SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Ahad, 20 Februari 2011

Gempar!!!...Kapal selam "dadah"!

KAPAL selam yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, dikatakan boleh membawa sehingga lapan tan dadah.

Jika selama ini rakyat Colombia menyangka mereka telah didedahkan segalanya tentang kegiatan dadah yang sememangnya sesuatu yang sinonim di negara itu, dikejutkan dengan teknik terbaru pengedarannya iaitu melalui kapal selam yang lebih besar.

Setelah pihak berkuasa meningkatkan langkah penguatkuasaan terhadap kapal terbang dan bot laju bagi menghentikan aktiviti pengeksportan dari negara pengeluar dadah terbesar dunia itu, penyeludup semakin bertindak berani dengan menggunakan pengangkutan bawah air bagi meneruskan aktiviti mereka.

Tentera Colombia buat kali pertama merampas sebuah kapal selam penyeludup dadah berhawa dingin yang mampu menyelam sedalam tiga meter dan melakukan perjalanan jauh sehingga ke perairan Mexico.

Sebelum ini, kapal selam penyeludupan dadah yang ditemui di Colombia tidak boleh melakukan selaman ke dalam laut. Seorang pegawai tentera Colombia, Kolonel Manuel Hurtado berkata, kapal selam itu sepanjang 30 meter dan diperbuat daripada gentian kaca serta boleh membawa enam krew.

Menurutnya, ia yang ditemui di Sungai Timgiqui, sekitar 440 kilometer ke barat daya Bogota, pada Ahad lepas boleh membawa sehingga lapan tan dadah.

Kapal selam ini yang dilengkapi enjin diesel dikatakan mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk dibina dengan melibatkan kos sebanyak AS$2 juta (RM6.10 juta). Ia ditemui berdasarkan maklumat risikan namun ia didapati kosong semasa ditemui.

Dari pangkalan mereka di bandar pelabuhan Buenaventura berhampiran Lautan Pasifik, pihak berkuasa Colombia mengetuai usaha menumpaskan aktiviti terbaru penyeludupan dadah menggunakan teknik ini.

Namun pengedar dadah ini hanya boleh dikesan oleh petugas pengawal pantai dan kapal selam tentera yang berupaya mengesan bunyi melalui kemudahan sonar. Pihak tentera laut menganggarkan tempoh perjalanan mengambil masa selama dua minggu sebelum sampai ke destinasi dan setiap perjalanan mampu membawa 10 tan kokain.

Perjalanan seumpama ini sememangnya lebih mudah bagi penyeludup bagi mengelakkan penyiasatan dan pertanyaan dari pihak berkuasa.

Kos setiap perjalanan dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$600,000 (RM1.92 juta), dan dilengkapi satu atau dua kipas yang mampu menggerakkan kapal selam tersebut pada kelajuan 10 hingga 12 batu nautika sejam.

Kebanyakan kapal selam ini dipercayai dibina oleh kumpulan penyeludup dengan bantuan Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC) yang mengumpul dana perjuangan mereka selama empat dekad melalui perdagangan dadah.

Lokasi

Colombia telah mengeksport sejumlah 600 tan kokain setahun berdasarkan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan satu per tiga darinya adalah melalui perairan Pasifik.

Kapal berkenaan dibina di atas darat dipercayai di kawasan hutan bakau di perairan Pasifik. Hutan tebal membantu menyembunyikan kawasan pembuatan kapal selam berkenaan dari pihak berkuasa ketika mereka melakukan rondaan dan tinjauan dari udara.

Adalah sukar untuk membina dan menyembunyikan kapal selam ini di kawasan perairan Caribbean yang kini semakin menjadi tumpuan ramai dan lebih selamat hasil dari kegiatan pelancongan yang semakin meriah dengan dibantu kawalan keselamatan tentera AS.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu pihak mereka sedang meningkatkan kawalan di sepanjang perairan bagi mencari kapal selam langkah menyekat usaha pengedaran najis dadah.

“Mereka kini semakin maju dalam hal berkaitan teknologi dan malah makin berkembang maju dan pantas serta turut dilengkapi peralatan canggih seperti sistem kemudi GPS dan telefon satelit.

“Namun kami sedang berusaha untuk mendahului mereka dalam perkara ini,” kata Naib Admiral, Edgar Cely yang mengetuai misi ini.- UM.

Gangga Negara..

Selasa, 8 Februari 2011

Hargailah usaha kerajaan bawa pulang pelajar di Mesir!

KUMPULAN pertama warga Malaysia seramai 778 orang yang dibawa pulang dari Mesir melalui Ops Piramid selamat tiba di tanah air semalam. Ketibaan mereka dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia dari Jeddah disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 10 pagi.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 11,000 pelajar Malaysia yang dibawa keluar secara berperingkat dari konflik berdarah yang melanda Mesir sekarang.

Melihat kejayaan Ops Piramid itu, kita seharusnya mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia, maka para pelajar terbabit dapat menjejak semula kaki ke tanah air dalam keadaan sihat dan ceria.

Lebih daripada itu, kejayaan operasi itu tentulah menggembirakan ibu bapa yang sabar menunggu kepulangan anak-anak. Dalam debaran menunggu, mereka sentiasa sahaja mendapat maklumat terkini daripada para pegawai kerajaan yang bertungkus lumus bekerja 24 jam sehari demi memastikan perjalanan operasi bergerak lancar.

Hairannya, dalam usaha ikhlas itu, ada pula pihak tertentu khususnya pembangkang yang sudah kekeringan idea untuk menghentam kerajaan menguar-uarkan perkara yang tidak benar.

Kononnya, pelajar yang pulang itu perlu membayar tambang perjalanan bagi penerbangan yang dinaiki, manakala keadaan pelajar di Jeddah dikatakan terbiar tanpa perhatian para pegawai bertugas.

Inilah kerja pembangkang yang apabila tiada isu untuk dimainkan di pentas politik, maka usaha murni kerajaan yang membawa pulang kesemua pelajar tanpa mengambil kira latar belakang fahaman politik mereka tetap dikatakan gagal.

Malah lebih teruk, pembangkang turut menghasut pelajar kita di sana supaya menggunakan pengalaman yang ada di negara ini. Begitu sekali terdesaknya pembangkang sehingga sanggup menghasut pelajar supaya merusuh.

Tidak ada sebabnya kenapa demonstrasi jalanan perlu di negara kita. Ini kerana keadaan di Mesir dan negara kita tidak sama. Rakyat Mesir sudah muak dengan dasar kuku besi presiden mereka yang tidak membawa apa-apa perubahan ekonomi kepada penduduk, sebaliknya mengumpul kekayaan untuk diri dan keluarga sahaja. Ekoran itu, penduduk Mesir terus dihimpit pelbagai masalah ekonomi, pengangguran berleluasa, selain pembangunan infrastruktur tidak banyak berubah, malah sama seperti 20 - 30 tahun yang lalu. Rakyat Mesir mahu kebebasan media dan bersuara serta pilihan raya yang telus dan adil. Itulah yang menjadi punca pemberontakan.

Sedangkan apa yang dimahukan oleh rakyat Mesir ada di negara kita. Kebebasan media dan bersuara boleh dilihat melalui kenyataan liar portal, blog dan media terbitan pembangkang. Mereka boleh kata dan dakwa apa sahaja. Kita juga mengadakan pilihan raya yang adil, sehinggakan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu.

Ekonomi kita berkembang melalui pelaksanaan dasar dan model ekonomi yang bermatlamat mensejahterakan rakyat, sedangkan ekonomi di Mesir langsung tidak bergerak jauh sejak Hosni Mubarak memerintah 30 tahun yang lalu.

Jika ada masalah rakyat yang muncul, akan ada tindakan pantas yang diambil oleh kerajaan kita bagi mendekati dan mengatasinya.

Sepatutnya pembangkang tumpang gembira kerana usaha negara membawa keluar warganya dari Mesir merupakan usaha terbesar yang dilakukan berbanding dengan negara-negara lain. Ia juga dikatakan usaha terbaik yang dapat disaksikan berbanding dengan usaha kerajaan lain membawa pulang rakyat mereka.

Namun, itulah kalau sudah sikap pembangkang yang tidak profesional begitu, apa saja yang dilakukan kerajaan pasti dicerca walaupun dipuji oleh negara lain.

Adakah mereka buta sehingga tidak nampak kegembiraan jelas terpancar pada wajah para pelajar yang disambut keluarga masing-masing di KLIA. Atau mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga mendengar kejayaan operasi tersebut. Tentulah mereka berasa sakit hati kerana tindakan pantas kerajaan berjaya menyelamatkan para pelajar yang begitu banyak jumlahnya mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Mesir.

Lebih sakit hati apabila kain rentang yang dibawa turun pelajar dari perut pesawat mengandungi kata-kata ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri. Begitu sekali mereka menghargai usaha kerajaan yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan lebih daripada RM30 juta untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir, selain tanggungjawab sosial MAS dan AirAsia. Tahniah untuk semua yang terlibat dalam Ops Piramid.

Gangga Negara..