, pihaknya menyediakan 150 pasang baju Melayu yang dilengkapi dengan samping dan songkok.

''Kesemua ini kita sediakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut memandangkan Dr. Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama negara,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan, penajaan tersebut merupakan tanggungjawab sosial syarikatnya kepada masyarakat.

Malah ia juga merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan baju tradisional negara kepada dunia luar.

Katanya lagi, pelbagai warna dan corak disediakan bagi memudahkan kumpulan angkasawan berkenaan memilih warna yang digemari.

Malah, pihaknya juga turut menyediakan baju Melayu yang bersaiz besar mengikut saiz Eropah.

Sementara itu, ketika sesi mencuba pakaian yang berlangsung di Hotel Istana sehari sebelum majlis persandingan, kesemua mereka kelihatan teruja dan seronok apabila berpeluang untuk memakai baju kebangsaan itu.

Salah seorang angkasawan, Klaus Dietreh Flade dari Jerman menyatakan keterujaannya apabila berpeluang mencuba pakaian tradisional masyarakat Melayu.

''Saya tidak sabar untuk mencuba pakaian tradisional ini yang sememangnya sangat unik dan menarik,'' ujarnya yang ditemani isteri.

Beliau yang bangga dapat mencuba memakai pakaian kebangsaan itu memilih warna coklat cair untuk di pakai majlis persandingan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau yang merupakan juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di Jerman menjelaskan kehadirannya pada majlis itu merupakan penghormatan kepada seorang teman yang pernah bekerjasama sebelum ini.

''Biarpun tidak pernah bertemu, namun inilah sokongan dan penghormatan saya untuk kepada Dr. Sheikh Muszaphar yang pernah menjejak kaki ke angkasa lepas,'' akuinya jujur.

Sementara itu, seorang lagi angkasawan, Sergei Avdeyev Va Siljevich, 54, turut berasa seronok kerana berpeluang meraikan majlis istimewa sahabatnya.

''Saya seronok kerana dijemput untuk menghadiri majlis yang bersejarah ini,'' ujarnya yang berkenalan dengan Dr. Sheikh Muzaphar ketika menghadiri seminar di Republik Czech sedikit masa lalu.

Angkasawan dari Rusia ini juga teruja kerana berpeluang mencuba baju Melayu dan dibawa pulang untuk di tunjukkan kepada rakan-rakan di negaranya.

''Tidak sabar rasanya untuk memakai baju ini dan ke majlis yang penuh adat itu,'' ujarnya sambil mendoakan kebahagiaan kepada pasangan pengantin baru itu.

Gangga Negara..