SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Ahad, 3 April 2011

Berjaya pulih keyakinan rakyat!

Semalam adalah hari ulang tahun kedua Malaysia diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gaya kepimpinan beliau yang cukup dinamik. Pelbagai perkembangan menarik telah berlaku sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 iaitu ketika negara ini diwarnai dengan pelbagai rencah tidak menentu akibat dilanda tsunami politik selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Najib telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat, terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan iaitu pengundi.

Perkara itu diakui baru-baru ini oleh bekas penasihat ekonomi dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin apabila beliau memuji usaha Najib membina kembali keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan kerajaan persekutuan.

Barangkali, antara inisiatif paling menyerlah yang diambil oleh Najib untuk membina keyakinan rakyat ialah pelaksanaan konsep 1Malaysia yang begitu inklusif sifatnya dan membawa harapan baru dalam segenap bidang, terutama bagi mereka yang selama ini berasa tersisih akibat pelaksanaan dasar yang dianggap bersifat menindas.

Benarlah, harapan serta tindakan afirmatif merupakan penawar yang amat mujarab bagi mereka yang terluka hati kerana menganggap diri mereka menjadi mangsa kepada perbuatan yang tidak rasional dan saksama.

Sebagai pemimpin, Najib sentiasa melihat kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik — Melayu, Cina, India, Dayak, Iban, Kelabit, Orang Ulu, Bidayuh, Kadazan atau Murut sebagai satu sumber kekuatan bagi negara ini.

Beliau sering berkata: "Apa yang menjadikan Malaysia ini unik ialah kepelbagaian rakyatnya. Matlamat 1Malaysia adalah untuk memulihara dan memperkukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian ini, yang sejak sekian lama menjadi kekuatan kita dan terus menjadi harapan kita untuk masa akan datang."

Beliau juga sering mengulangi kata-kata berikut: "Setiap orang daripada kita walaupun mempunyai perbezaan, berkongsi cita- cita yang sama iaitu untuk menikmati hari esok yang lebih sejahtera.

Setiap orang daripada kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan persefahaman."

Kata-kata beliau itu sepatutnya sentiasa tersemat di sanubari seluruh rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya mereka membantu orang lain, bukan sekadar bersikap manis di mulut sahaja atau hanya berinteraksi dengan kaum atau masyarakat sendiri sahaja.

Apa yang membanggakan ialah contoh terbaik bagi konsep 1Malaysia ini diperlihatkan oleh Najib sendiri melalui sekian banyak tinjauan mesra yang beliau lakukan untuk mendampingi rakyat pelbagai kaum dan masyarakat di negara ini. Walaupun menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib tidak berasa kekok apabila melawat pasar, rumah panjang dan kampung yang jauh di pedalaman, gerai di tepi jalan, hospital atau di mana jua untuk bertemu dengan orang ramai dan memberitahu mereka bahawa keadaan akan bertambah baik sekiranya setiap orang sanggup berbakti dan memberi sumbangan kepada negara.

Untuk memastikan jentera kerajaan dapat memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada orang ramai, beliau memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk pelbagai kementerian.

Walaupun ia dipandang dengan penuh kesangsian oleh sesetengah pihak pada peringkat awalnya, namun selepas setahun dilaksanakan, GTP telah membawa begitu banyak kejayaan apabila berjuta-juta rakyat negara ini memperoleh nikmat daripadanya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Untuk julung kalinya dalam tempoh empat tahun, indeks jenayah negara ini telah menurun sebanyak 35 peratus dan jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 15 peratus, penurunan terbesar secara perbandingan antara tahun dalam sejarah Malaysia. Tahun lalu juga menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian tertinggi dalam pendidikan apabila 700,000 kanak-kanak mendapat pendidikan awal dan jumlah mereka yang mampu membaca dan mengira menunjukkan peningkatan yang amat ketara.

Jumlah biasiswa yang diberi juga meningkat serta lebih saksama di bawah pentadbiran Najib dan perkara ini menghapuskan perasaan tidak puas hati pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta ibu bapa mereka. Najib sering berkata kerajaan menganggap biasiswa sebagai suatu pelaburan, bukan perbelanjaan dan menegaskan bahawa pemberian itu akan mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar.

"Apabila kita terus membuat pelaburan untuk rakyat, negara kita akan menjadi lebih berdaya saing," katanya sambil menambah oleh kerana Malaysia sedang melangkah ke arah menjadi negara maju, kunci utama kejayaannya terletak pada rakyat sendiri.

Duta Besar Jordan ke Malaysia Maher A. Lukasha memberitahu Bernama bahawa sokongan yang diberi kerajaan Malaysia terhadap bidang pendidikan merupakan suatu usaha positif untuk rakyat negara ini dan Raja Abdullah 11 ibn Al Hussein dari negara beliau mengibaratkan pendidikan sebagai 'perisai yang melindungi sesebuah negara'. Dalam bidang pembanterasan rasuah pula, langkah kerajaan menggubal Akta Pemberi Maklumat pada tahun lalu merupakan suatu usaha yang sungguh bermakna.

Langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah di negara ini dan meningkatkan lagi keyakinan suruhanjaya itu dalam menangani jenayah rasuah seperti yang terbukti baru-baru ini apabila ia berjaya menahan beberapa pegawai kastam bersama hasil yang mereka peroleh secara haram.

Mengenai pengangkutan awam bandar pula, dalam tempoh setahun lepas, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) ialah 2.34 juta, manakala jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas transit pula meningkat 192 peratus.

Lebih dua juta penduduk luar bandar pula mendapat manfaat daripada pembinaan 750km jalan raya baru, di samping bekalan elektrik dan air bersih yang disalurkan kepada 36,723 isi rumah dan pembinaan serta pembaikan yang dilakukan terhadap 16,962 rumah di kawasan terpencil. Jumlah isi rumah yang tergolong sebagai miskin tegar juga menurun 99 peratus.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen menyifatkan Najib sebagai penyelesai masalah. Diplomat kelahiran Pahang itu, yang dianugerahi Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang pada tahun lepas, berkata GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) mencerminkan kesungguhan Najib menangani isu serius secara berdepan untuk memastikan hasilnya tercapai.

"Beliau adalah pemimpin yang berorientasikan hasil," kata Jasudasen.

Di bawah kepimpinan Najib, kerajaan telah melakukan pembaharuan dalam banyak bidang dan beliau sendiri yakin lebih banyak kejayaan akan dicapai pada masa akan datang.

Sesungguhnya, dengan kehadiran Najib sebagai pemimpin, penyatu, penunjuk teladan dan pembawa perubahan, Malaysia memang mampu mencapai semua itu dan barangkali, bukan sesuatu yang keterlaluan jika dikatakan bahawa ungkapan keramat 'Malaysia Boleh' adalah seiring dan senada bunyinya dengan ungkapan 'Najib Boleh'.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan