SEPANJANG pertemuan wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID dengan bekas Naib Ketua Pemuda MIC, V. MUGILAN, beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon. Pesanan ringkas juga bertalu-talu masuk ke telefon bimbitnya. Beberapa orang yang melintasi tempat kami bertemu, berhenti dan bersalaman dengan beliau sambil menyatakan sokongan terhadap usahanya membentuk Gerakan Anti Samy (GAS). Terpacul perkataan ‘perubahan’. Mereka tidak saling kenal mengenal, gerakan itu seolah-olah telah menyatukan mereka. Pemuda berusia 35 tahun itu nekad. Biar apa pun terjadi, beliau tidak mempunyai pilihan selain memastikan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Velly berundur.
Bagi Mugilan, masa yang terbaik untuk bekas Menteri Kerja Raya itu meletakkan jawatan adalah ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur dari kerajaan dan UMNO. Malangnya Samy Vellu tidak berbuat demikian menyebabkan masyarakat India di negara ini terpaksa menolak beliau dan MIC dalam Pilihan Raya Umum 2008. Dalam temuramah dengan bekas Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. SUBRAMANIAM pula, pemimpin yang lebih dikenali dengan nama Barath Maniam itu yakin MIC tidak akan menjadi relevan jika Samy Vellu terus menjadi pemimpin tertinggi. Malah beliau secara berterus terang memberitahu bahawa pemimpin yang pernah disebut-sebut sebagai hero kaum India kini bertukar menjadi zero.
Mugilan dan Subramaniam sependapat, cukuplah 31 tahun Samy Vellu menerajui MIC. Jika 18 tahun Tun V. Sambanthan menjadi Presiden disifatkan terlalu lama oleh Samy Vellu, maka angka 31 tahun sudah tentunya sangat lama sehingga menimbulkan rasa muak dan marah kaum India.
MINGGUAN: Mengapa desakan supaya Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan timbul secara tiba-tiba?
MUGILAN: Perkara ini bukan timbul tiba-tiba. Saya melihat sejarah MIC. Kira-kira 30 tahun lalu Samy Vellu pernah mendesak Presiden MIC ketika itu mendiang Tun V. Sambanthan meletakkan jawatan atas alasan memegang jawatan terlalu lama. Walhal Tun Sambanthan hanya memegang jawatan itu selama 18 tahun sahaja berbanding Samy Vellu iaitu 31 tahun. Segala projek yang dijalankan oleh Sambanthan berjaya seperti terlibat dalam proses kemerdekaan bersama Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan pemimpin negara lain. Beliau bersama pemimpin lain berjaya membuka jalan kehidupan baru kepada masyarakat India dengan terlibat dalam membawa satu formula keharmonian antara kaum di negara ini. Selain itu beliau juga berjaya menubuhkan National Land and Finance Cooperative Society (NLFCS). Ini berlaku selepas insiden 13 Mei 1969 di mana orang Inggeris yang memiliki tanah estet menjual tanah mereka kerana mahu balik ke negara asal. Ketika itu ramai orang India menetap di dalam estet. Oleh kerana bimbang mereka hilang mata pencarian Sambanthan telah menubuhkan satu koperasi. Beliau telah mengutip RM10 daripada pekerja estet dan berjaya membeli ladang-ladang itu. Mereka kemudiannya menjadi pemilik ladang-ladang berkenaan. Inilah jasa yang paling besar oleh Sambanthan dan ia masih berjaya sehingga hari ini. Namun Samy Vellu telah mendesak Sambanthan meletakkan jawatan kerana terlalu lama memegang jawatan. Sekarang saya pula membuat perkara yang sama kerana perbezaan yang jelas dari segi sumbangan Samy Vellu yang memegang jawatan terlalu lama berbanding Sambanthan.
Apa sebenarnya corak kepimpinan Samy Vellu?
MUGILAN: Jika kita lihat Samy Vellu telah menghasilkan satu formula untuk terus 'mengikat' masyarakat India. Selepas menjadi Presiden, Samy Vellu telah menubuhkan Maika Holdings Berhad (Maika). Beliau telah mewajibkan kuota untuk dipenuhi sebagai contoh Naib Presiden kena cari RM300,000, ketua negeri dan ketua cawangan pula perlu mencari derma pada jumlah tertentu. Kerja mereka ketika itu adalah untuk mengutip duit selama dua tahun. Jika ada masalah ketua-ketua ini tidak berani nak kemukakan kepada presiden kerana kuota mereka masih belum dipenuhi. Kemudian Samy Vellu mengetengahkan idea dan konsep yang sama dalam beberapa projek lain dan terakhir sekali pembinaan Kolej Perubatan AIMST. Dalam tempoh 31 tahun beliau mengarahkan pemimpin-pemimpin MIC untuk mencari derma. Dalam kepala pemimpin ini telah diterap satu formula jangan bagi beliau apa-apa masalah atau idea. Untuk penubuhan AIMST ketua cawangan perlu mendapatkan RM11,000. Kalau tak dapat tutup cawangan. Jadi ketua-ketua ini tertekan untuk mendapatkan jumlah yang ditetapkan. Keadaan itu menyebabkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India tidak sampai kepada kepada presiden kerana terlalu memberi perhatian kepada jumlah kuota yang perlu diperoleh. Bagi saya formula ini lebih kepada memperbodohkan ketua cawangan dan bahagian supaya dalam kepala mereka jangan bawa isu atau masalah rakyat kepada Presiden. Ini mengakibatkan hubungan antara Presiden, pemimpin dan masyarakat bawahan tidak akrab.
Kenapa kaum India di negara ini masih ramai yang mundur walaupun negara semakin maju?
MUGILAN: Jika kita lihat pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah masa paling gemilang. Ekonomi kita berubah dari negara pertanian kepada perindustrian dan ketika itu banyak estet yang telah dimajukan. Malangnya Samy Vellu tidak menggunakan peluang itu untuk memajukan kaum India. Mereka berpindah dari estet ke kawasan setinggan. Di estet kehidupan tidak berkembang. Bila mereka pindah ke bandar tidak ada lagi orang tua yang berani menegur, minda mereka semakin terbuka dan mereka mahu menjadi maju. Malangnya tidak ada jalan yang ditunjukkan kepada mereka.
Samy Vellu tidak pernah menghasilkan satu pelan komprehensif untuk memajukan kaum India. Sedangkan sama ada kita suka atau tidak Presiden MIC merupakan pemimpin untuk kaum India. Malangnya beliau tidak memainkan peranan dan langsung tidak ada pelan untuk memajukan kaum India walaupun ketika itu negara berada pada era yang gemilang. Kerajaan telah memberikan bantuan sebanyak RM330 juta untuk membangunkan AIMST. Pada asalnya kos pembinaan hanya sekitar harga itu namun kemudian naik sekali ganda. Bukankah ini satu pembaziran dan jumlah sebanyak itu boleh digunakan untuk membantu masyarakat India untuk terlibat dalam program usahawan contohnya. Macam mana orang boleh tuduh Barisan Nasional (BN) tidak membantu masyarakat India sedangkan banyak wang telah disalurkan kepada MIC tetapi faedahnya tidak sampai kepada mereka. Oleh kerana itulah kita sering mendengar masalah sosial membabitkan orang India kerana Samy Vellu gagal membantu mereka. Jika kita lihat sebab utama kenapa Hindraf bertindak demikian adalah kerana mereka tidak berpuas hati terhadap Samy Vellu yang tidak melakukan apa-apa untuk kaum India.
Kenapa desakan supaya Samy Vellu meletakkan jawatan tidak dibuat selepas pilihan aya lalu kerana ketika itu jelas menunjukkan kaum India menolak MIC?
MUGILAN: Masalahnya beliau merupakan seorang diktator. Siapa yang berani melawan dia akan bising dan tidak ada orang yang berani bersuara, dalam mesyuarat baik di peringkat Majlis Tertinggi semua perlu ikut cakap dia. Selain itu masalah mula timbul apabila Samy Vellu melantik anaknya menganggotai Majlis Tertinggi.
Seperkara lagi Samy Vellu pernah menyatakan mahu meletak jawatan namun kemudian tak jadi. Pada 2006 umum bersara pada 2007 tapi tak jadi. Kemudian umum 2008 tukar 2009 kemudian 2010 dan sekarang 2011. Yang pasti beliau akan terus pegang jawatan hingga habis tempoh dan saya tidak hairan jika kemudian beliau akan terus bertanding atas alasan tidak ada pemimpin pelapis yang layak.
Kenapa saudara berani melawan dan kenapa yang lain tidak berani?
MUGILAN: Saya berani sebabnya terlalu banyak kepincangan yang berlaku membuatkan masyarakat India muak dengan beliau. Saya percaya Samy Vellu ada niat untuk menjadikan anaknya sebagai pengganti. Beliau membawa masuk anaknya dalam Majlis Tertinggi dan sebelum itu isteri Vell Paari adalah Timbalan Ketua Puteri, apa makna semua ini. Bagaimana anaknya boleh menjadi pengganti. Itu sebabnya Samy Vellu mahu bertahan dua tahun lagi. Masalahnya Vell Paari bukan seorang pemimpin yang bijak dan dalam tempoh dua minggu dilantik telah kecoh dengan macam-macam hal. Kita tengok apa yang berlaku kepada Maika ketika dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dulu. Sekarang sudah hampir muflis. Inikah orang yang kita mahu ketengahkan untuk menjadi pemimpin.
Kenapa saudara bersungguh-sungguh mahu menganjurkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS)?
MUGILAN: Apa yang saya lakukan adalah kerana masyarakat India tidak lagi suka pada Samy Vellu. Ramai pemimpin cawangan dan bahagian menolak beliau tetapi tidak berani melakukan apa yang saya buat namun mereka menyokong. Samy Vellu sudah menjadi liabiliti kepada masyarakat India dan juga kepada BN. Saya mahu menyelamatkan parti kerana saya begitu sayangkan MIC berasaskan sejarah dan sumbangannya kepada masyarakat India sejak sekian lama. Mereka bukan marah kepada MIC tetapi pada Samy Vellu. Satu lagi sama ada suka atau tidak Kerajaan Pusat hanya mempunyai pilihan untuk menyalurkan bantuan dan mendapat pandangan dari masyarakat India hanya melalui MIC. Ini adalah saluran terbaik cumanya masalah sekarang Samy Vellu masih berkuasa dan ini membuatkan masyarakat marah. MIC merupakan parti ibu kepada kaum India walaupun terdapat banyak parti lain.
Selagi Samy Vellu masih menjadi Presiden MIC selagi itulah sokongan kaum India akan berkurangan dan ini bahaya kerana boleh menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya akan datang. Apa yang dilakukan Hindraf adalah kerana mereka marah kerajaan tidak membantu golongan India. Sedangkan masyarakat India telah banyak dibantu oleh Kerajaan Pusat melalui MIC tetapi ia tidak sampai kepada masyarakat. Sekarang mereka sudah tahu siapa sebenarnya yang menjadi masalah kepada masyarakat India dan tarikh 30 Mei ini (hari ini) akan menjadi bukti mereka kembali memberontak sebagai mesej terhadap orang tertentu termasuklah komponen BN bahawa mereka tidak puas hati kepada Samy Vellu. Untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India sebelum pilihan raya akan datang Samy Vellu perlu diketepikan.
Tidakkah anda berasa bimbang tindakan ini boleh mengakibatkan karier politik terjejas?
MUGILAN: Apa yang saya lakukan ini tidak ada kepentingan sendiri. Kalau saya ada agenda sendiri pasti saya tidak akan menerima sokongan yang kuat seperti sekarang. Begitu juga jika gerakan ini didalangi oleh UMNO, tentunya masyarakat India tidak akan memberi sokongan yang amat memberangsangkan ini.
Saya pasti masyarakat India akan menyokong apa yang saya lakukan dan mahu memberi mesej yang jelas kepada beliau. Saya sendiri pun tidak tahu adakah saya berada di dalam MIC selepas ini atau pun apakah saya masih berada dalam politik selepas Samy Vellu berundur nanti. Niat utama saya hanya satu sahaja iaitu mahu menumbangkan Samy Vellu.
Gangga Negara..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan