SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Ahad, 2 Mei 2010

Analisis Hulu Selangor : Kaum Cina tidak terabai!

Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor minggu lalu memperlihatkan jumlah masyarakat Cina yang menyokong calon Barisan Nasional daripada MIC agak kecil. Maka timbul persoalan adakah senario ini disebabkan kuatnya pengaruh pembangkang atau faktor MCA yang mendepani pergolakan besar baru-baru ini.

Atau adakah keadaan ini menunjukkan masih terdapat kalangan orang Cina yang kurang faham berpolitik dan menganggap kerajaan meminggirkan mereka? Hakikatnya kerajaan tidak pernah menganaktirikan kaum Cina sekalipun ada terma-terma tentang hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan.

Tokoh sejarah Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menganggap kurangnya sokongan kaum Cina dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor antaranya disebabkan oleh kegagalan MCA menjelaskan isu politik kepada akar umbi. Seperkara lagi beliau melihat keadaan ini disebabkan oleh kefahaman tentang politik yang kurang kalangan kaum Cina.

“Sesetengah orang Cina tidak begitu faham tentang politik dan bila ada terdapat hak-hak istimewa orang Melayu mereka tidak puas hati,” tegas Khoo Kay Kim ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID di Universiti Malaya Jumaat lalu.

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri dengan pola politik kaum Cina sekarang?

KHOO KAY KIM: Kaum Cina ini agak kompleks. Mereka belum lagi begitu faham tentang politik negara ini dan mereka masih memandang segala-galanya dari segi kepentingan diri dan kaum. Jadi bila didapati ada hak istimewa orang Melayu, mereka tidak faham kenapa perlu ada hak istimewa kepada orang Melayu. Mereka tidak berpuas hati tentang perkara ini. Maka di sini perlunya untuk kita memahami sejarah, tapi masalahnya sekarang sejarah bukan lagi satu kepentingan.

Sebenarnya jika kita perhatikan kaum yang paling kaya di negara ini adalah orang Cina. Jadi kalau mereka mahu menolong kaum sendiri ia bukan lagi satu masalah. Malah kita sedia maklum di negara ini terdapat tiga parti utama yang memperjuangkan kaum masing-masing.

Jadi bila ada kaum yang tidak berpuas hati bermakna ada masalah dalam parti itu. Namun kita tidak boleh salahkan pihak pemerintah kerana belum berlaku pemerintah mengabaikan mana-mana kaum di negara ini. Memang ada keutamaan yang diberikan kepada orang Melayu tetapi tidak bermaksud kaum-kaum lain diabaikan. Dari segi pembahagian kekayaan tidak banyak yang diperoleh orang Melayu.

Namun pihak pembangkang sering memainkan isu hak keistimewaan orang Melayu ini untuk membangkitkan kemarahan orang Cina. Ini tidak bermakna pihak pembangkang mendapat sokongan padu daripada orang Cina. Memang pada Pilihan Raya Umum 2008 mereka mendapat kemenangan agak besar tetapi selepas itu berlaku banyak masalah dan kekacauan di dalam parti. Ini menunjukkan pembangkang masih belum stabil.

Jika kita lihat pada Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, apa yang menyebabkan mereka tidak menyokong calon Barisan Nasional?

KHOO KAY KIM: Antara sebab utamanya adalah pergolakan di dalam MCA. Sejak selepas pilihan raya 2008 mereka tidak habis-habis bergaduh sampai orang jemu. Maka orang Cina melihat MCA sebagai satu kegagalan dan mereka berasa kecewa dengan apa yang berlaku. Ini kerana mereka harapkan pemimpin MCA turun ke bawah dan membantu rakyat.

Jika kerajaan dikatakan gagal menolong masyarakat Cina maka MCA yang sepatutnya memainkan peranan membantu orang Cina. Parti ini bukan miskin. Tetapi masalahnya semua bergantung kepada pemerintah dan parti itu sendiri gagal memainkan peranan dalam membantu masyarakat Cina.

Jadi apa guna kita mempunyai BN dan MCA yang mewakili orang Cina di dalamnya? BN sendiri merupakan sebuah parti yang diwakili pelbagai parti komponen berbilang kaum dan MCA mewakili orang Cina. Jika mereka tidak memainkan peranan seperti yang sepatutnya dan asyik mengharapkan kerajaan membantu, ini akan menyukarkan keadaan.

Semua parti komponen haruslah memainkan peranan masing-masing supaya perpecahan yang berlaku sekarang ini dapat dipulihkan. Perpecahan ini sangat menakutkan dan jika tindakan pantas tidak dilakukan ia akan memudaratkan semua pihak. Saya sebenarnya tidak faham kenapa perpecahan berlaku walaupun kita telah mendapat kemerdekaan lebih setengah abad.

Namun bagi saya semua ini kerana kegagalan sistem pendidikan kita. Apa hasil yang kita peroleh akibat dari terlalu mementingkan sains dan matematik tetapi kita terlupa tentang pentingnya sejarah.

Contohnya cuba jika kita tanya apa yang dimaksudkan dengan prinsip Rukun Negara yang ketiga, Keluhuran Perlembagaan, berapa ramai yang boleh memberitahu apa yang dimaksudkan Keluhuran Perlembagaan? Tidak kiralah mereka ini jurutera atau pun pensyarah. Belum tentu mereka boleh menjawabnya. Itu belum lagi golongan muda sekarang, tentu lebih teruk.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk menarik balik sokongan orang Cina?

KHOO KAY KIM: Bagi saya kerajaan perlu menjelaskan tentang banyak perkara yang berlaku. Jika tiada penjelasan maka lebih banyak pihak yang akan menghasut mereka. Sebenarnya keadaan di negara ini adalah terlampau sensitif dari segi hubungan antara kaum kerana mereka tidak faham apa yang sebenarnya berlaku. Bagi saya ini adalah permainan ahli politik yang membuat hasutan untuk kepentingan mereka sendiri.

Mereka hanya pandai mempergunakan keadaan yang wujud sekarang untuk mendapat keuntungan peribadi. Dari segi politik masyarakat kita jelas masih belum matang dan mudah dihasut. Apa yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969 itu adalah kerana hasutan. Begitulah bahayanya hasutan oleh sesetengah ahli politik jika tidak dikawal boleh merosakkan negara.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan