SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Jumaat, 7 Mei 2010

Guan Eng Kata : 'Musa tidak layak jadi KPN'!

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menganggap Tan Sri Musa Hassan tidak layak memegang jawatan Ketua Polis Negara (KPN) kerana gagal menjadikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pasukan yang benar-benar cekap untuk melaksanakan tugas menjaga keamanan.

Menurut Guan Eng (DAP-Air Putih), kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah, 15, membuktikan anggota-anggota polis terlibat telah bertindak tanpa membuat pertimbangan yang wajar.

"Musa memang tidak sesuai menjadi KPN, khususnya dalam isu Aminulrasyid di mana pelajar ini telah menerima 20 tembakan daripada polis.

"Adakah patut mangsa dibunuh dengan begitu zalim?

"Kalau anggota polis tidak melaksanakan tugas dengan betul, perlulah diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Kenyataan tersebut menyebabkan berlaku pertikaman lidah di antara Guan Eng dengan Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) selama kira-kira 20 minit kerana Ketua Pembangkang itu menganggap ia sebagai satu penghinaan terhadap PDRM.

Azhar kemudiannya menyarankan agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil-alih tugas menjaga ketenteraman awam berikutan ketidakpercayaan kerajaan negeri terhadap PDRM.

"Kalau sudah anggap polis tidak boleh dipercayai, saya seru askar ambil-alih," tegasnya.

Kata-kata Azhar itu menyebabkan beberapa wakil rakyat daripada kerajaan negeri meminta menarik balik kenyataannya kerana berbau hasutan. Beliau akur dan berbuat demikian selepas diberikan amaran oleh Speaker, Datuk Abdul Halim Hussain.

Sementara itu : Hisham tegur Guan Eng hina polis

Lim Guan Eng dinasihatkan agar tidak lantang menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan kononnya kerana gagal menangani isu jenayah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Guan Eng tidak sepatutnya mendesak Musa untuk melepaskan jawatan dalam setiap insiden yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Orang ramai pun boleh desak dia (Guan Eng) letak jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi setiap insiden yang berlaku di negeri itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini dilaporkan menganggap Musa tidak layak memegang jawatan tertinggi dalam PDRM kerana gagal menjadikan pasukan itu benar-benar cekap untuk melaksanakan tugas menjaga keamanan.

Beliau didakwa berkata, kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah, 15, membuktikan anggota-anggota polis terlibat telah bertindak tanpa membuat pertimbangan yang wajar. “Musa memang tidak sesuai menjadi KPN, khususnya dalam isu Aminulrasyid di mana pelajar ini telah menerima 20 tembakan daripada polis. Adakah patut mangsa dibunuh dengan begitu zalim?

“Kalau anggota polis tidak melaksanakan tugas dengan betul, perlulah diambil tindakan,” katanya. Menurut Hishammuddin, apa yang penting adalah siasatan yang telus dan bebas untuk mencari keadilan bagi keluarga serta pihak PDRM.

Katanya, semua pihak perlu bersabar dan memberi masa panel dan pihak penyiasat yang dilantik dan diketuai oleh timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop menjalankan tanggungjawab mereka. “Apa yang mereka (pembangkang) lakukan hanyalah mahu mempolitikkan satu insiden yang menyedihkan,” katanya.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan