SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS

Isnin, 7 Mac 2011

Melakar Malaysia maju, berkualiti!

Tuanku Mizan Zainal Abidin

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wabihi Nasta'iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya kita dipermudahkan sehingga dapat berkumpul sekali lagi, di Dewan yang mulia ini untuk Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas.

Beta bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap oleh negara selama ini. Beta berharap kesejahteraan negara di bawah Gagasan 1Malaysia akan berterusan, di mana rakyat yang didorong oleh semangat kesatuan akan dapat menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

Tahun 2010 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Prestasi perbelanjaan ke atas projek-projek pembangunan yang telah dilaksanakan mencapai 96.2 peratus daripada peruntukan berjumlah RM230 bilion. Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan, pihak swasta dan rakyat yang bersama-sama menjayakannya. Semoga Rancangan Malaysia Kesepuluh yang mula dilaksanakan pada tahun ini dapat terus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Alhamdulillah, ekonomi Malaysia kembali kukuh dengan mencatat pertumbuhan pesat pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010, berbanding penguncupan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan tinggi ini dicapai berikutan permintaan domestik yang mantap dan disokong oleh prestasi eksport yang menggalakkan. Pemulihan ekonomi yang pantas ini juga hasil daripada dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan. Tanda-tanda pengukuhan ekonomi negara juga boleh dilihat melalui peningkatan keyakinan pelabur sehingga Indeks Bursa Malaysia telah mencatatkan paras tertinggi melebihi 1,570 mata pada awal tahun ini. Pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan pula telah meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2010 berbanding RM22.1 bilion yang dicatat pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus. Pelaburan asing terbesar adalah daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura dan Jerman. Pada tahun ini, pertumbuhan ekonomi negara disasarkan antara 5 hingga 6 peratus yang akan dipacu oleh sektor swasta serta eksport yang menggalakkan.

Perbelanjaan awam pula dianggarkan meningkat dengan kadar lebih perlahan sejajar dengan matlamat pengurusan fiskal yang berhemat.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, faktor-faktor luaran seperti ekonomi global yang masih tidak menentu akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini merupakan satu cabaran dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengalu-alukan keterbukaan Kerajaan yang mengakui bahawa di sebalik kejayaan ekonomi yang dinikmati selama ini, dikhuatiri kita akan terus terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana sekiranya tiada tindakan konkrit diambil untuk keluar dari situasi tersebut. Dalam hal ini, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan transformasi berlandaskan 4 tonggak utama, iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara, atau NKRA dan Program Transformasi Ekonomi berteraskan Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas.

Program Transformasi Kerajaan dan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan merupakan langkah yang berpandangan jauh dan berani demi membawa Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebanyak 12 Bidang Ekonomi Utama Negara, atau NKEA telah dikenal pasti dapat menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion, dengan 92peratus oleh sektor swasta. Pelaksanaan NKEA akan memberi kesan yang menyeluruh kepada rakyat melalui pewujudan lebih kurang 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ini akan memberi lebih banyak pilihan bagi mereka yang mencari pekerjaan serta membolehkan peralihan kepada pekerjaan berpendapatan lebih tinggi. Justeru, rakyat juga akan berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Malaysia komited untuk mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000, atau RM50,000. Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dengan purata sekurang-kurangnya 6 peratus setiap tahun, yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta peningkatan eksport.

Usaha-usaha juga akan terus dipertingkatkan bagi menjadikan Malaysia mempunyai ciri-ciri sebagai peneraju pasaran dan amalan tadbir urus cemerlang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Perdagangan luar terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2010 jumlahnya telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding RM988.2 bilion pada tahun 2009. Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara ASEAN, rakan dagang tradisional dan yang sedang berkembang pesat di Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan.

Beta mengucapkan tahniah di atas kejayaan Malaysia berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010. Industri dalam negara terutama industri kecil dan sederhana akan terus dimantapkan. Di samping itu, industri berkaitan teknologi hijau juga akan diberi galakan, mengambil kira potensinya selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara untuk mewujudkan ekonomi lestari pada masa hadapan.

Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai minda kelas pertama serta mampu bersaing di peringkat global amat penting untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta vokasional akan terus diperkasakan. Di peringkat pengajian tinggi pula, penekanan akan diberi kepada program kerjasama universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Beta menyeru supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi.

Dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengambil kira keperluan pasaran dan kehendak negara, program-program latihan teknikal dan vokasional kepada golongan lepasan sekolah, belia dan pekerja sedia ada akan dipertingkatkan. Penubuhan Talent Corporation adalah satu usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan yang berkepakaran tinggi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sains, teknologi dan inovasi amat penting dalam memacu pembangunan negara terutama bagi menjana pengetahuan, mencipta kekayaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Usaha-usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menjana pendapatan negara akan terus diberi tumpuan. Beta berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif akan dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti-aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia.

Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal dengan menduduki tangga ke-9 dalam senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009. Usaha-usaha inovatif akan terus dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta memperluaskan pasaran di negara-negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi tinggi. Pelancongan berkaitan alam semula jadi serta keunikan masyarakat majmuk negara ini akan juga diberi penekanan.

Sektor pertanian masih penting dari segi penjanaan pendapatan dan menjamin bekalan makanan. Sehubungan itu, Dasar Agro-Makanan 2011 hingga 2020 telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.

Dalam usaha untuk bergerak ke arah negara maju, penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan akan terus dilaksanakan. Ini termasuk kemudahan pengangkutan darat, laut dan udara serta teknologi maklumat dan komunikasi bagi memberi kemudahan kepada rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan.

Sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap, cepat dan berkesan sangat penting untuk kemajuan negara. Justeru, pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan termasuk mempelbagaikan saluran penyampaian akan terus dilaksanakan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Beta prihatin bahawa status negara maju tidak bermakna jika rakyat tidak menikmati kehidupan berkualiti. Sehubungan ini, Kerajaan telah menetapkan dan sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, memperkasa prasarana luar bandar, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam bandar bagi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat negara ini sentiasa bertambah baik.

Sebagai satu kelangsungan untuk menyediakan masyarakat yang mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan, generasi baru perlu dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sahsiah bermula sejak di awal usia lagi. Akses kepada pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun dan Program PERMATA Negara akan diperluaskan.

Pada masa yang sama, kecemerlangan murid akan terus dipertingkatkan melalui pengiktirafan lebih banyak sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Walaupun Indeks Keamanan Dunia 2010 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terbaik di Asia dan ke-22 di dunia, namun Kerajaan Beta tidak akan leka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Beta mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi bagi memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana harmoni, selamat dan tanpa kacau bilau atau persengketaan.

Kesungguhan Polis Diraja Malaysia memerangi kegiatan jenayah termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru harus dipuji. Penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Beta juga mengalu-alukan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama. Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara.

Peranan Angkatan Tentera Malaysia pada masa ini adalah lebih daripada mempertahankan negara, malah turut membantu mangsa banjir dan membangunkan prasarana luar bandar khususnya melalui Program Jiwa Murni. Pemilihan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu membangunkan keupayaan di Afghanistan, merupakan suatu pengiktirafan ke atas profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat.

Justeru, Kerajaan akan terus mempertingkatkan program untuk menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyertai Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, Program Latihan Khidmat Negara yang dapat meningkatkan semangat patriotik dan kesatuan dalam kalangan pelatih pelbagai kaum juga akan diperkukuhkan.

Kerajaan amat komited dalam memerangi rasuah. Ia dilaksanakan bukan sekadar untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, tetapi atas kesedaran bahawa rasuah akan merosakkan negara dan bangsanya. Hanya dengan kerjasama semua pihak, jenayah rasuah boleh dihapuskan. Berilah sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Kesejahteraan penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak pernah diabaikan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan seperti jalan luar bandar, infrastruktur awam, bekalan air bersih dan elektrik serta telefon kepada penduduk-penduduk luar bandar akan terus dipertingkatkan. Pada tahun 2010, hampir 800 kilometer jalan baru dan

naik taraf, 16,900 unit rumah untuk keluarga miskin dan miskin tegar, bekalan air bersih kepada 35,000 buah rumah dan bekalan elektrik kepada 27,000 buah rumah telah dilaksanakan di seluruh negara.

Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan pada tahun 2010. Daripada jumlah lebih 44,000 ketua isi rumah miskin tegar yang dikenal pasti pada awal tahun, ia telah berjaya dikurangkan kepada

sekitar 100 pada akhir tahun. Bagi memastikan golongan ini tidak kembali menjadi miskin tegar, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program antaranya 1AZAM dan pendekatan pembangunan inklusif.

Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar pula telah digubal bagi menggembleng sumber dan tenaga semua pihak agar program-program pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh.

Aspek seperti latihan dan pendidikan modal insan, peningkatan ekonomi, infrastruktur, perancangan fizikal, peningkatan kualiti hidup dan pengurusan sumber alam akan diberi tumpuan. Bagi peneroka FELDA pula, walaupun pendapatan mereka telah meningkat dengan kenaikan harga komoditi, namun usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup golongan berkenaan. Pada tahun ini FELDA memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Menyedari potensi kaum wanita dalam pelbagai bidang, golongan ini akan diperkasakan terutama dalam sektor ekonomi melalui latihan keusahawanan dan bantuan modal perniagaan. Setakat ini sasaran melahirkan seramai 1,000 orang usahawan wanita setiap tahun telah berjaya dicapai. Bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai sektor pekerjaan dan 30 peratus menduduki peringkat pembuat keputusan, penggubalan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 dan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan program gender dalam sektor awam sangat dialu-alukan.

Bagi kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan, penjualan lebih 44,000 unit rumah kos rendah kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penyewa sedia ada dan setinggan di Kuala Lumpur, pembinaan lebih 63,000 unit rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa pada kadar yang berpatutan adalah antara bukti komitmen Kerajaan untuk meringankan beban golongan berkenaan. Dalam tempoh RMK-10, lebih 38,000 unit rumah di bawah program yang sama akan dibina untuk disewa dan dijual kepada mereka yang memerlukannya.

Kerajaan akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempertingkatkan kemudahan awam, memulihara dan mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dan tempat riadah serta interaksi sosial termasuk untuk golongan orang kurang upaya. Semua pihak hendaklah turut sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar termasuk mengamalkan kitar semula.

Beta mengalu-alukan rancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya metropolis terbaik dan selamat dengan mempunyai kemudahan bermutu tinggi, sungai-sungai yang bersih dan landskap yang menarik menjelang tahun 2020 melalui inisiatif Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Bagi meningkatkan kualiti hidup dan alam sekitar, kemudahan pengangkutan awam akan terus ditambah baik. Di Lembah Klang, Kerajaan menyasarkan 25 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang tahun 2012. Oleh itu, pelbagai langkah telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Juga akan dilaksanakan ialah pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi, atau MRT Sungai Buloh - Kajang melalui Kuala Lumpur sepanjang 60 kilometer. Projek ini apabila siap kelak dapat meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 50 peratus menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama sistem pengangkutan awam antara bandar juga akan ditambah baik.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, Beta mengalu-alukan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia ke kawasan-kawasan terpencil, yang memberi perkhidmatan meliputi rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan penyediaan cermin mata percuma. Pada masa sama, rakyat hendaklah turut memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan. Misalnya, demam denggi boleh dicegah dengan meningkatkan kebersihan persekitaran. Penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik pula boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan belia terbukti melalui dasar dan program-program yang mencakupi pendidikan, latihan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, sukan, sosial, kebudayaan dan sebagainya bagi mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Tiada negara terkecuali daripada menerima kesan perubahan iklim dan pemanasan global termasuk Malaysia, sehingga baru-baru ini negara mengalami dua kejadian banjir kesan daripada monsun timur laut dan fenomena La Nina. Walaupun banjir yang melanda negara kita telah menyebabkan kesukaran kepada rakyat, namun ia dapat dikurangkan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan oleh beberapa agensi serta atas tahap kesiapsiagaan Kerajaan dalam menghadapi bencana alam yang sukar diramal. Demi mengurangkan kesusahan rakyat, sistem amaran awal bencana yang lebih bersepadu merangkumi sistem ramalan cuaca dan iklim serta sistem amaran awal banjir akan diperkukuhkan agar lebih berkesan.

Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak 4 peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak 1 hingga 2 peratus. Ia adalah krisis makanan global. Sebagai negara pengimpot makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan Kerajaan.

Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak.

Namun, Kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat, di mana Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperolehi barang keperluan asasi seharian pada harga yang berpatutan.

Beta memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari-hari perayaan agama yang mempunyai penganut teramai dijadikan sebagai hari cuti umum. Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini.

Badan-badan bukan Kerajaan diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam pembangunan masyarakat sivil. Di negara ini, badan-badan bukan Kerajaan telah membantu Kerajaan dalam pelbagai bidang. Beta berharap dalam melaksanakan program-program dan aktiviti masing-masing, badan bukan Kerajaan hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memberi sumbangan untuk mencapai keamanan sejagat. Beta sukacita dengan sambutan yang menggalakkan daripada negara-negara utama dunia terhadap pendekatan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan yang telah diketengahkan oleh Mamanda Perdana Menteri. Ini merupakan antara sumbangan Malaysia untuk mencapai keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan pembangunan sejagat. Hubungan erat dan harmoni terutamanya dengan negara-negara ASEAN akan diberi penekanan berdasarkan Piagam ASEAN ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Berbanding dengan negara-negara tertentu, ketenteraman dan keharmonian di negara ini adalah nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Komitmen Kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melampaui sempadan negara terserlah melalui usaha membawa pulang pelajar-pelajar yang terhimpit dalam pergolakan politik di Mesir melalui Ops Piramid bulan lalu. Sehubungan ini, Beta merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut serta kepada negara-negara sahabat terutamanya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu mempermudahkan Ops Piramid.

Beta mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2010 seperti di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki.

Beta bersama rakyat amat berharap di Sukan Olimpik 2012, London kelak akan ada atlet memenangi emas pertama untuk Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara. Jadilah warga yang bijak, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah.

Untuk ke sekian kalinya Beta mengingatkan bahawa tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini sentiasa diperhatikan dan menjadi teladan kepada masyarakat. Justeru, pamerkanlah tingkah laku yang terpuji, berbahaslah dengan tertib, sumbangkanlah pemikiran yang bernas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dan utamakanlah kepentingan rakyat.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan