SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Ahad, 15 Ogos 2010

Sultan Azlan Shah bimbang!

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah (gambar) menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian daripada generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara kini di ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-53.

Ini kerana titah Sultan Azlan Shah, kebelakangan ini telah terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Dalam titah baginda sempena Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 yang diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam, baginda turut mengingatkan, Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

‘‘Sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakatan di antara istana dan rakyat; masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana yang genting dan kritikal.

‘‘Ia memberi satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan kestabilan negara,” titah baginda.

Malah titah baginda, kemuliaan institusi raja perlu didokong secara bersama dan peranan itu harus dilaksanakan dengan bijak oleh Raja Bergelar, Orang Besar dan Ahli-Ahli Dewan Negara Perak dalam menjaga nama baik dan imej institusi raja agar tidak tercemar.

Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-147 itu juga mengesahkan Datuk Mohd. Redzuan Mohd. Kushairi menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Mohd. Zulkifli Mohd. Kushairi yang meninggal dunia 6 Ogos 2009.

Mohd. Redzuan, 61, yang dilahirkan di Taiping, berkelulusan Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian daripada Universiti Malaya.

Sultan Perak turut berkenan melantik Datuk Seri Panglima Mohd. Azumi Mohamed, anak kelahiran Batu Gajah yang juga bekas pemain hoki negeri dan kebangsaan, sebagai Ahli Dewan Negara Perak. Pelantikan yang berkuat kuasa semalam hingga 16 Mac 2012 itu bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Ismail Shah Bodin.

Sementara itu : Jadikan titah Sultan Perak satu peringatan

Titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewajarnya menjadi peringatan kepada generasi baru khususnya orang Melayu dalam berhadapan dengan suasana politik berkepentingan kebelakangan ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, kuasa raja-raja dan hak-hak istimewa orang Melayu akan hilang jika kesedaran tersebut tidak terus ditiupkan.

"Dalam keadaan suasana politik negara hari ini, sekiranya peringatan itu tidak diambil berat akan melenyapkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya di sini semalam.

Semalam, Sultan Perak menzahirkan kebimbangan baginda dengan sikap sebahagian generasi baru yang semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal-usul sejarah tanah air walaupun negara berada di ambang sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 pada 31 Ogos ini.

Ini kerana, titah baginda, kebelakangan ini terdengar suara-suara tuntutan yang sangat bercanggah dan bertentangan dengan semangat penyatuan warga di negara ini sebagai sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat.

Mohd. Hilmi berkata, generasi muda harus mengkaji dan menginsafi semangat perpaduan yang terkandung di dalam Perlembagaan negara bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan di negara ini berkekalan.

Malah, katanya, selepas Ramadan ini, GMP menyasarkan bekerjasama dengan golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) khasnya anak-anak Perak sendiri dalam usaha menyedarkan mereka mengenai isu itu.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajaran Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam pula mencadangkan supaya subjek Sejarah diangkat kembali imejnya supaya tidak lagi dilabel mata pelajaran 'kelas kedua' di peringkat sekolah sekali gus akan mendidik generasi muda mengenai semangat patriotisme.

Beliau melahirkan rasa bimbang jika mata pelajaran Sejarah terus diabaikan maka ia boleh menggugat perpaduan yang dikecapi selama ini.

Katanya, menerusi subjek Sejarah sahaja dapat mendidik generasi muda supaya sayangkan negara serta bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang berguna.

Ramlah berkata, tidak salah jika kerajaan mengutamakan mata pelajaran Sains dan Teknologi di peringkat sekolah tetapi ia perlu diseimbangkan dengan mata pelajaran Sejarah.

"Kita perlu melihat Jepun dan Korea yang walaupun telah lama maju tetapi masih mengagungkan sejarah negara yang dijadikan sebagai teras dalam kehidupan seharian," katanya.

Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Sapora Sipon percaya dengan kesungguhan mengutamakan mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah sahaja akan mampu melahirkan generasi muda yang cintakan negara.

Selain itu, katanya, media boleh memainkan peranan dengan menyalurkan semangat itu menerusi siaran drama, dokumentari atau iklan.

Beliau berkata, semangat itu penting kerana akan mendidik generasi muda agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar perlembagaan negara ini dengan sewenang-wenangnya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, subjek Sejarah di peringkat sekolah perlu disampaikan dengan lebih kreatif iaitu bukan setakat penghafalan di dalam bilik darjah sahaja.

"Pelajar mestilah dibabitkan dengan aktiviti luar seperti lakonan, lukisan atau kuiz supaya subjek Sejarah lebih menarik,'' katanya.- UM

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan