SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Rabu, 22 Disember 2010

Falsafah tersirat ketuanan, hak istimewa Melayu!

Persoalan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu kini menjadi isu yang tak berkesudahan. Ini paling jelas dan semakin ketara seepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac 2008 diumumkan keputusannya. Persoalan ini seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan kekuatan politik di antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Bilangan wakil rakyat yang ramai dalam Parlimen daripada pakatan pembangkang seakan-akan mempunyai hubungan dengan isu ketuanan dan hak keistimewaan Melayu. Apakah hanya BN (khususnya UMNO) yang sepatutnya menjaga dan melindungi hak ketuanan dan keistimewaan Melayu?

Adakah pakatan pembangkang tidak mempunyai hak bagi melindungi ketuanan dan hak keistimewaan Melayu? Atau persoalan ini sengaja diputar-belit oleh pihak tertentu bagi melabelkan bahawa pakatan pembangkang adalah sebuah pakatan yang tidak akan mempertahankan hak istimewa Melayu dan ketuanan Melayu?

Jadi apabila pakatan pembangkang berkuasa maka ketuanan Melayu akan berakhir dan hak keistimewaan Melayu juga tidak akan dilindungi.

Setiap negara bangsa yang dibentuk mesti mempunyai prinsip-prinsip dan matlamat tertentu ke arah membentuk kestabilan negara bangsa dalam jangka panjang. Memang proses pembentukan negara bangsa memerlukan masa yang lama bagi mencapai matlamat yang dituju dan darjah kematangan yang tinggi.

Walaupun begitu matlamat yang dituju mestilah jelas agar matlamat tidak tersasul.

Perjuangan semua pihak tidak boleh lari daripada dasar asas yang dibentuk yang biasanya dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Negara atau falsafah tersirat yang tidak bertulis (seperti Great Britain).

Dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia, ia dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh diganggu dan digugat oleh mana-mana pihak. Meminjam kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak "Ia terkunci mati dalam Perlembagaan Persekutuan" (merujuk kepada hak keistimewaan orang Melayu dalam ucapan Perhimpunan Agung UMNO Oktober 2010).

Jadi mana-mana pihak tidak boleh menyentuh, mengubah atau meminda perkara ini lagi atas apa-apa sebab. Persoalan ini telah 'disimpul mati' dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini tidak dapat diubah oleh mana-mana parti politik yang mengusai Kerajaan Malaysia walaupun sekiranya ia dapat menguasai Parlimen dengan majoriti dua pertiga.

Perkara 153 mengenai hak keistimewaan Melayu hanya dapat dipinda sekiranya mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu yang terdiri daripada sembilan orang Sultan/Raja Melayu. Adakah Raja-raja Melayu akan bersetuju meminda perkara yang penting bagi orang Melayu ini yang telah diperjuang oleh bapa kemerdekaan dan pejuang bangsa terdahulu?

Saya melihat bahawa Raja-raja Melayu tidak akan mengubah perkara ini. Jika sekali pun perkara ini berlaku maka bangsa Melayu yang 'sedar diri' akan bangkit bangun menentang dan bersatu melindungi hak bangsa.

Jadi penulis melihat bahawa persoalan hak Melayu dan ketuanan Melayu bukanlah isu remeh yang boleh dipermainkan oleh golongan politik tertentu yang sudah lupa matlamat jangka panjang pembinaan negara bangsa.

Ia bukan persoalan mendapat kuasa dan berkuasa atau mendapat sokongan daripada golongan atau kaum tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang, tetapi lebih jauh ia adalah isu yang meruntuhkan kestabilan bangsa dan meranapkan keupayaan dan kekuatan bangsa dengan jalan yang tidak begitu harmoni.

Isu-isu begini amat berbahaya bagi sebuah negara bangsa yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Malaysia. Persoalan hak keistimewaan bangsa Melayu ini boleh menjadi isu sensitif terhadap kestabilan.

Ia boleh digunakan bagi memancing undi bagi golongan bukan Melayu dengan janji- janji seperti jika menyokong parti tertentu hingga dapat berkuasa nanti, maka hak sama rata akan diamalkan dan tiada lagi keistimewaan terhadap Melayu. Tetapi hal ini tidak boleh berlaku kerana negara bangsa Malaysia telah dibentuk berasaskan matlamat jangka panjang menjadi negara 'Melayu' (Malaysia) seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Struktur yang dibentuk adalah seperti yang telah digariskan dalam Perlembagaan seperti kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang berkuasa melantik Perdana Menteri dan kemudiannya Perdana Menteri melantik anggota Kabinet dengan pengesahan Yang di-Pertuan Agong.

Prinsip dan struktur ini (begitu juga kuasa sultan/raja setiap negeri Melayu serta peraturan melantik menteri besar di setiap negeri Melayu) adalah perlu jelas bagi setiap warga negara Malaysia.

Tanpa pengetahuan ini rakyat massa akan keliru dalam membuat keputusan dan akan digunakan oleh sesetengah ahli politik yang kurang 'jujur' dalam berpolitik. Ini semua sebenarnya mempunyai falsafah besar bagi pembinaan negara bangsa yang stabil dan kuat dalam jangka panjang.

Dalam hal ini pakatan pembangkang tidak perlu menekankan pengubahan struktur kuasa bagi menarik sokongan masyarakat khususnya Cina. Ia lebih baik difokuskan kepada perkara-perkara pembersihan unsur-unsur negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan peraturan dan undang-undang yang berlaku dalam kerajaan sekarang. Ini boleh diterima oleh semua rakyat massa tanpa mengira sesiapa.

Semua rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih daripada segala jenis rasuah dan salah guna kuasa.

Perjalanan dan penyusunan ekonomi dan sosial yang benar-benar mantap dan telus adalah lebih diterima oleh rakyat.

Pakatan pembangkang dan juga BN (khususnya UMNO) juga harus sedar bahawa dalam PRU 2008, sebahagian besar kawasan majoriti pengundi Cina di seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak) telah dimenangi oleh DAP atau calon PKR keturunan Cina.

Calon BN keturunan Cina daripada MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Walaupun berlaku perubahan 100 peratus pengundi Cina kepada calon pakatan pembangkang (DAP khususnya), bilangan Ahli Parlimen tidak akan bertambah banyak lagi.

Dalam hal ini dapat dirumuskan bahawa pengundi Melayu mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar. Kedua-dua pihak sama ada BN atau pakatan pembangkang, jangan melihat hanya pengundi Cina (atau bukan Melayu lain) menjadi penentu kepada keputusan PRU akan datang. Polisi yang dibentuk mesti mengambil kira akan perasaan hati pengundi Melayu.

Ini kerana tanpa sokongan padu pengundi Melayu, mana-mana pihak akan gagal membentuk sebuah Kerajaan Pusat yang kuat. Ini adalah wajar dan logik yang besar kerana bangsa Melayu adalah penduduk majoriti Malaysia. Semua pihak harus akur pada garis kasar dan prinsip pembinaan negara bangsa Malaysia yang stabil sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Semua pihak mesti sedar bahawa setiap apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai maksud tersirat dan mempunyai falsafah serta makna yang besar di sebaliknya. Semua itu adalah mempunyai matlamat besar bagi pembentukan sebuah negara yang maju, mantap dan stabil.

Gangga Negara..

Isnin, 20 Disember 2010

Menang secupak, rugi segantang!

Adalah tidak sihat kepada sebuah kerajaan apabila hanya mahu mendengar pujian semata-mata. Tentu sekali sama tidak sihatnya apabila yang tidak memerintah hanya tahu memperlekeh hasil positif kerajaan.

Begitu juga dalam hal mengkritik, ia adalah sihat sama seperti reaksi terhadap kritikan itu. Tetapi yang selalu berlaku ialah yang dikritik dan mengkritik terbelenggu dengan perilaku untuk memusnahkan. Mereka sengaja menempatkan diri sebagai seteru walaupun mengaku mewakili suara rakyat.

Inilah yang sedang dilakukan oleh pakatan pembangkang. Tidak pernah dalam sejarah 53 tahun Malaysia - sejak Mac 2008 - kita terpaksa makan, minum dan tidur dengan gembar-gembur politik. Semua hal dan peristiwa mahu disalut dengan kepentingan politik.

Lihatlah di Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjadi tempat mulia menyuarakan hati nurani rakyat, didominasi dengan pertengkaran penuh keegoan dan aksi ala demonstrasi. Suara pemeriksa dan pengimbang jarang-jarang kedengaran. Mereka menggunakan tipu helah bersuara rakyat tetapi yang dijaja sebenarnya adalah kepentingan peribadi, kelompok dan nafsu memburu kekuasaan.

Mereka bersuara tidak diberi keadilan tetapi realitinya merekalah yang meranapkan keadilan. Mungkinkah adil bagi mereka jika boleh sesuka hati menyalahgunakan Dewan yang mulia? Mungkinkah adil bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Azmin Ali (PKR - Gombak); R Sivarasa (PKR - Subang) dan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) jika boleh berbuat apa sahaja perbuatan yang melanggar peraturan.

Bagaimana pula wakil rakyat di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang juga telah dikenakan tindakan gantung daripada menghadiri sidang Dewan? Apakah itu bukan keadilan atau ia menggambarkan demokrasi telah runtuh?

Lihatlah di Dewan Undangan Negeri Perak, kerajaan yang disahkan oleh mahkamah dan Perlembagaan serta diperkenan oleh Sultan, terus-menerus dikata tidak sah. Mereka tetap bangga menggunakan perkataan perampas, sedangkan pertukaran kerajaan berlaku kerana sikap mereka sendiri.

Lihatlah politikus yang melenting dicap rasis, sedangkan mereka mudah menuduh orang lain sedemikian. Mereka berkata memperjuangkan kebebasan dan ketelusan tetapi media disekat daripada melaporkan perkara sebenar. Malah peruntukan negeri digunakan untuk menggerakkan propaganda parti, bukannya menyebar maklumat mengenai program kerajaan negeri.

Mereka marah dan tangkas mengumpulkan rakyat kononnya bagi menjelaskan fitnah dan konspirasi tuduhan liwat, sedangkan mahkamah telah memutuskan ia pernah berlaku tetapi tidak disabitkan kesalahan kerana masalah teknikal. Kumpulan ini juga marah digelar komunis tetapi sesenang hati mengata pemimpin lawan bukan rakyat Malaysia sebenar.

Dan terbaru, mereka melancarkan program 100 hari yang kononnya akan dilaksanakan jika PKR, Pas dan DAP berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Ia adalah janji terbaru pakatan pembangkang untuk melaksanakan reformasi menyeluruh pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Rupa-rupanya dalam sinikal memperlekeh Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pembaharuan lain yang kini sedang rancak digerakkan, mereka cuba 'menculik' program negara dan rakyat itu. Mereka menjanjikan 'dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program itu."

Cuba kita imbas antara program 100 hari itu yang tujuannya mengajak rakyat Malaysia, pengundi yang berdaftar supaya 'ubah sekarang, selamatkan Malaysia':

* Reformasi institusi penting negara seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

* Mansuhkan ISA, mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

* Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

* Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap guru sebagai penghargaan.

* Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan dan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

* Membatalkan Felda Plantations bagi membuka ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus.

* Menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Sabah.

Sebahagian besar daripada reformasi yang diimpikan untuk dilaksanakan pada hari pakatan pembangkang menawan Putrajaya itu, kini sudahpun digerakkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Mereka pun sedar perkara itu kerana sama ada di podium ceramah, Dewan dan media, merekalah antara pihak yang berterusan memperlekeh program mahupun projek transformasi berkenaan.

Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak telah berubah. Perubahan yang mengutamakan kehendak rakyat dan memperkasakan sistem penyampaian kerajaan sedang dilaksanakan, bukan lagi sekadar impian di atas kertas. Cuma, tentu sekali cara dan pendekatannya berbeza dengan reformasi pakatan pembangkang itu.

Lihatlah semasa BN mengakui era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir, pakatan pembangkang pula berfikir sebaliknya. Projek-projek dalam ETP umpamanya yang digarap hasil gabungan minda pelbagai pihak, telah pun disebarkan kepada umum melalui hari terbuka. Orang awam termasuk pembangkang boleh mengkritik, malah memperbetulkan jika masih ada kepincangan. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kritkan membina.

Jelaslah program impian 100 hari yang mereka uar-uarkan pada konvensyen pekatan pembangkang Ahad lalu, bukanlah perkara baru. Begitulah cekapnya politikus 'menculik' program-program yang kini sedang dilaksanakan dan kemudian mengaku pula ia adalah perjuangan mereka.

Mungkin benar seperti nasihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada konvensyen pakatan pembangkang itu bahawa "janganlah kita untung secupak tetapi rugi segantang dalam pertimbangan..."

Masih banyak kelemahan di negeri-negeri yang mereka tadbir - Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Perbaiki yang itu dulu dan tunjukkan prestasi. Perhalusilah ucapan Abdul Hadi bahawa 'pakatan pembangkang perlu bermuhasabah diri dengan pencapaian selama ini ketika memerintah beberapa negeri, selain menilai kelemahan dasar dan pelaksanaan masing-masing.

Tanpa diragui, pemimpin adalah pemain utama untuk membangun mahupun menghancurkan agama, bangsa dan negara. Baik pemimpin, baiklah negara. Jahat pemimpjn, ranaplah bangsa. Fikirkanlah.

Gangga Negara..

Khamis, 9 Disember 2010

Cengkaman DAP Perak mula goyah?

DAP pada masa ini memperlihatkan ia sebuah parti politik yang tiada cacat cela dan cukup berpengaruh di Perak melalui kenyataan pemimpin-pemimpinnya yang ultra kiasu. Namun, apa yang berlaku dan ditonton oleh rakyat adalah sebaliknya. Cengkaman parti itu yang mendominasi kuasa politik di negeri itu selepas PRU 2008 dilihat mula goyah.

Tidak mustahil sekiranya DAP akan kehilangan banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada PRU akan datang sekiranya rekod buruk pemerintahan 11 bulan bersama sekutunya Pas dan PKR dapat didedahkan kepada umum.

Andaian ini berasas kerana kepimpinan ketiga-tiga parti itu dilihat tiada semangat untuk memelihara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Negeri, apatah lagi untuk menjaga kerukunan serta keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum di negeri itu. Mereka berpolitik sepanjang masa hanya untuk merebut kuasa dan membalas dendam.

Mengikut sejarah, kewujudan DAP pernah ditolak rakyat di negeri itu dalam PRU 1995 atas sentimen perkauman tebal yang menyaksikan parti itu kecundang 1-52 kepada BN.

Walaupun DAP dan sekutunya berkobar-kobar untuk menakluk Perak dan negeri-negeri dikuasai BN, namun impian mereka kini berhadapan dengan halangan besar kerana rekod buruk yang mereka tinggalkan. Mereka tidak boleh berbohong dan bersandiwara di hadapan umum sepanjang masa.

Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mensasarkan akan merampas semula Perak dalam PRU akan datang membuktikan beliau terlalu rakus untuk memegang kuasa.

Parti itu mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang demokrasi normal di negara ini, sekiranya berjaya menawan Putrajaya. Hakikatnya kini, pemikiran rakyat dan suasana politik di negeri itu berbeza dengan impian Kit Siang.

Dulu Kit Siang boleh menjaja isu keris, isu hak sama rata dan mengajak rakyat mengubah pemerintahan negara dengan nada berapi-api di kawasan Lembah Kinta. Ramai rakyat terpedaya dengan politik persepsi yang dijajanya.

Kini, BN pula boleh menjaja dan melondehkan perilaku sarkas wakil-wakil rakyat DAP, Pas dan PKR di dewan negeri dan dewan rakyat kepada umum. Mereka bukanlah wakil rakyat yang berwibawa, telus dan berintegriti seperti yang dicanangkan.

Sentimen pecah dan perintah, menidakkan hak kaum pribumi serta mendahulukan kepentingan satu kaum sahaja seperti yang ditonjolkan DAP dalam pentadbirannya di Pulau Pinang tidak mungkin diterima sembrono rakyat di negeri yang berdaulat itu.

Ramai yang sudah menyedari kerosakan yang dibawa DAP, PKR dan Pas terhadap asas-asas kenegaraan sewaktu mereka memegang tampuk pentadbiran negeri.

Politik persepsi yang dimanipulasi ketiga-tiga parti itu dilihat tidak dapat bertahan lama.Realitinya, sebelum berpeluang membentuk kerajaan, segala keburukan dan tingkahlaku pemimpin DAP dan sekutunya tersimpan kemas. Rakyat seolah-olah melihat mereka lebih baik daripada BN. Namun, setelah banyak kelemahan dan keburukan pemimpin parti tersebut dibongkar satu persatu selepas PRU 2008, rakyat akhirnya sedar mereka ditipu.

Berdasarkan angka, kemenangan calon DAP bagi kerusi DUN dalam PRU di negeri itu juga tidak membuktikan mereka terlalu berpengaruh dalam kalangan rakyat iaitu 13 kerusi (PRU 1990), satu kerusi (PRU 1995), empat kerusi (PRU 1999), tujuh kerusi (PRU 2004) dan 18 kerusi (PRU 2008). Ini bermakna, 17 kerusi DUN kecuali Sitiawan bukan milik mutlak DAP yang tidak boleh ditawan semula kerana ia pernah dimenangi BN khususnya h parti-parti komponen iaitu MCA, MIC, PPP dan Gerakan.

Dalam PRU 2008, DAP memenangi kerusi DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Malim Nawar, Keranji, Sitiawan, Pasir Bedamar dan Sungkai.

Kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Ipoh Timur, Ipoh Barat, Taiping, Teluk Intan, Batu Gajah, Beruas, Sungai Siput, Bagan Serai dan Parit Buntar yang dikuasai DAP dan sekutunya itu mesti dimenangi semula kerana usaha pembangunan di situ ternyata hasil usaha BN selama ini.

Oleh itu, adalah jelas kemenangan atau kekalahan di DUN tersebut banyak dipengaruhi oleh isu, persepsi umum dan sentimen perkauman tebal yang perlu diawasi dan ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Berasaskan angka, tidak mustahil MCA, MIC, PPP dan Gerakan boleh merampas kembali kerusi-kerusi yang kalah itu jika ada kemahuan politik yang tidak berbelah bagi kerana majoriti pengundinya adalah bukan Melayu yang tinggal di bandar.

Persoalannya kini, adakah MCA, MIC, PPP dan Gerakan Perak sudah bersedia untuk menawan semula kerusi yang pernah mereka kuasai? Kekalahan teruk parti-parti tersebut dalam PRU 2008 jika berulang dalam PRU akan datang pastinya akan menjadi beban kepada UMNO.

Rakyat di negeri itu tidak mahu lagi melihat episod parti-parti komponen BN meminta-minta kerusi bertanding tetapi akhirnya kalah, tawar menawar mengenai calon yang tidak menepati kehendak rakyat dan pertukaran tempat bertanding pada saat akhir.

Isu 'yoyo' ini yang menarik minat dan menjadi perbualan hangat orang ramai. Kedudukan UMNO negeri yang memenangi 27 kerusi DUN perlu disokong oleh kemenangan calon-calon parti komponen BN lain sekiranya beriltizam untuk memerintah negeri Perak selepas PRU 13.

Gangga Negara..

Selasa, 7 Disember 2010

Pertikai hak istimewa derhaka!

Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.

Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.

''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

''Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Perak di Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta kerabat-kerabat diraja yang lain.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sultan Perak juga mengingatkan umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.

''Amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.

''Jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan," titah baginda.

Tegas Sultan Azlan, keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam dan orang Melayu hari ini bukannya ibarat ''pipis datang melayang atau bulat datang menggolek'' sebaliknya mempunyai kisah perjuangan yang panjang.

''Keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelosok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan.

''Pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci, meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam daripada sebarang usaha pemesongan," titahnya.

Baginda menekankan betapa perlunya masyarakat Melayu insaf bahawa sesuatu keistimewaan itu tidak mungkin kekal selamanya apatah lagi jika mereka gagal menghargainya.

Dalam titahnya, baginda memberi contoh penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang akhirnya memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia berlandaskan nilai-nilai yang diredai.

''Nyatalah, peristiwa hijrah telah mencetuskan satu perubahan penting kepada umat Islam. Peristiwa hijrah merakamkan berlakunya transformasi.

''Hijrah adalah titik peralihan membolehkan umat Islam membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama Islam sehingga ummah berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar," titah baginda.

Maka itu, titah baginda, sambutan Maal Hijrah hendaklah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah diri untuk tidak mengulangi setiap kesilapan sebaliknya bertawaduk dan mencari keredaan Allah.

UM Online

Gangga Negara..