SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Khamis, 15 Julai 2010

Air mata Tyson gugur di Kaabah!

DI saat Afrika Selatan menjadi kiblat ramai penduduk dunia yang ralit menyaksikan aksi-aksi hebat Piala Dunia 2010, lain pula kisahnya yang berlaku kepada seorang bekas atlet terkemuka dunia.

Peninju terkenal dunia yang juga bekas juara heavyweight, Mike Tyson, 44, tidak mempedulikan kemeriahan pesta bola sepak itu. Tumpuan kepada ibadat berkiblatkan Kaabah yang betul-betul berada di hadapan matanya.

Itulah pertama kali Tyson mengerjakan ibadah umrah di Mekah dan Madinah sehingga air matanya tertumpah di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Umum mengetahui beliau memeluk Islam ketika dalam penjara pada tahun 1995 atas kesalahan merogol bekas Ratu Cantik Amerika, Desiree Washington.

Sejak itu beliau tidak lagi mahu dikenali dengan nama sebenarnya Michael Gerard Tyson, tetapi sebagai Malik Abdul Aziz sejurus memeluk Islam.

Ia sekali gus tidak mahu dirinya dikaitkan dengan pelbagai gelaran sebelum ini termasuklah Iron Mike, The Baddest Man on the Planet, The Baby Bull dan Kid Dynamite.

Juara kategori heavyweight sebanyak 44 kali dari 58 perlawanan itu memeluk Islam dengan kerelaan sendiri.

Namun pengislaman Tyson sering dipersoalkan. Bukan sahaja perwatakannya dilihat tidak berbeza sebagaimana sebelum memeluk Islam, ada pula yang berusaha supaya peninju yang terkenal dengan aksi yang cukup menakutkan lawan itu kembali ke agama asal.

Malah perjalanan hidup Tyson sebagai seorang Islam juga jarang-jarang diketahui umum.

Kali terakhir kita mendengar kisahnya ialah apabila tragedi yang menyayat hati berlaku kepada anak perempuannya, Exodus, 4.

Anaknya meninggal dunia akibat leher terbelit tali pada sebuah alat senaman treadmill dalam kemalangan yang tidak diduga pada Mei 2009.

Tidak dapat dibayangkan betapa sedihnya Tyson apabila kehilangan anak perempuannya itu.

Bercakap soal anak, beliau dikatakan mempunyai tujuh orang anak. Namun daripada sumber yang boleh dipercayai, perkahwinan pertamanya dengan artis Robin Givens pada tahun 1988 tidak dikurniakan anak.

Selepas bercerai, Givens melempar pelbagai tuduhan terhadap Tyson sebagai seorang yang ganas, bagaikan hidup dalam neraka sepanjang perkahwinan mereka sehingga menyebabkan beliau pernah keguguran.

Mengenai dakwaan Givens itu, Tyson pernah berkata: “Sesiapa yang mempunyai akal yang waras pasti tahu kalau benar saya hendak menumbuk isteri saya sendiri pasti kepalanya akan tercabut dari badan (akibat kuatnya tumbukan). Semua ini hanya tipu belaka, dia menipu. Sedangkan hujung jari pun saya tidak pernah berkasar dengannya”.

Tyson kemudiannya mengahwini Monica Turner pada 1997 tetapi berakhir dengan perceraian pada tahun 2003.

Sebabnya, Turner tidak tahan dengan perangai Tyson yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sepanjang lima tahun perkahwinan mereka. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Rayna dan Amir.

Sehinggalah selepas 10 hari kematian Exodus, Tyson dilaporkan mengahwini isteri ketiganya, Lakiha Spicer, 32, teman wanita lamanya yang sebelum ini mereka telah mempunyai anak perempuan bernama Milan.

Tiga lagi anak Tyson ialah D’Amato dan Mikey yang masing-masing lahir pada tahun 1990. Miguel yang lahir 2002 bersama Exodus yang meninggal dunia pula tidak diketahui siapakah ibu kandung mereka.

Namun kini dikatakan anak-anak itu adalah dalam jagaan Tyson.

Pada awal Mei lalu, Tyson berkata: “Saya kini benar-benar hidup dalam keadaan papa kedana malah muflis. Tetapi saya mempunyai kehidupan yang sangat mengagumkan.

“Saya mempunyai isteri yang hebat, yang begitu mengambil berat mengenai saya. Walaupun hidup tidak semewah dahulu tetapi saya sangat bersyukur walaupun saya sebenarnya tidak berhak untuk mempunyai seorang isteri dan anak-anak. Mereka kini harta saya dan saya bersyukur dengan pemberian tuhan ini.”

Namun sejak memeluk Islam, Tyson pernah mengaku perkara yang paling ditakuti dalam hidupnya kini ialah Allah.

“Saya takut kepada Allah. Saya tahu saya banyak buat perkara yang jahat dan salah yang kesemua itu hanya melayakkan saya masuk dalam neraka sahaja. Namun saya tetap memohon keampunan daripada-Nya setiap hari,” kata Tyson yang menggemparkan peminat sukan tinju apabila menggigit telinga lawannya.

Namun tahukah anda terdapat petikan yang menarik daripada Tyson apabila bercakap soal agama?

“Masing-masing berkata mereka mempercayai tuhan tetapi mereka tidak melakukan apa yang tuhan suruh, tidakkah itu hipokrit namanya,” soalnya.

Atas kesedaran dan keinsafan, buat pertama kalinya Tyson menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah pada awal Julai lalu melalui Pertubuhan Dakwah Kanada (CDA) yang memberi peluang kepada bekas peninju itu berada di sana selama sebulan.

Beliau bukan sahaja berpeluang mengerjakan ibadat umrah malah akan dibawa bertemu para pemimpin dan tokoh agama Arab Saudi selain melawat pelbagai tempat menarik bagi memperkenalkan budaya dan tradisi setempat.

Tidak dinafikan setiba beliau di Madinah, Tyson dengan cepat menjadi perhatian para jemaah dan penduduk kota itu yang menyebabkan kawalan ketat terpaksa dilakukan.

Namun sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media, Tyson mengakui mendapat pelbagai pengalaman rohaniah selama berada di bumi suci Islam itu.

“Saya sungguh gembira kerana masih mempunyai para peminat yang mengasihi saya di Arab Saudi ini. Tetapi saya berharap mereka dapat meninggalkan saya sendirian untuk menikmati saat-saat keimanan yang sungguh indah di tanah suci ini.

“Saya tidak mampu menahan air mata ketika mengetahui saya berada di salah satu taman-taman syurga (raudah) di sini,” ujarnya terharu ketika berada di Masjid Nabawi.

Sebagaimana gambar yang dikirimkannya sendiri melalui Twitter, Tyson kelihatan begitu gembira berada di hadapan Kaabah. Air mukanya jelas membayangkan kegembiraan yang sukar untuk diungkapkan melalui kata-kata.

Antara komen yang menarik ditulis pada gambar tersebut, termasuklah: “Saudara Mike, apabila berada di hadapan Kaabah ini, anda kelihatan begitu gagah perkasa dan sangat hebat yang pernah saya lihat sepanjang usia anda. Anda adalah lelaki yang paling kuat di dunia apabila anda adalah yang paling sujud ke bumi menyembah Allah!”

Tumbukan ‘TKO’ Mike Tyson kini tinggal sejarah namun Malik Abdul Aziz yang berjubah dan berkopiah kelihatan lebih gagah. Semoga imannya juga sehebat si kulit hitam, Bilal bin Rabah!

Sumber : Utusan
Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan