Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pihak supaya jangan menyentuh soal sensitiviti kaum di negara ini. Seri Paduka bertitah, semua pihak perlu menghormati nilai tersebut dan pada masa yang sama mengekalkan sikap toleransi antara kaum yang sedia wujud sejak sekian lama.
"Sensitiviti kaum mestilah sentiasa dijaga dan dijadikan sempadan bagi semua pihak agar perpaduan yang dinikmati ini dapat diperkukuhkan," titahnya pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2010 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
DARI kiri: Pegawai Waren 2, Megat Abdullah Megat Othman (bersara), Pegawai Waren 2, Darus Mohd. Isa (bersara), Lans Koperal Tumiran Jayonin (Bersara), Pegawai Waren 2, Muhammad Razali Din (bersara), Staf Sarjan, Ahmad Safuan Mahmud (bersara) dan Staf Sarjan, Ahmad Zawawi Abdul Rahman (bersara) menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang disampaikan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ketika majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.
Sementara itu, Tuanku Mizan menyeru semua rakyat agar meningkatkan semangat patriotisme bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang berkekalan.
Titah Seri Paduka, semangat sanggup berkorban demi negara perlu sentiasa dipupuk dan disemarakkan tanpa mengira keturunan, agama dan budaya. Mengenai pasukan keselamatan negara, Tuanku Mizan bertitah, baginda berbangga dengan kualiti dan kemampuan pasukan tersebut.
Menurut Seri Paduka, kecemerlangan pasukan keselamatan bukan sahaja terbukti dalam aspek menjaga keamanan negara tetapi turut merangkumi sumbangan yang dimainkan di peringkat antarabangsa.
"Pasukan keselamatan kita telah membuktikan kemampuan yang hebat di 26 negara. Perkhidmatan cemerlang ini telah mengharumkan nama negara. "Kecemerlangan pasukan ini bukan sahaja diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malah turut disanjung oleh penduduk tempatan," titah Tuanku Mizan.
Sambutan Hari Pahlawan catat sejarah baru
Sambutan Hari Pahlawan peringkat kebangsaan tahun ini mencatat sejarah apabila buat kali pertama tidak disambut di Tugu Negara sebaliknya diadakan di Dataran Merdeka di sini.
Upacara mengalungkan bunga di tugu peringatan yang menjadi acara tetap sebelum ini, juga tidak lagi diadakan pada sambutan hari ini.
Ini selaras nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan supaya sambutan Hari Pahlawan tidak diadakan di kawasan mempunyai patung manusia manakala upacara mengalungkan bunga dimansuhkan kerana kedua-duanya bertentangan dengan Islam.
Pun begitu, perubahan lokasi tidak sedikit pun menjejaskan sambutan Hari Pahlawan tahun ini apabila ia masih berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan dan bersemangat. Ini terbukti dengan kehadiran ramai bekas anggota tentera dan polis yang sebelum ini berjuang mempertahankan kedaulatan negara selain turut menarik minat puluhan diplomat asing.
Pada tahun ini, 806 anggota pasukan keselamatan dan bekas anggota keselamatan mengambil bahagian dalam upacara perbarisan yang menjadi sebahagian daripada atur cara wajib sambutan.
Sambutan berkenaan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga hadir.
Dalam sambutan pada hari ini, acara baru ialah persembahan pantomin bertajuk 'Pertempuran Bukit Candu'.
Persembahan pantomin itu bertujuan mengimbau keberanian Leftenan Adnan Saidi mempertahankan nusa dan bangsa daripada serangan tentera Jepun sehingga ke titisan darah terakhir. Terdahulu, majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat utama oleh Tuanku Mizan sebelum tiupan paluan akhir bagi membolehkan Jalur Gemilang diturunkan diikuti bacaan sajak pahlawan.
Sejurus pantomin 'Pertempuran Bukit Candu' selesai, paluan fajar sekali lagi ditiupkan, kali ini bertujuan menaikkan Jalur Gemilang. Majlis kemudiannya diteruskan dengan titah Tuanku Mizan dan serentak dengan itu laungan 'Daulat Tuanku' tiga kali sebelum sambutan diakhiri dengan bacaan doa.
SELAMAT MENYAMBUT HARI PAHLAWAN...
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan