SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Jumaat, 25 Mac 2011

Selamat Menyambut Peringatan Hari Polis ke-204.

Meningkatkan integriti pasukan polis

Hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut Peringatan Hari Polis Ke-204 yang bukan sahaja bermakna untuk seluruh warganya, tetapi juga buat Ketua Polis Negara, TAN SRI ISMAIL OMAR yang baru lima bulan memegang jawatan nombor satu organisasi itu.

Dalam wawancara khas sempena sambutan itu bersama wartawan Utusan Malaysia kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ismail meluahkan harapannya untuk melihat PDRM agar terus menjadi sebuah agensi terulung dalam memelihara keamanan dan ketenteraman negara.

Sempena hari penting buat warga pasukan itu, beliau juga mahukan seluruh anggota dan pegawainya agar menghayati sepenuhnya konsep 4P secara berintegriti dan menjayakan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM 2011-2015 yang turut dilancarkan hari ini.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah cabaran Tan Sri ketika mengambil alih tugas sebagai KPN pada September 2010?

ISMAIL: Ketika saya mengambil alih tugas pucuk pimpinan, masih kedengaran kononnya negara tidak selamat dan kadar jenayah yang tinggi. Maka kerajaan telah jadikan isu jenayah sebagai agenda nasional menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Melalui usaha strategik dan agresif PDRM, indeks jenayah negara dikurangkan kepada 15 peratus manakala kadar jenayah jalanan, 35 peratus. Justeru, cabaran saya ketika memegang jawatan KPN adalah meneruskan usaha mengurangkan jenayah ini agar rakyat merasa selesa, aman dan tenteram.

Selain itu, saya berhadapan dengan persaraan empat pengarah PDRM yang mana saya terpaksa kenal pasti penggantinya, menstruktur semula organisasi seterusnya melibatkan sejumlah kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan.

Apakah strategi digunakan Tan Sri untuk mengurangkan jenayah?

Kita akan teruskan konsep omnipresence atau kehadiran polis seperti dilaksanakan pada 2010. Pada tahun lalu, sebanyak 7,400 anggota polis yang tidak terlibat mencegah jenayah dikerah membantu operasi.

Namun tahun ini, pelbagai usaha telah diambil dengan mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjaga sempadan membantu tugas-tugas itu di empat bandar utama iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Sehingga kini, kita telah melihat kesan yang positif apabila kadar jenayah telah dapat dikawal dengan baik.

Kita juga menggunakan konsep Payung seperti balai polis bergerak di Selangor sebagai satu lagi strategi untuk menunjukkan kehadiran polis. Selain itu, PDRM akan teruskan usaha dekati rakyat dengan semua golongan masyarakat dan menggalakkan ketua-ketua polis daerah adakan interaksi dengan penduduk di bandar atau luar bandar.

Bagaimana dari aspek pembangunan fizikal dan logistik pasukan?

PDRM melihat keperluan logistik begitu penting bagi menjadikan pasukan sebagai agensi utama menjaga keselamatan negara. Oleh itu, kita akan menambah balai-balai polis malah mewujudkan bas-bas dan van sebagai balai polis bergerak di seluruh negara. Ia strategi untuk meningkatkan kehadiran polis di kalangan masyarakat.

Apakah perkara paling dititikberatkan Tan Sri ketika menjawat jawatan nombor satu PDRM?

Harapan rakyat pada masa kini adalah tinggi kerana mereka tahu hak masing-masing selain faktor kemajuan teknologi maklumat (IT). Ketika memegang jawatan KPN, saya amat menekankan kepantasan siasatan kerana rakyat mahu penjenayah segera ditangkap dan dihukum.

Walaupun PDRM mencapai kadar penyelesaian kes yang tinggi iaitu 40 peratus tahun lalu, tetapi tidak bermakna jika siasatan mengambil masa lama. Jenayah merentas sempadan juga perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan banyak individu, sindiket atau negara malah jumlah kerugian yang tinggi.

Mengapakah Tan Sri menekankan konsep 4P – ‘Protective’ (Melindungi), ‘Performance’ (Berprestasi), ‘Proactive’ (Proaktif) dan ‘People Oriented’ (Berorientasikan Masyarakat)?

Ia ditekankan kerana mampu mengubah PDRM ke tahap lebih tinggi dalam banyak aspek. Konsep itu menekankan pembangunan modal insan selain prestasi kerja dan sifat-sifat penting perlu ada pada polis.

Bagaimana Tan Sri menangani rungutan dan kemarahan orang ramai berhubung perkhidmatan polis?

Dalam hal ini, saya menyeru warga PDRM agar meningkat mutu perkhidmatan melalui komitmen yang tinggi, integriti, berhemah, tegas dan ‘lembut’ bila perlu serta mengikuti konsep 4P.

Saya yakin jika ia dilakukan, tahap keyakinan orang ramai terhadap pasukan bertambah dan pastinya rakyat akan menyanjung PDRM seperti mana hala tuju kita. Walaupun mungkin kita lambat selesaikan kes-kes jenayah, jika kita tunjukkan kesungguhan, rakyat tetap yakin.

Apakah maklum balas rakyat terhadap strategi dilaksanakan PDRM?

Kita telah buat survey baru-baru ini dan dapati keyakinan orang ramai terhadap PDRM sejak lima bulan lalu semakin bertambah. Kita akan teruskan usaha ini untuk tambah lagi keyakinan rakyat.

Antara perkara yang mendapat keyakinan rakyat adalah tentang layanan polis ketika menerima laporan selain kecekapan pegawai penyiasat (IO).

Sebagai contoh, di Kuala Lumpur kita telah dapat bertindak antara 10 dan 12 minit dalam kes-kes jenayah. Selain itu, semakin banyak kes yang dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam dan 48 jam di seluruh negara.

Boleh Tan Sri jelaskan Pelan Strategik Lima Tahun PDRM?

Pelan strategik lima tahun sebelum ini akan berakhir pada April ini dan digantikan dengan yang baru bermula pada 2011 sehingga 2015.

Sebanyak lapan teras dikenal pasti iaitu bagi memastikan rakyat hidup selamat, pencapaian, pengurusan kewangan berhemah, pencegahan jenayah secara inovasi, berorientasikan perkhidmatan, kecemerlangan operasional, tanggungjawab sosial serta korporat yang baik dan tenaga kerja yang mahir, bermotivasi dan inovasi.

Apakah pesanan Tan Sri kepada semua warga PDRM sempena Peringatan Hari Polis Ke-204?

Saya meminta semua warga PDRM menghayati peranan pasukan dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara, termasuk pelabur luar dan pelancong. Ini perlu dilakukan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP), konsep 4P yang berteraskan integriti.

Gangga Negara..

Selasa, 15 Mac 2011

Zahid Hamidi selar tindakan Anwar cuba alih isu DNA!

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan individu lain dalam usahanya 'menyelamatkan' diri daripada menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada mahkamah, merupakan sesuatu yang mengarut.

Ini kerana pihak yang dikaitkan Anwar supaya menyerahkan DNA mereka terlebih dahulu itu, langsung tidak bersangkut-paut dengan kes liwat yang sedang dibicarakan, mahu pun misteri mengenai indentiti lelaki 'Y' yang meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Anwar bukan sahaja sesuatu yang pelik, tetapi di luar etika mahkamah kerana perbicaraan kes liwat yang sedang berlangsung membabitkan ketua pembangkang itu.

Sambil menyelar sikap bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau mempersoalkan kenapa Anwar yang bercita-cita mahu menjadi pemimpin nombor satu negara itu begitu takut untuk menyerahkan sampel DNA jika benar merasakan dirinya tidak bersalah.

"Mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam kes yang beliau hadapi ini adalah sesuatu yang di luar etika mahkamah kerana ia langsung tidak bersangkut-paut. Ini kes liwat dan yang dituduh adalah Anwar.

"Saya tidak fikir DNA orang lain ada kaitan dengan kes yang beliau sedang hadapi dan tidak ada sebab untuk Anwar merasa takut untuk menyerahkan DNA kepada mahkamah jika benar beliau tidak bersalah," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar yang bertindak mengaitkan Perdana Menteri dan Rais ketika cuba mengelak daripada cabaran pelbagai pihak supaya menyerahkan DNA secara sukarela kepada mahkamah bagi membolehkan kebenaran siapa lelaki 'Y' dibuktikan.

Ketua pembangkang itu ketika diasak oleh wartawan berhubung gesaan tersebut semalam, cuba mengaitkan isu DNA dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu serta dakwaan tidak berasas berhubung tuduhan rogol membabitkan pembantu rumah Rais.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tindakan Anwar itu tidak lebih bertujuan politik dan bukannya mahu mencari kebenaran, sebagaimana dituntut oleh rakyat.

Katanya, Anwar cuba mengalih perhatian rakyat terhadap persoalan pokok iaitu mengenai perjalanan kes liwat dan misteri lelaki 'Y' yang air maninya ditemui dalam dubur Mohd. Saiful.

"Gunakanlah etika mahkamah dan perundangan sedia ada bagi menentukan kebenaran dengan menyediakan segala bukti yang diperlukan oleh mahkamah. Jangan politikkan isu ini kerana isunya sekarang sudah ada bahan bukti, kecuali DNA Anwar," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, tiada sebarang alasan untuk Anwar merasa takut bagi menyerahkan sampel DNA, melainkan ketua pembangkang itu memang mempunyai niat untuk menyembunyikan sesuatu.

"Pakar-pakar perubatan yang akan menilai dan menguji DNA beliau tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menyeleweng sebagaimana didakwa. Saya percaya pakar-pakar ini hanya mahu membantu mahkamah mencari kebenaran," jelasnya.

Gangga Negara..

Isnin, 7 Mac 2011

Melakar Malaysia maju, berkualiti!

Tuanku Mizan Zainal Abidin

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wabihi Nasta'iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya kita dipermudahkan sehingga dapat berkumpul sekali lagi, di Dewan yang mulia ini untuk Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas.

Beta bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap oleh negara selama ini. Beta berharap kesejahteraan negara di bawah Gagasan 1Malaysia akan berterusan, di mana rakyat yang didorong oleh semangat kesatuan akan dapat menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

Tahun 2010 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Prestasi perbelanjaan ke atas projek-projek pembangunan yang telah dilaksanakan mencapai 96.2 peratus daripada peruntukan berjumlah RM230 bilion. Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan, pihak swasta dan rakyat yang bersama-sama menjayakannya. Semoga Rancangan Malaysia Kesepuluh yang mula dilaksanakan pada tahun ini dapat terus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Alhamdulillah, ekonomi Malaysia kembali kukuh dengan mencatat pertumbuhan pesat pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010, berbanding penguncupan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan tinggi ini dicapai berikutan permintaan domestik yang mantap dan disokong oleh prestasi eksport yang menggalakkan. Pemulihan ekonomi yang pantas ini juga hasil daripada dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan. Tanda-tanda pengukuhan ekonomi negara juga boleh dilihat melalui peningkatan keyakinan pelabur sehingga Indeks Bursa Malaysia telah mencatatkan paras tertinggi melebihi 1,570 mata pada awal tahun ini. Pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan pula telah meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2010 berbanding RM22.1 bilion yang dicatat pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus. Pelaburan asing terbesar adalah daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura dan Jerman. Pada tahun ini, pertumbuhan ekonomi negara disasarkan antara 5 hingga 6 peratus yang akan dipacu oleh sektor swasta serta eksport yang menggalakkan.

Perbelanjaan awam pula dianggarkan meningkat dengan kadar lebih perlahan sejajar dengan matlamat pengurusan fiskal yang berhemat.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, faktor-faktor luaran seperti ekonomi global yang masih tidak menentu akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini merupakan satu cabaran dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengalu-alukan keterbukaan Kerajaan yang mengakui bahawa di sebalik kejayaan ekonomi yang dinikmati selama ini, dikhuatiri kita akan terus terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana sekiranya tiada tindakan konkrit diambil untuk keluar dari situasi tersebut. Dalam hal ini, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan transformasi berlandaskan 4 tonggak utama, iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara, atau NKRA dan Program Transformasi Ekonomi berteraskan Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas.

Program Transformasi Kerajaan dan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan merupakan langkah yang berpandangan jauh dan berani demi membawa Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebanyak 12 Bidang Ekonomi Utama Negara, atau NKEA telah dikenal pasti dapat menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion, dengan 92peratus oleh sektor swasta. Pelaksanaan NKEA akan memberi kesan yang menyeluruh kepada rakyat melalui pewujudan lebih kurang 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ini akan memberi lebih banyak pilihan bagi mereka yang mencari pekerjaan serta membolehkan peralihan kepada pekerjaan berpendapatan lebih tinggi. Justeru, rakyat juga akan berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Malaysia komited untuk mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000, atau RM50,000. Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dengan purata sekurang-kurangnya 6 peratus setiap tahun, yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta peningkatan eksport.

Usaha-usaha juga akan terus dipertingkatkan bagi menjadikan Malaysia mempunyai ciri-ciri sebagai peneraju pasaran dan amalan tadbir urus cemerlang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Perdagangan luar terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2010 jumlahnya telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding RM988.2 bilion pada tahun 2009. Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara ASEAN, rakan dagang tradisional dan yang sedang berkembang pesat di Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

Beta mengucapkan tahniah di atas kejayaan Malaysia berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010. Industri dalam negara terutama industri kecil dan sederhana akan terus dimantapkan. Di samping itu, industri berkaitan teknologi hijau juga akan diberi galakan, mengambil kira potensinya selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara untuk mewujudkan ekonomi lestari pada masa hadapan.

Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai minda kelas pertama serta mampu bersaing di peringkat global amat penting untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta vokasional akan terus diperkasakan. Di peringkat pengajian tinggi pula, penekanan akan diberi kepada program kerjasama universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Beta menyeru supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi.

Dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengambil kira keperluan pasaran dan kehendak negara, program-program latihan teknikal dan vokasional kepada golongan lepasan sekolah, belia dan pekerja sedia ada akan dipertingkatkan. Penubuhan Talent Corporation adalah satu usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan yang berkepakaran tinggi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sains, teknologi dan inovasi amat penting dalam memacu pembangunan negara terutama bagi menjana pengetahuan, mencipta kekayaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Usaha-usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menjana pendapatan negara akan terus diberi tumpuan. Beta berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif akan dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti-aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia.

Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal dengan menduduki tangga ke-9 dalam senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009. Usaha-usaha inovatif akan terus dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta memperluaskan pasaran di negara-negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi tinggi. Pelancongan berkaitan alam semula jadi serta keunikan masyarakat majmuk negara ini akan juga diberi penekanan.

Sektor pertanian masih penting dari segi penjanaan pendapatan dan menjamin bekalan makanan. Sehubungan itu, Dasar Agro-Makanan 2011 hingga 2020 telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Dalam usaha untuk bergerak ke arah negara maju, penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan akan terus dilaksanakan. Ini termasuk kemudahan pengangkutan darat, laut dan udara serta teknologi maklumat dan komunikasi bagi memberi kemudahan kepada rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan.

Sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap, cepat dan berkesan sangat penting untuk kemajuan negara. Justeru, pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan termasuk mempelbagaikan saluran penyampaian akan terus dilaksanakan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Beta prihatin bahawa status negara maju tidak bermakna jika rakyat tidak menikmati kehidupan berkualiti. Sehubungan ini, Kerajaan telah menetapkan dan sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, memperkasa prasarana luar bandar, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam bandar bagi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat negara ini sentiasa bertambah baik.

Sebagai satu kelangsungan untuk menyediakan masyarakat yang mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan, generasi baru perlu dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sahsiah bermula sejak di awal usia lagi. Akses kepada pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun dan Program PERMATA Negara akan diperluaskan.

Pada masa yang sama, kecemerlangan murid akan terus dipertingkatkan melalui pengiktirafan lebih banyak sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Walaupun Indeks Keamanan Dunia 2010 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terbaik di Asia dan ke-22 di dunia, namun Kerajaan Beta tidak akan leka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Beta mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi bagi memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana harmoni, selamat dan tanpa kacau bilau atau persengketaan.

Kesungguhan Polis Diraja Malaysia memerangi kegiatan jenayah termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru harus dipuji. Penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Beta juga mengalu-alukan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama. Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara.

Peranan Angkatan Tentera Malaysia pada masa ini adalah lebih daripada mempertahankan negara, malah turut membantu mangsa banjir dan membangunkan prasarana luar bandar khususnya melalui Program Jiwa Murni. Pemilihan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu membangunkan keupayaan di Afghanistan, merupakan suatu pengiktirafan ke atas profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat.

Justeru, Kerajaan akan terus mempertingkatkan program untuk menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyertai Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, Program Latihan Khidmat Negara yang dapat meningkatkan semangat patriotik dan kesatuan dalam kalangan pelatih pelbagai kaum juga akan diperkukuhkan.

Kerajaan amat komited dalam memerangi rasuah. Ia dilaksanakan bukan sekadar untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, tetapi atas kesedaran bahawa rasuah akan merosakkan negara dan bangsanya. Hanya dengan kerjasama semua pihak, jenayah rasuah boleh dihapuskan. Berilah sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Kesejahteraan penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak pernah diabaikan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan seperti jalan luar bandar, infrastruktur awam, bekalan air bersih dan elektrik serta telefon kepada penduduk-penduduk luar bandar akan terus dipertingkatkan. Pada tahun 2010, hampir 800 kilometer jalan baru dan

naik taraf, 16,900 unit rumah untuk keluarga miskin dan miskin tegar, bekalan air bersih kepada 35,000 buah rumah dan bekalan elektrik kepada 27,000 buah rumah telah dilaksanakan di seluruh negara.

Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan pada tahun 2010. Daripada jumlah lebih 44,000 ketua isi rumah miskin tegar yang dikenal pasti pada awal tahun, ia telah berjaya dikurangkan kepada

sekitar 100 pada akhir tahun. Bagi memastikan golongan ini tidak kembali menjadi miskin tegar, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program antaranya 1AZAM dan pendekatan pembangunan inklusif.

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar pula telah digubal bagi menggembleng sumber dan tenaga semua pihak agar program-program pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh.

Aspek seperti latihan dan pendidikan modal insan, peningkatan ekonomi, infrastruktur, perancangan fizikal, peningkatan kualiti hidup dan pengurusan sumber alam akan diberi tumpuan. Bagi peneroka FELDA pula, walaupun pendapatan mereka telah meningkat dengan kenaikan harga komoditi, namun usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup golongan berkenaan. Pada tahun ini FELDA memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Menyedari potensi kaum wanita dalam pelbagai bidang, golongan ini akan diperkasakan terutama dalam sektor ekonomi melalui latihan keusahawanan dan bantuan modal perniagaan. Setakat ini sasaran melahirkan seramai 1,000 orang usahawan wanita setiap tahun telah berjaya dicapai. Bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai sektor pekerjaan dan 30 peratus menduduki peringkat pembuat keputusan, penggubalan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 dan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan program gender dalam sektor awam sangat dialu-alukan.

Bagi kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan, penjualan lebih 44,000 unit rumah kos rendah kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penyewa sedia ada dan setinggan di Kuala Lumpur, pembinaan lebih 63,000 unit rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa pada kadar yang berpatutan adalah antara bukti komitmen Kerajaan untuk meringankan beban golongan berkenaan. Dalam tempoh RMK-10, lebih 38,000 unit rumah di bawah program yang sama akan dibina untuk disewa dan dijual kepada mereka yang memerlukannya.

Kerajaan akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempertingkatkan kemudahan awam, memulihara dan mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dan tempat riadah serta interaksi sosial termasuk untuk golongan orang kurang upaya. Semua pihak hendaklah turut sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar termasuk mengamalkan kitar semula.

Beta mengalu-alukan rancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya metropolis terbaik dan selamat dengan mempunyai kemudahan bermutu tinggi, sungai-sungai yang bersih dan landskap yang menarik menjelang tahun 2020 melalui inisiatif Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Bagi meningkatkan kualiti hidup dan alam sekitar, kemudahan pengangkutan awam akan terus ditambah baik. Di Lembah Klang, Kerajaan menyasarkan 25 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang tahun 2012. Oleh itu, pelbagai langkah telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Juga akan dilaksanakan ialah pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi, atau MRT Sungai Buloh - Kajang melalui Kuala Lumpur sepanjang 60 kilometer. Projek ini apabila siap kelak dapat meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 50 peratus menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama sistem pengangkutan awam antara bandar juga akan ditambah baik.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, Beta mengalu-alukan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia ke kawasan-kawasan terpencil, yang memberi perkhidmatan meliputi rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan penyediaan cermin mata percuma. Pada masa sama, rakyat hendaklah turut memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan. Misalnya, demam denggi boleh dicegah dengan meningkatkan kebersihan persekitaran. Penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik pula boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan belia terbukti melalui dasar dan program-program yang mencakupi pendidikan, latihan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, sukan, sosial, kebudayaan dan sebagainya bagi mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Tiada negara terkecuali daripada menerima kesan perubahan iklim dan pemanasan global termasuk Malaysia, sehingga baru-baru ini negara mengalami dua kejadian banjir kesan daripada monsun timur laut dan fenomena La Nina. Walaupun banjir yang melanda negara kita telah menyebabkan kesukaran kepada rakyat, namun ia dapat dikurangkan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan oleh beberapa agensi serta atas tahap kesiapsiagaan Kerajaan dalam menghadapi bencana alam yang sukar diramal. Demi mengurangkan kesusahan rakyat, sistem amaran awal bencana yang lebih bersepadu merangkumi sistem ramalan cuaca dan iklim serta sistem amaran awal banjir akan diperkukuhkan agar lebih berkesan.

Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak 4 peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak 1 hingga 2 peratus. Ia adalah krisis makanan global. Sebagai negara pengimpot makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan Kerajaan.

Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak.

Namun, Kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat, di mana Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperolehi barang keperluan asasi seharian pada harga yang berpatutan.

Beta memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari-hari perayaan agama yang mempunyai penganut teramai dijadikan sebagai hari cuti umum. Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini.

Badan-badan bukan Kerajaan diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam pembangunan masyarakat sivil. Di negara ini, badan-badan bukan Kerajaan telah membantu Kerajaan dalam pelbagai bidang. Beta berharap dalam melaksanakan program-program dan aktiviti masing-masing, badan bukan Kerajaan hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memberi sumbangan untuk mencapai keamanan sejagat. Beta sukacita dengan sambutan yang menggalakkan daripada negara-negara utama dunia terhadap pendekatan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan yang telah diketengahkan oleh Mamanda Perdana Menteri. Ini merupakan antara sumbangan Malaysia untuk mencapai keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan pembangunan sejagat. Hubungan erat dan harmoni terutamanya dengan negara-negara ASEAN akan diberi penekanan berdasarkan Piagam ASEAN ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Berbanding dengan negara-negara tertentu, ketenteraman dan keharmonian di negara ini adalah nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Komitmen Kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melampaui sempadan negara terserlah melalui usaha membawa pulang pelajar-pelajar yang terhimpit dalam pergolakan politik di Mesir melalui Ops Piramid bulan lalu. Sehubungan ini, Beta merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut serta kepada negara-negara sahabat terutamanya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu mempermudahkan Ops Piramid.

Beta mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2010 seperti di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki.

Beta bersama rakyat amat berharap di Sukan Olimpik 2012, London kelak akan ada atlet memenangi emas pertama untuk Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara. Jadilah warga yang bijak, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah.

Untuk ke sekian kalinya Beta mengingatkan bahawa tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini sentiasa diperhatikan dan menjadi teladan kepada masyarakat. Justeru, pamerkanlah tingkah laku yang terpuji, berbahaslah dengan tertib, sumbangkanlah pemikiran yang bernas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dan utamakanlah kepentingan rakyat.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Gangga Negara..

Selasa, 1 Mac 2011

Mursyidul Am Pas 'angkat bakul' sendiri!

Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bertindak seperti 'mengangkat bakul sendiri' apabila mendakwa Pas berjaya membangunkan rakyat serta Kelantan sepanjang lebih 20 tahun memerintah negeri itu.

Dakwa Menteri Besar Kelantan itu, kejayaan tersebut kini turut berlaku di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Jelas beliau, bagi Pas di Kelantan, kejayaan yang dikecapi adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah iaitu keyakinan kepada Tuhan, mas'uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat.

''Justeru, kita berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas daripada riba dan subur dengan hasil anugerah tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

''Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan Pas selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat untuk terus berpegang teguh kepada agama.

''Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang,'' katanya menerusi blognya, http://www.blogtokguru.com.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Pas Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama, bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati.

''Inilah natijah perjuangan Pas yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, aman dan berharmoni.

''Justeru kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh UMNO sebelum ini.

''Maka, Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah dinar emas dan dirham dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It'aam,'' katanya.

Mengenai perjalanan Pilihan Raya Kecil Kerdau dan Merlimau pula, beliau mendakwa setiap kali Pas bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok.

Sementara itu, beliau menuduh UMNO sebagai parti yang mengasing dan membezakan rakyat mengikut kaum serta mengetepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam.

Oleh sebab amalan itu, kata beliau, UMNO telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini.

''Kegagalan itu membuktikan perjuangan UMNO tidak selari dengan ajaran tauhid Islam. Mengikut ajaran tauhid, bukan hanya tuhan itu satu, tetapi satu segala-galanya,'' katanya.

Beliau kemudiannya menyifatkan menolak perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah satu tindakan betul yang sekali gus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.

NIK AZIZ SEBENARNYA TIDAK FAHAM APA YANG DICAKAPKANNYA!!!

Gangga Negara..