SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Selasa, 30 November 2010

Jika bloggers mesra kerajaan beralih kiblat, apa akan terjadi?

Malam Rabu minggu lalu saya berpeluang menemui para blogger mesra-kerajaan yang hebat-hebat dalam satu forum di Petaling Jaya. Mereka merupakan blogger yang berhempas-pulas siang dan malam menyajikan pelbagai maklumat bagi membantu kerajaan, UMNO, BN dan orang Melayu.

Bahan-bahan dalam blog mereka cukup kuat. Siap dengan gambar, grafik dan fakta-fakta yang cukup mengkagumkan, yang media arus perdana – akhbar-akhbar, radio dan televisyen – gagal melakukannya (lagi).

Sebagai wartawan akhbar yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan konvensional melebihi 20 tahun, saya melihat revolusi para blogger pasca reformasi 1997/98 ini berupaya memporak-perandakan subjek mereka. Dalam dunia propaganda dan perang psikologi media di Malaysia, mereka ini cukup bernilai.

Bagi saya, yang menjadi ahli panel forum malam itu, mereka sebenarnya ialah penggerak utama (the prime-movers) dalam peperangan siber di negara ini. Diakui pada sebelum, ketika dan selepas reformasi itu dulu, kemunculan mereka ini cukup memudaratkan kerajaan memerintah.

‘‘Saya sebagai penggerak laman web Mahazalim serta Mahafiraun ketika itu berjaya memporak-perandakan pemikiran rakyat terhadap Mahathir,” kata Anuar Md. Nor, blogger yang kini menggerakkan blog UMNO Reform atau pembaharuan UMNO yang mesra-kerajaan.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui kekuatan media baru itu. Pemikiran rakyat ketika itu -- sama ada faktanya sahih atau tidak – telah dibentuk oleh media tersebut.

Persepsi rakyat terhadap kerajaan, para pemimpin parti, UMNO dan BN ketika itu, dicorak oleh mereka. Bagi yang tidak boleh mencapai siber, bahan-bahan daripadanya dicetak dan diedarkan ke seluruh pelosok bandar dan kampung.

Revolusi wartawan siber ini telah diwujudkan dengan begitu cepat dan amat menarik sekali. Mereka berupaya merunsingkan semua pihak.

Namun sebagai pemimpin bijak, Dr. Mahathir ketika itu tidak kalut. Malah beliau mewujudkan koridor raya multimedia bagi memberi ruang yang lebih luas bagi medium baru ini berkembang.

Hari ini peranan blog kewartawanan baru itu menjadi satu fenomena. Ia amat penting dalam perang propaganda politik dan sosial di negara ini. Dr. Mahathir sendiri melalui chedet.com berkecimpung menulis melalui laman siber itu. Blognya adalah blog paling popular di negara ini.

Tapi siapa prime-movers yang dimaksudkan itu? Mereka boleh ditentukan dalam beberapa kategori. Jika diikut format blog Rocky‘s Bru (yang dianggap oleh para bloggers mesra-kerajaan sebagai penghulu mereka), ia terbahagi kepada yang utama; Journo-Bloggers, Socio-Political (So-Po), So-Po Anonymous (penulisnya tidak dikenali), Politicians (Ahli-ahli Politik), Blog Gambar dan lain-lain.

Journo-Bloggers sendiri terdiri daripada wartawan dan bekas wartawan media konvensional yang menulis blog di atas kapasiti peribadi. So-Po pula terdiri daripada pelbagai pihak termasuk para profesional dan bergerak aktif meluahkan perasaan dan mendedahkan fakta-fakta yang cukup mengancam. Antaranya Zakhir Mohd atau Big Dog melalui blognya Thirteen Million Plus Ringgit, Syed Azidi AlBukhary melalui blognya yang cukup anti pemerintah dulu, Sheih Kickdefella.

Begitu juga dengan Syed Akbar Ali melalui blog OutSyed The Box – yang analisis terbarunya cukup analitikal dan tidak termampu ditulis oleh wartawan akhbar arus perdana (sekarang).

Beliau menggarap corak pemilihan DAP secara cukup menarik. Bagaimana Teresa Kok dipilih sebagai Pengerusi DAP Selangor – walaupun corot di tempat kelima ke bawah. Sayang sekali tulisan seperti itu tidak dapat dilakukan oleh wartawan akhbar dengan cepat. Syed Akbar – seorang bekas ahli bank, lulusan luar negara dan kini berniaga kedai emas – berjaya membuat analisis mengalahkan wartawan Utusan Malaysia sendiri!

So-Po Anonymous (yang tidak berselindung lagi dan mulai dikenali) seperti Parpu Kari melalui House PK merupakan blogger terhebat memainkan peranan mempertahankan kerajaan semasa daripada pihak pembangkang. Parpu Kari kini berada di tempat ke-3 paling popular mengikut ranking Alexa untuk blog dan portal politik sehingga 28 November ini.

Begitu juga Ruang Bicara Faisal atau rbf online (ranking ke-10), cukup berbisa dengan berita dan analisis sempoi warna-warni politik semasa.

The Unspinners (ke-6), yang kononnya merupakan sekumpulan bloggers yang tidak dikenali juga memainkan peranannya yang tersendiri. Juga Jebat Must Die yang baru-baru ini menggarap secara bersiri dengan begitu detail dan akademik peristiwa di sebalik Tragedi 13 Mei.

Tabik juga kepada Husin Lempoyang, seorang blogger yang cukup kritis pemikirannya. Juga blogger Apanama serta Lydia USM (Lawyer Garang) yang cukup garang dengan coretannya.

( sila klik untuk gambaran jelas )

Blog GAP atau Gerakan Anti-PKR yang diasaskan oleh seorang bekas hardcore ahli PKR yang taksub kepada Anwar Ibrahim dan kini berpatah arang 360 darjah. Ia kini berkedudukan ranking ke-5 paling popular.

Tidak ketinggalan blogger foto Minaq Jinggo yang berjaya merakamkan gambar bersejarah Nik Aziz membahagi-bahagikan wang kepada pengundi di Galas. Gambarnya dipetik oleh Utusan Malaysia dan menjadi panas selama kempen itu berlangsung. Pas akhirnya kalah di situ.

Itu hanyalah sekadar yang tersebut. Banyaklah lagi yang tidak tersebut. Banyak yang akan berkecil hati kerana nama-nama blog mereka tidak tersebut. Yang nyata mereka ini terlalu hebat. Bahan-bahan berserta analisis mereka cukup membantu kerajaan daripada tekanan dan serangan pihak pembangkang, yang juga mempunyai jentera siber yang cukup konsisten, terancang dan sistematik.

Dalam forum itu saya membangkitkan satu persoalan: ‘‘Bayangkan sekiranya anda semua yang berada dalam dewan ini swing atau berpatah balik ke sebelah sana (pembangkang), apa akan jadi kepada kerajaan, UMNO, BN, PM...?”

Apa akan jadi jika Anuar, Parpu Kari, GAP, RBF, Kickdefella atau Syed Akbar, Big Dog (yang terlalu kuat UMNOnya) berpatah mengasak kerajaan...???

Semua dalam dewan itu terdiam. Penganjurnya dari pihak kerajaan juga turut terdiam. Para bloggers sebenarnya amat pasrah. Mereka yang saya panggil sebagai penggerak utama propaganda itu sebenarnya amat berkecil hati. Mereka mengadu tiada siapa yang mengambil berat terhadap mereka. Tiada siapa yang mengkoordinasi mereka.

Semasa berdialog mereka merungut. Mereka memberontak. Ada yang diam kerana memikirkan perjuangan menentang sebelah sana amat mustahak sekali. Tapi sampai bila mereka boleh bertahan?

Peranan mereka dipandang sepikah? Bukan semua mereka bekerja tetap, profesional atau berniaga emas seperti Syed Akbar. Yang gagal bertahan akan tutup kedai.

Blog AIDC yang hebat menghentam pembangkang hampir-hampir mati (sudah mati pun) kerana tiada bantuan. Kos untuk mengekalkan jentera pelayarnya sahaja sekitar RM26,000 sebulan. Siapakah yang menjaga mereka?

Apakah pihak-pihak tertentu sedar perkara ini?

Bukan tujuan saya untuk mendapatkan atau mencari jawapannya. Kita sedar pihak tertinggi ada bertemu mereka. Tapi mana susulan (follow-up)? Mereka juga manusia yang mempunyai perasaan dan perlu makan.

Cuba bayangkan jika esok mereka beralih kiblat?

Oleh : Zaini Hassan

Gangga Negara..

Ahad, 21 November 2010

Siapa yang benar, Anwar atau mereka?


Adakalanya gambar sudah boleh menceritakan segala-galanya. Begitu juga dengan PKR, parti politik yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim. Lihatlah wajah-wajah ini. Suatu ketika mereka adalah pemimpin PKR dan sebahagiannya adalah sahabat Anwar tetapi kini tidak lagi. Mereka dan ramai lagi pemimpin peringkat pertengahan dan cabang bertindak keluar kerana sebab yang sama - hilang kepercayaan terhadap ketua pembangkang itu.

Terbaru, tindakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim meninggalkan PKR kelmarin, mencetuskan tanda tanya besar tentang nasib parti itu. Siapa lagi yang akan keluar dan sampai bila PKR mampu bertahan?

Seperti biasa, Anwar dan orang kepercayaannya, Azmin Ali atau ada yang merujuk mereka sebagai rakan kongsi, sudah punya jawapan. Kedua-duanya akan mencari salah semua mereka yang meninggalkan parti. Malah ada yang dihina dan difitnah. Tetapi siapakah yang benar, sama ada Anwar bersama Azmin atau puluhan pemimpin serta ribuan lagi ahli PKR meliputi semua kaum yang bertindak keluar?

Tidak perlu di ulas panjang untuk mencari jawapan. Renungkanlah di mana salahnya. Parti yang masih baru sudah ditinggalkan sebegitu ramai pengikut. Sebenarnya terlalu banyak isu melingkari PKR daripada integriti dan moral Anwar, dasar yang bercelaru sehinggalah kepada kelemahan pengurusan parti sebagaimana kegawatan pemilihan parti itu sekarang.

Tetapi yang lebih menarik untuk dikaji mengapa semakin kuat dorongan untuk keluar PKR. Seorang bekas pemimpin PKR memberitahu bahawa Anwar seorang yang hipokrit dan melakukan perkara yang tidak boleh diterima dek akal dan kewarasan. ``Sesiapa sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya beliau, pasti terdorong kuat untuk membetulkan keadaan. Ini juga jihad,’’ katanya.

Termenung panjang apatah lagi mendapat tahu satu demi satu kisah sisi gelapnya yang luar biasa. Keghairahan beliau mendapatkan campur tangan asing bagi menyelamatkan dirinya daripada kes liwat, amat memalukan. Rasanya, Anwar adalah ketua pembangkang di seantero dunia yang paling bermasalah dan mempunyai isu moral yang serius.

Kita harus bersyukur kebenaran makin terserlah. Tahniah kepada semua yang berani menegakkan kebenaran dan meninggalkan Anwar. Semoga Allah menyelamatkan Malaysia. Benar, ini juga jihad kita.

Oleh : Awang Selamat

Gangga Negara..

Sabtu, 20 November 2010

PERKASA tak minat jadi ahli bergabung BN!

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) setakat ini lebih berminat untuk tidak bergabung atau menjadi ahli bersekutu dengan mana-mana parti politik kerana "mahu kekal bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak".

"Apa jua dasar yang baik untuk rakyat, selari dengan perlembagaan negara, PERKASA akan bagi sokongan kepada mana-mana pihak," kata setiausaha agungnya Syed Hasan Syed Ali.

Dalam kenyataannya petang ini, Syed Hasan bagaimanapun menyerahkan keputusan muktamad untuk memohon menjadi ahli gabungan BN kepada perwakilan mesyuarat agung PERKASA pada Mac tahun depan.

"Ia (merupakan) perkara dasar, maka keputusan terletak kepada perwakilan mesyuarat agung PERKASA," katanya menjawab soalan sama ada pertubuhan Melayu itu berminat menjadi ahli bergabung dengan BN setelah keahlian baru itu diluluskan parti itu tengah hari tadi.

Selain meluluskan ahli bersekutu secara keahlian langsung Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan keputusan dewan tertinggi parti yang meluluskan menerima mana-mana NGO, pertubuhan atau persatuan untuk menjadi ahli bergabung dalam parti itu.

Najib (kiri) bagaimanapun menegaskan bahawa peraturan atau keputusan tentang ahli bergabung akan diputuskan oleh dewan tertinggi BN selepas mengambil kira pandangan parti komponen.

Sebelum itu, Syed Hasan berkata sukar bagi pertubuhan itu menjadi ahli gabungan kerana ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang politik. Malah, beliau juga sendiri masih belum faham apakah maksud dan pendekatan sebenar "ahli gabungan" seperti mana yang diumumkan oleh Najib itu.

"Kita tengok (dahulu) apa pendekatan BN. Dan apabila sudah faham, kita akan berfikir semula... Sukar untuk menerima jemputan (sebagai ahli bergabung) sebab ahli kita pelbagai latar belakang," katanya.

Sementara itu Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah pula menjangkakan kemungkinan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi NGO itu dua minggu lagi.

Pertubuhan yang diketuai ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali itu sering dikaitkan dengan Umno - tulang belakang BN - terutamanya oleh pembangkang.

Gangga Negara..