Sultan Azlan Shah melawat pameran sambil diperhatikan Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan (kiri) sempena majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Parit, Perak.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan masyarakat supaya membuat penilaian secara adil terhadap peranan dan sumbangan pasukan polis di negara ini. Baginda bertitah, perkhidmatan polis akan menjadi lebih berkesan jika masyarakat memberi dorongan, memperlihatkan simpati serta bersikap adil dan seimbang terhadap pasukan itu.
''Dalam memenuhi tanggungjawab yang begitu berat serta dengan bilangan anggota yang begitu ramai, sudah tentu ada sebilangan kecil anggota melakukan perkara yang mencalarkan nama baik pasukan, namun, masyarakat hendaklah bersikap adil dalam membuat penilaian.
''Jangan sampai mencurahkan susu sebelanga kerana nila setitik. Dalam menyiarkan cerita buruk, jangan sama sekali dinafikan cerita baik," titah baginda semasa merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar dekat sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.
Baginda bertitah, masyarakat mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan terhadap insiden jenayah yang kejam tetapi mereka juga perlu menyedari bahawa polis bukan pencetus kejadian tersebut. Titah baginda, kejadian jenayah boleh bermula di peringkat awal apabila institusi keluarga dan sekolah tidak melaksanakan disiplin secara ketat.
''Tolak ansur yang keterlaluan terhadap kerenah anak-anak ketika melalui usia formatif memberikan nilai yang salah. ''Ini kerana anak-anak merasakan mereka boleh terlepas daripada hukuman apabila diberikan pembelaan keterlaluan meskipun telah melanggar disiplin dan peraturan sekolah.
''Nilai yang salah dari asuhan yang salah akan melahirkan produk yang salah dan akibatnya, negara dan warga yang terpaksa menanggung beban di kemudian hari," titah baginda. Sultan Perak bertitah, membasmi jenayah adalah usaha kolektif yang perlu dilakukan secara berintegrasi antara pelbagai institusi merangkumi keluarga, sekolah, masyarakat dan agama.
''Tugas polis akan lebih berkesan jika tanggungjawab secara kolektif dapat dilaksanakan. Tiada guna menambah bilangan anggota polis jika bilangan calon penjenayah turut bertambah," katanya. Pada masa sama, baginda bertitah, pasukan polis hendaklah sentiasa mempertahankan imej pasukan dengan komitmen untuk membina satu perkhidmatan yang cukup berdisiplin.
''Kaedah komunikasi awam dan media perlu dilaksanakan secara lebih berkesan supaya pasukan sentiasa diberikan gambaran positif serta mendapat sokongan rakyat," titah baginda. Pembinaan kompleks IPD Perak Tengah dimulakan pada 21 Ogos 1999 dan dijangka siap pada 7 Ogos 2001 tetapi terbengkalai disebabkan kegagalan pemaju.
Selepas pelantikan pemaju baru pada 2006, projek tersebut siap pada 2008 dengan kos hampir RM59 juta. Kompleks tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk lima banglo untuk pegawai yang diwartakan, 12 banglo semi D untuk pegawai berpangkat inspektor dan 122 rumah teres untuk anggota pelbagai pangkat.
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan