Apakah wajar kesemua parti komponen termasuk UMNO mengambil pendirian menolak Perkasa?
Awang lontarkan persoalan ini kerana ia sudah menjadi bahan bualan terutama di kalangan orang Melayu. Mesyuarat BN yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung, Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini mencapai persetujuan untuk menjauhi Perkasa. Alasannya kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum selain menjejaskan konsep 1Malaysia.
Pada Awang, Perkasa hanyalah NGO biasa sebagaimana NGO bukan Melayu lain, yang sekadar membela kepentingan kaum masing-masing. Persekitaran politik yang dilihat tidak menentu dan berbahaya kepada kepentingan Melayu menyebabkan ramai menyokong Perkasa. Suka atau tidak, Perkasa menjadi sandaran baru kepada orang Melayu dan umat Islam. Dalam banyak isu melibatkan kepentingan bangsa dan agama, Perkasa lebih diyakini berbanding parti politik. Maka langkah menolak bulat-bulat Perkasa dalam membela kepentingan Melayu akan membawa UMNO ke ambang risiko besar.
Hari ini, UMNO dapat bertahan di sebalik gelombang asakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, juga adalah antara lain disebabkan peranan NGO seperti Perkasa. Janganlah melihat Perkasa sebagai hantu jembalang - sebagaimana persepsi banyak parti bukan Melayu. Pada Awang, Perkasa bukanlah ultra rasis berbanding banyak NGO yang bertaut rapat dengan parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan.
Ketika parti-parti Cina saling lengkap melengkapi dengan NGO mereka, ada pemimpin UMNO yang mahu menolak Perkasa tanpa melihat daripada perspektif lebih besar. Awang tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa Perkasa akan menggugat BN kerana dituduh rasis. Lakukanlah kajian menyeluruh. Hampir kesemua isu yang disuarakan oleh Perkasa adalah sebagai menyanggah tuntutan keterlaluan oleh pelbagai pihak tanpa menjaga sensitiviti orang Melayu dan prinsip dalam perlembagaan negara.
Perkasa tidak pernah meminta lebih untuk orang Melayu walaupun ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina. NGO itu hanya mahu mempertahankan apa yang ada pada Melayu pada waktu ini kerana Melayu masih jauh ketinggalan. Apakah komitmen Perkasa menjunjung perlembagaan juga bercanggah dengan konsep 1Malaysia? Awang agak aneh mengapa mesyuarat BN itu tidak mengambil pendirian yang sama terhadap NGO bukan Melayu lain. Semalam, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan rasa gembira dengan jaminan bahawa UMNO juga tidak akan menyokong Perkasa. Awang ingin bertanya apakah tanpa Perkasa, Gerakan boleh memberi jaminan bahawa majoriti bukan Melayu akan menyokong BN?
Pendirian masyarakat Cina menolak BN pada pilihan raya umum lalu masih belum berubah. Gerakan sendiri sampai hari ini hampir lumpuh dan parti itu tidak bekerja keras memulihkan sokongan bukan Melayu, sebaliknya asyik mencari alasan lapuk.
Pada Awang, pendirian UMNO untuk turut sama menjauhi Perkasa tidak akan membantu parti itu. Persoalannya, apa pilihan UMNO yang terpaksa menjaga sensitiviti parti komponen lain?
Atas kertas UMNO boleh menolak Perkasa tetapi risikonya ke mana sokongan NGO itu selepas ini? BN sendiri akan terjejas jika ramai pengundi UMNO pula menjauhi parti itu kerana mengikut haluan Perkasa. Jika itu berlaku, yang lebih rugi adalah UMNO. Dalam kita ghairah mahu mendapat sokongan bukan Melayu, janganlah mudah terjebak dengan percaturan yang silap.
Awang khuatir, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. Sokongan bukan Melayu adalah penting kepada BN namun pasak yang perlu dijaga adalah Melayu. Itu juga adalah asas kenegaraan yang bermula dengan kemurahan hati dan pengorbanan Melayu kepada kaum lain sejak sebelum merdeka lagi. Jika Perkasa dimusuhi, NGO itu dan Ibrahim tidak akan rugi apa-apa. Yang rugi adalah kuasa politik Melayu.
Awang melihat pilihan lain yang ada pada BN ialah semua parti komponen mesti komited mempertahankan perlembagaan dan akur kepada kontrak sosial. Jika itu boleh dipersetujui, Awang percaya Perkasa dengan sendirinya akan terpinggir daripada perhatian orang Melayu. UMNO juga perlu lebih kelihatan membawa agenda Melayu sebagaimana yang terus dijuarai oleh DAP, MCA, Gerakan dan MIC untuk melonjakkan kaum masing-masing.
Dalam UMNO perlu memikul cabaran mengetuai keluarga besar BN yang bererti mengurus kehendak pelbagai komponen, hakikatnya parti itu selama ini kuat adalah kerana agenda Melayu. Persoalannya lagi apakah parti komponen BN yang lain akan akur. Inilah cabaran besar UMNO. Yang pasti, orang Melayu kini memerhatikan tindak-tanduk UMNO dan akan membuat penentuan apabila tiba masanya. Mungkin pada waktu itu nanti, segala-galanya sudah terlewat bagi UMNO untuk mendengar suara kaumnya sendiri. Sangat terlewat.
Oleh : Awang Selamat
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan