SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Sabtu, 19 Jun 2010

Roket Patah : 'Perjanjian RM5 juta sengaja diadakan'!

DAP yang kononnya memperjuangkan demokrasi sebenarnya parti autokratik kerana sanggup menggunakan ugutan untuk menghalang wakil rakyat mereka daripada keluar parti.
Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Bebas di negeri ini menyelar tindakan DAP mahu menguatkuasakan surat perjanjian mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Menurut mereka, tindakan itu mempunyai unsur-unsur ugutan dan paksaan yang sama sekali bertentangan dengan amalan demokrasi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, tindakan DAP itu lebih menjurus pada agenda individu tertentu kerana mereka yang enggan mengikut agenda tersebut perlu membayar ganti rugi. Katanya, apa yang dilakukan DAP itu langsung tidak sesuai kerana wakil rakyat tidak sepatutnya membuat keputusan mengikut arahan pimpinan parti secara paksa.

"Jika DAP boleh memaksa wakil rakyatnya yang merupakan pimpinan parti itu, sudah tentu mereka akan paksa rakyat pula apabila mereka dapat memerintah negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan DAP yang mahu menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Perjanjian itu dikatakan ditandatangani oleh semua wakil rakyat DAP selepas Pilihan Raya Umum 2008 bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan. Pengerusi Kelab ADUN BN Perak, Datuk Nadzri Ismail pula berkata, tindakan DAP menggunakan surat perjanjian itu seolah-olah parti tersebut mahu mewujudkan akta lompat parti yang tidak diamalkan di negara ini dan juga di negara-negara maju.

Katanya, cara DAP itu tidak demokratik langsung kerana menggunakan ugutan untuk menghalang lebih ramai wakil rakyatnya mengikut jejak ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Jelapang, Datuk Hee Yit Foong menyertai Bebas. "Ini bermakna DAP tidak demokratik sebenarnya sehingga sanggup melaksanakan unsur-unsur ugutan kepada ahli mereka.

"Ini juga menunjukkan DAP takut lebih ramai ahli dan pemimpinnya keluar parti kerana kita tahu generasi mudanya memang bersifat terbuka apabila melihat perubahan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak seperti pemimpin lama DAP yang bersifat autokratik," katanya.

Sementara itu, ADUN Kawasan Lintang, Datuk Ahmad Pakeh Adam menyifatkan tindakan DAP menggunakan surat perjanjian tersebut lebih teruk daripada diktator. Beliau juga percaya surat perjanjian itu sebenarnya tidak wujud dan sengaja diadakan-adakan untuk menakutkan wakil rakyat DAP daripada keluar parti.

"Tindakan DAP ini lebih daripada diktator kerana kalau diktator, dia beritahu kita bila hendak pancung tetapi DAP ini tidak, dia akan pancung tanpa bertanya. "Apa yang dilakukan oleh DAP ini sama sahaja dengan Pas yang menggunakan sumpah bai'ah jatuh talak ke atas isteri jika lompat parti," katanya.

Sementara itu : Lompat parti - Ganti rugi RM5 juta DAP tidak sah.

Langkah DAP Perak menguatkuasakan syarat ganti rugi RM5 juta bagi memastikan wakil rakyatnya tidak keluar parti adalah amat bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan seperti mana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan setiap individu berhak memilih persatuan atau parti politik yang hendak disertai atas nama kebebasan untuk berpersatuan.
Justeru, beliau yang juga pakar Perlembagaan Persekutuan menegaskan, wakil rakyat yang dikehendaki membayar sejumlah itu kerana meninggalkan DAP tidak perlu mematuhi syarat tersebut kerana ternyata ia tidak sah.

"Syarat ini amat menghairankan saya kerana setiap individu telah diberi kebebasan untuk memilih mana-mana persatuan dan parti yang ingin mereka sertai. Mereka bebas untuk masuk atau keluar mana-mana persatuan.

"Ini adalah jaminan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Persatuan atau parti politik tidak berhak untuk mengenakan syarat sama ada menyekat untuk masuk atau keluar seperti mana yang dilakukan oleh parti DAP,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan DAP Perak menguatkuasakan perjanjian yang mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu. Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008 bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

"Kita telah memutuskan perjanjian itu perlu ditandatangani setiap calon yang dipilih mewakili DAP pada ketika itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.

Gangga Negara..

Ahad, 13 Jun 2010

Pas perlu ganti nama baru!

Pas harus menggugurkan perkataan Islam dari singkatan nama parti itu yang digunakan sejak penubuhannya berikutan keputusan membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, keputusan itu berbeza dengan ideologinya yang mengutamakan prinsip Islam termasuk tidak melantik pemimpin dari kalangan bukan Islam.

“Tiada gunanya jika wakil mereka bukan Islam. Lebih baik bertukar kepada nama yang lebih nasional dan mudah diterima kaum lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan parti itu dalam Muktamar Tahunannya ke-56 di Kota Bharu semalam di mana calon bukan Islam akan dipilih dari ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang ditubuhkan parti itu kepada bukan Islam tetapi menyokongnya. Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kebenaran itu diberikan oleh Majlis Syura Ulama Pas iaitu badan tertinggi dalam parti itu.

Malah, katanya, calon akan dikenakan syarat agar tidak melompat parti dan hanya dibenarkan bertanding di kawasan yang bukan bermajoriti Melayu. Mengulas lanjut, Zainal berkata, keputusan pasti disukai PKR dan DAP kerana menjadikan Pas lebih liberal berbanding sebelum ini. Ia selari dengan prinsip kedua-dua rakannya itu dalam pakatan pembangkang.

“Bagaimanapun, mungkin wujud kalangan penyokong setia parti yang tersentak dan akan memberontak agar keputusan ini dibatalkan,” jelas beliau. Zainal tidak menolak keputusan itu merupakan perancangan jangka panjang Pas untuk menjadi sebuah parti yang nasional dan tidak terikat dengan pihak lain.

Penganalisis politik, Professor Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud berpendapat, keputusan itu pastinya sesuatu yang pahit hendak ditelan dan tidak dijangka oleh penyokong setia sejak sekian lama. Menurutnya, pendekatan itu mungkin merupakan hasil perbincangan berpanjangan oleh pemimpinnya selepas pilihan raya umum lalu yang mencerminkan politik negara tidak lagi dibezakan dengan sesuatu kaum atau agama. “Mereka menyaksikan bagaimana Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh P. Kamalanathan walaupun majoriti kawasan itu adalah Melayu,” katanya.

Kata beliau, dahulunya Pas merupakan pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) tetapi kini mereka sudah kehilangan taring khususnya selepas penyertaan mereka di dalam pakatan pembangkang. “Pas merasakan mereka ketinggalan berbanding PKR dan DAP, maka keputusan ini diambil agar mereka kembali terserlah dan bersuara dalam arena politik Malaysia,’’ ujarnya.

Tambahnya, keputusan itu mungkin dipengaruhi dengan keterbukaan beberapa pemimpin Pas terutamanya golongan muda yang terdidik melalui konsep perpaduan sejak di bangku sekolah.

Gangga Negara..

Selasa, 8 Jun 2010

Buat penilaian yang adil terhadap polis - Sultan Perak!

Sultan Azlan Shah melawat pameran sambil diperhatikan Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan (kiri) sempena majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Parit, Perak.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan masyarakat supaya membuat penilaian secara adil terhadap peranan dan sumbangan pasukan polis di negara ini. Baginda bertitah, perkhidmatan polis akan menjadi lebih berkesan jika masyarakat memberi dorongan, memperlihatkan simpati serta bersikap adil dan seimbang terhadap pasukan itu.

''Dalam memenuhi tanggungjawab yang begitu berat serta dengan bilangan anggota yang begitu ramai, sudah tentu ada sebilangan kecil anggota melakukan perkara yang mencalarkan nama baik pasukan, namun, masyarakat hendaklah bersikap adil dalam membuat penilaian.

''Jangan sampai mencurahkan susu sebelanga kerana nila setitik. Dalam menyiarkan cerita buruk, jangan sama sekali dinafikan cerita baik," titah baginda semasa merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

Baginda bertitah, masyarakat mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap insiden jenayah yang kejam tetapi mereka juga perlu menyedari bahawa polis bukan pencetus kejadian tersebut. Titah baginda, kejadian jenayah boleh bermula di peringkat awal apabila institusi keluarga dan sekolah tidak melaksanakan disiplin secara ketat.

''Tolak ansur yang keterlaluan terhadap kerenah anak-anak ketika melalui usia formatif memberikan nilai yang salah. ''Ini kerana anak-anak merasakan mereka boleh terlepas daripada hukuman apabila diberikan pembelaan keterlaluan meskipun telah melanggar disiplin dan peraturan sekolah.

''Nilai yang salah dari asuhan yang salah akan melahirkan produk yang salah dan akibatnya, negara dan warga yang terpaksa menanggung beban di kemudian hari," titah baginda. Sultan Perak bertitah, membasmi jenayah adalah usaha kolektif yang perlu dilakukan secara berintegrasi antara pelbagai institusi merangkumi keluarga, sekolah, masyarakat dan agama.

''Tugas polis akan lebih berkesan jika tanggungjawab secara kolektif dapat dilaksanakan. Tiada guna menambah bilangan anggota polis jika bilangan calon penjenayah turut bertambah," katanya. Pada masa sama, baginda bertitah, pasukan polis hendaklah sentiasa mempertahankan imej pasukan dengan komitmen untuk membina satu perkhidmatan yang cukup berdisiplin.

''Kaedah komunikasi awam dan media perlu dilaksanakan secara lebih berkesan supaya pasukan sentiasa diberikan gambaran positif serta mendapat sokongan rakyat," titah baginda. Pembinaan kompleks IPD Perak Tengah dimulakan pada 21 Ogos 1999 dan dijangka siap pada 7 Ogos 2001 tetapi terbengkalai disebabkan kegagalan pemaju.

Selepas pelantikan pemaju baru pada 2006, projek tersebut siap pada 2008 dengan kos hampir RM59 juta. Kompleks tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk lima banglo untuk pegawai yang diwartakan, 12 banglo semi D untuk pegawai berpangkat inspektor dan 122 rumah teres untuk anggota pelbagai pangkat.

Gangga Negara..

Sabtu, 5 Jun 2010

SEMOGA DILINDUNGI ALLAH



TUANKU Mizan Zainal Abidin mengaminkan doa selepas menunaikan solat Jumaat dan hajat untuk misi bantuan di Gaza di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam menyertai hampir 10,000 jemaah menunaikan solat hajat bagi mendoakan keselamatan para sukarelawan dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Solat sunat selepas solat Jumaat itu diketuai Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan disertai umat Islam pelbagai bangsa dari dalam dan luar negara.

Solat hajat untuk sukarelawan Gaza turut diadakan di beberapa masjid lain di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam bagi memohon perlindungan dan keberkatan Allah dalam meneruskan misi mereka membantu rakyat Palestin.
Gangga Negara..