Dua laporan oleh tiga pakar psikiatri termasuk seorang warganegara Britain yang dikemukakan sebagai bahan bukti pada 10 Mei lalu mengakhiri prosiding Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari.
Prosiding bertempat di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NcVc), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selama 50 hari itu ternyata berjaya meraih lebih banyak maklumat dan bukti baru bagi menghuraikan misteri yang menyelubungi kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu.
Ia bukan semata-mata berdasarkan keterangan saksi-saksi tetapi juga hasil siasatan oleh penyiasat persendirian, bekas polis Britain yang dilantik khas oleh suruhanjaya, Michael Leslie Squires.
Antaranya, isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan komputer riba serta akses Internet oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat secara langsung atau tidak dalam operasi siasatan penyelewengan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Begitu juga maklumat-maklumat berhubung siasatan oleh SPRM yang sebelum ini langsung tidak dibenarkan disentuh dalam prosiding inkues telah dibongkar habis-habisan berikutan prinsip suruhanjaya yang mengambil kira kemungkinan setiap satunya relevan dengan kematian Beng Hock.
Tidak ketinggalan kehadiran saksi-saksi yang tidak pernah dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam antara Julai 2009 dan Januari lalu seperti tunang Beng Hock, Soh Cher Wei, kontraktor yang turut disiasat oleh SPRM pada malam yang sama, Lee Wye Wing dan banyak lagi.
Misteri persoalan nota 'selamat tinggal' juga berakhir apabila pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong mengesahkan ia sepadan dengan contoh tulisan dan tandatangan Beng Hock yang diambil dari pejabat ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.
Menjawab persoalan tentang dakwaan berlakunya penyelewengan peruntukan ADUN, Pegawai Siasatan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Ahmad Shafik Abdul Rahman @ Alwee mengesahkan hasil siasatannya mendapati tiada sebarang bukti yang mengaitkan ketua Beng Hock, Hian Wah dalam kes tuntutan palsu.
Bagaimanapun, beliau dalam masa sama mendedahkan bahawa wujud elemen penipuan berhubung penggunaan lesen kontraktor bumiputera kelas F untuk membolot projek-projek kecil dengan menuding jari ke arah Hian Wah, Beng Hock dan Wye Wing sebagai suspek.
Malangnya, siasatan lanjut terhadap kesalahan-kesalahan tersebut tidak dapat dilakukan berikutan kematian Beng Hock telah menimbulkan kontroversi serta keadaan yang tidak sesuai selepas kejadian tersebut.
Fakta itu disokong oleh keterangan Wye Wing sendiri yang mengaku mempergunakan kontraktor bumiputera untuk mendapatkan projek-projek kecil di bawah peruntukan ADUN serta menyalurkan sebahagian wang tuntutan kepada parti politik DAP.
Keterangan kontraktor tidak terhenti di situ apabila beliau turut mengesahkan bahawa tiada sebarang bunyi atau tanda yang menunjukkan Beng Hock telah didera secara fizikal mahupun mental sepanjang beliau berada di pejabat SPRM Selangor.
Begitu juga keterangan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah yang bukan sahaja melihat Beng Hock dalam keadaan sihat dan selamat pada awal pagi 16 Julai 2009, tetapi kelihatan mundar-mandir sambil menundukkan kepala sebagaimana keterangan pegawai-pegawai SPRM.
Ia disokong oleh bukti forensik apabila empat pakar patologi forensik yang terlibat dengan bedah siasat pertama dan kedua, Dr. Khairul Azman Ibrahim, Dr. Shahidan Md. Noor, Dr. Peter Vanezis dari Britain dan Dr. Prashant Naresh Samberkar sependapat bahawa ia berpunca daripada kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi.
Mereka sekali gus menolak pendapat pakar patologi forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa kecederaan pada leher dan dagu Beng Hock akibat dicekik serta dipukul dengan senjata tumpul.
Malah, Prashant yang merupakan warganegara India dan bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta terlibat dalam kajian jatuh dari tempat tinggi sejak 10 tahun lalu bertegas bahawa lelaki itu berada dalam keadaan mencangkung di tingkap sebelum terjun dari tingkat 14.
Menyentuh tentang keadaan minda Beng Hock sebelum dia ditemui mati, dua pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dan Dr. Norhayati Ali berpendapat bahawa kemungkinan untuk Beng Hock membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 lebih kuat berbanding faktor-faktor lain.
Sementara seorang lagi pakar psikiatri forensik, Profesor Paul E. Mullen dari Universiti Monash dan dilantik oleh Majlis Peguam Malaysia pula berpendapat, berlaku gangguan kepada kestabilan psikologi serta ketakutan yang mendorong Beng Hock jika dia dikatakan membunuh diri kerana lelaki itu seorang yang berisiko rendah untuk berbuat demikian.
Meskipun terdapat perbezaan, pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menganggap kedua-dua laporan itu saling melengkapi antara satu sama lain serta mampu membantu pihaknya membuat rumusan.
Mengimbas prosiding yang berlangsung selama hampir tiga bulan itu, tidak dinafikan SPRM seolah-olah menjadi pihak yang dibicarakan berikutan penemuan mayat Beng Hock berhampiran premis SPRM Selangor selain dia berada di bawah jagaan agensi tersebut sebelum kejadian.
Berikutan itu, pegawai-pegawai SPRM bukan sahaja diasak oleh peguam-peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, malah anggota-anggota suruhanjaya turut mengambil peranan yang aktif untuk bertanya soalan-soalan, lebih-lebih lagi jika jawapan yang diberi tidak konsisten atau dianggap tidak logik.
Meskipun prosiding suruhanjaya tidak disertai keluarga Beng Hock dan peguam yang mewakili mereka, Gobind Singh Deo, wakil-wakil daripada Majlis Peguam Malaysia telah mengambil alih peranan itu dengan baik dengan memainkan peranan yang sama.
Ketelusan suruhanjaya kali ini juga direalisasikan melalui siaran langsung yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak hanya boleh ditonton di luar mahkamah, tetapi juga dimuatkan di dalam laman web dan boleh ditonton di seluruh dunia.
Malah setiap yang berlaku di dalam prosiding termasuk kemarahan anggota suruhanjaya mahupun peguam terhadap saksi-saksi boleh dibaca melalui twitter SPRM yang disiarkan tanpa sebarang tapisan.
Biar apa pun kesimpulan yang bermain di fikiran masing-masing, suruhanjaya adalah pihak yang paling layak untuk membuat keputusan dan kesimpulan yang bakal dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 24 Jun ini.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lalu untuk menyiasat punca kematian Beng Hock serta prosedur soal siasat SPRM selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka.
Selain Cheng Yuen, panel suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.-UM.
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan