Orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka bangsanya sendiri, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Baginda bertitah, raja-raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisinya bahkan turut bertanggungjawab kepada agama dan bangsa.
Justeru tegas baginda, menjadi tanggungjawab raja-raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu untuk terus mempertahankan hak dan keistimewaan mereka daripada sebarang usaha menghakisnya.
''Sebarang suara mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di bumi ini, adalah perbuatan yang tidak berasaskan sejarah serta bercanggah dengan Perlembagaan Negara.
''Jika ada kalangan orang Melayu yang melakukannya, mereka itu sebenarnya telah melakukan penghinaan kepada bangsa dan telah derhaka kepada bangsa sendiri," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri Perak di Kolej Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta kerabat-kerabat diraja yang lain.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Sultan Perak juga mengingatkan umat Islam dan orang Melayu tidak terburu-buru mengambil sesuatu tindakan kerana dibimbangi akan merugikan masa depan dan generasi mereka sendiri.
''Amat malang kepada agama dan bangsa, apabila sejarah sebenar negara mahu dipadamkan dan fakta mahu diubah.
''Jika ini dibiarkan, tiada maknanya lagi apabila bangsa kemudian hari menghadapi kesesalan kerana ketika itu telah terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan," titah baginda.
Tegas Sultan Azlan, keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam dan orang Melayu hari ini bukannya ibarat ''pipis datang melayang atau bulat datang menggolek'' sebaliknya mempunyai kisah perjuangan yang panjang.
''Keistimewaan yang ada ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelosok Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan.
''Pencapaian tersebut melambangkan manifestasi satu perjuangan asas yang kudus lagi suci, meletakkan Islam pada martabat yang tinggi dan melindungi umat Islam daripada sebarang usaha pemesongan," titahnya.
Baginda menekankan betapa perlunya masyarakat Melayu insaf bahawa sesuatu keistimewaan itu tidak mungkin kekal selamanya apatah lagi jika mereka gagal menghargainya.
Dalam titahnya, baginda memberi contoh penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah yang akhirnya memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia berlandaskan nilai-nilai yang diredai.
''Nyatalah, peristiwa hijrah telah mencetuskan satu perubahan penting kepada umat Islam. Peristiwa hijrah merakamkan berlakunya transformasi.
''Hijrah adalah titik peralihan membolehkan umat Islam membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama Islam sehingga ummah berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar," titah baginda.
Maka itu, titah baginda, sambutan Maal Hijrah hendaklah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah diri untuk tidak mengulangi setiap kesilapan sebaliknya bertawaduk dan mencari keredaan Allah.
UM Online
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan