SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Isnin, 26 Julai 2010

Isu HALAL : PappaRich cawangan Kepong ditutup!

Rangkaian kopitiam terkenal, PappaRich mengambil tindakan tegas menutup cawangannya di Kepong berkuat kuasa hari ini. Eksekutif Bahagian Halal, Komunikasi Korporat PappaRich, Mohd. Nur Azrul Nordin berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perjumpaan pihak ibu pejabat dan juga pemilik cawangan terbabit.

"Tindakan tersebut dilakukan setelah mengambil kira kepentingan umum dan juga nama baik syarikat. "Buat masa ini, pihak kami akan menunggu laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai kesahihan bekalan ayam yang diterima oleh cawangan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu, premis terbabit diserbu Jakim kerana mendapatkan bekalan ayam daripada sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam. Ia terbongkar selepas pasukan penguat kuasa jabatan itu melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf Jakim di Jinjang, Rabu lalu.

Dalam pemeriksaan itu, Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli melibatkan kopitiam berkenaan. Menurut Azrul, pihaknya juga akan memantau kesemua cawangannya di seluruh negara dari semasa ke semasa. "Kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau segenap aspek bagi mengelak perkara ini daripada berulang.

"Malah, kami juga akan memastikan cawangan-cawangan yang lain memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh ibu pejabat," jelasnya. Sementara itu, pihaknya masih lagi dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi kesemua cawangannya menerusi badan penasihatnya, Halal Industry Development Corporation (HDC).

Menurut beliau, semua cawangan PappaRich lain tidak mempunyai masalah serta menjalankan perniagaan mengikut prosedur halal. Berikutan itu, Azrul berharap orang ramai tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke cawangan-cawangan PappaRich yang lain.

Sebelum itu : PappaRich akui cawangan diserbu!!!

Rangkaian kopitiam terkenal, PappaRich mengakui sebuah cawangannya di Kepong yang diserbu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin, mendapat bekalan ayam dari sebuah syarikat penyembelihan bukan Islam. Menurut Eksekutif Bahagian Halal, Komunikasi Korporat PappaRich, Mohd. Nur Azrul Nordin, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai apa yang dilakukan oleh premis di Kepong tersebut.

"Urusan pembelian ayam tersebut telah dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada ibu pejabat PappaRich."Kami cuma tahu mengenai perkara itu selepas serbuan dan apabila diajukan kepada cawangan tersebut, mereka memberitahu bekalan daging ayam telah habis dan pihak pengurusan di premis tersebut mendapatkannya daripada pembekal lain,'' katanya ketika dihubungi.

Ia terbongkar selepas pasukan penguat kuasa Jakim melakukan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf Jakim di Jinjang, Rabu lalu.Dalam pemeriksaan itu, Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli melibatkan kopitiam berkenaan.

Menurut Mohd. Nur Azrul, pihaknya telah pun mengatur satu pertemuan bersama pemilik cawangan tersebut bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya dan menegaskan, pihaknya memandang serius mengenai isu ini."Kami akan mengambil tindakan sekiranya ia terbukti benar selain menjelaskan kepada umum terutama kepada para pelanggan setia kopitiam itu," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ibu pejabat PappaRich kini dalam proses mendapatkan sijil dan logo halal daripada Jakim bagi kesemua cawangannya di seluruh negara."Sebelum ini kami menggunakan sijil halal daripada agensi swasta, South East Asia (SEA) tetapi kini kami cuba mendapatkan kelulusan daripada pihak Jakim pula," katanya.

Menurut beliau, semua cawangan PappaRich lain menjalankan perniagaan dengan menggunakan prosedur yang halal. Berikutan itu, Azrul berharap agar orang ramai tidak akan berasa bimbang untuk berkunjung ke cawangan-cawangan PappaRich yang lain.

Gangga Negara..

5 ulasan:

  1. Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri berhak mengeluarkan sijil dan logo halal apabila pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 diluluskan akhir tahun ini.

    Sehubungan itu, Jakim perlu membuat persediaan rapi dengan menambah bilangan anggota penguatkuasanya sebaik sahaja pindaan diwartakan.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, logo halal boleh dikeluarkan oleh syarikat terpilih dengan syarat segala peraturan yang terdapat dalam akta berkaitan halal diikuti oleh pemohon.

    "Saya harap dengan pindaan Akta Perihal Dagangan itu, Jakim dan jabatan agama Islam negeri dapat mempercepatkan proses pengeluaran sijil dan logo halal kepada pemohon bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kesahihan logo itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau mengulas masalah kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta untuk pelbagai jenis produk makanan dan restoran sejak kebelakangan ini.

    Katanya, dengan pindaan akta itu, kementerian akan mendaftarkan cap dagangan pada logo halal keluaran Jakim supaya tiada pihak yang boleh melakukan peniruan.

    Dengan pindaan itu juga kata Ismail Sabri, enam syarikat yang mengeluarkan sijil halal kepada pengusaha dan pemilik produk makanan termasuk Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Majlis Penyelidikan Makanan Islam (IFRC), SAS-H Consultancy, Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak, Majlis Makanan Halal Asia Tenggara dan IFANCA International terpaksa menghentikan peranan tersebut.

    Beliau menjelaskan, kerajaan membenarkan beberapa pihak mengeluarkan sijil halal untuk mempercepatkan proses permohonan syarikat dan pengusaha makanan halal selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal.

    Katanya, sijil halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta itu bagaimanapun menimbulkan kekeliruan dan ketidakyakinan pelanggan terhadap kesahihannya.

    "Masalah keyakinan pelanggan terhadap logo halal semakin teruk berikutan terdapat beberapa syarikat yang menggunakan logo halal palsu," ujarnya.

    BalasPadam
  2. Alasan yang di berikan oleh pengusaha kopitiam..

    Beberapa pengusaha kopitiam hari ini meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melonggarkan prosedur mendapatkan sijil halal yang ketika ini dianggap terlalu merumitkan.

    Pemilik kopitiam Uncle Lim's Cafe, Datuk Goh Seng Toh turut mendakwa ramai pemilik kopitiam sukar mendapatkan kerjasama Jakim dalam berurusan bagi memperoleh sijil halal.

    "Permohonan yang ditetapkan pihak Jakim melecehkan, pengusaha terpaksa mengisi butir-butir yang tidak munasabah di samping menyenaraikan setiap bahan yang digunakan.

    "Contoh mudah adalah seperti gula dan juga belacan, sudah tentu pengusaha kopitiam mengambil bahan tersebut daripada pembekal yang diakui halal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Menurutnya, Jakim seharusnya membantu memudahkan proses permohonan kerana ia melibatkan orang Islam yang semakin gemar berkunjung ke kopitiam.

    "Disebabkan ketidakcekapan Jakim, kami mengambil keputusan untuk mendapatkan sijil halal daripada agensi swasta," jelasnya.

    Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Pengurus Operasi Kluang Station, Phun Jun Jin, yang mencadangkan Jakim menubuhkan satu jawatankuasa bagi memudahkan proses permohonan sijil halal melalui pemberian maklumat yang berkesan dan jelas.

    "Jika pihak Jakim tidak memudahkan proses pemberian status halal ini, mungkin sampai bila-bila isu ini akan berlarutan," katanya.

    Menurut Jun Jin, sebelum ini pihaknya menerima pelbagai tawaran daripada agensi swasta yang menawarkan sijil halal.

    "Namun pihak kami enggan untuk mendapatkan sijil tersebut kerana tidak mahu menipu pelanggan menggunakan sijil halal yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

    "Kami juga sukar untuk mendapatkan status halal Jakim kerana proses permohonan yang kurang jelas," katanya.

    BalasPadam
  3. Tindakan pihak pengurusan rangkaian kopitiam terkenal, PappaRich menutup cawangannya di Kepong, semalam sehingga pihak syarikat berpuas hati dengan pematuhan piawaian halal ditetapkan.

    Eksekutif Bahagian Halal, Komunikasi Korporatnya, Mohd. Nur Azrul Nordin berkata, pada masa ini, kopitiam francais milik syarikat tersebut telah diambil alih pihak korporat PappaRich.

    Katanya, pihaknya turut telah mengubah suai struktur operasi kopitiam tersebut daripada pembelian sehingga penyediaan makanannya.

    "Syarikat sama sekali tidak berkompromi dan memandang remeh dalam isu halal. Kita juga sedang memantau secara dekat, semua 40 rangkaian kopitiam PappaRich lain.

    "Saya juga menafikan pihak korporat PappaRich menyedari dan membenarkan restoran francais miliknya itu mendapatkan sumber makanan daripada pihak tidak diiktiraf Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya di sini hari ini.

    Beliau mengulas tindakan pihaknya menutup sementara operasi cawangan PappaRich di Kepong berkuat kuasa semalam kerana timbul keraguan terhadap operasi dijalankan pihak kopitiam itu.

    Jumaat lalu, cawangan tersebut telah diserbu selepas Jakim menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli ketika melakukan pemeriksaan di sebuah syarikat penyembelihan ayam bukan Islam yang tidak diiktiraf jabatan itu di Jinjang, Rabu lalu.

    Mohd. Nur Azrul turut menjelaskan, pihak PappaRich mempunyai senarai lengkap pembekal bahan mentah yang diiktiraf oleh pihak PappaRich untuk semua rangkaian kopitiam mereka di seluruh negara.

    "Operasi mereka juga tidak terjejas kerana didapati mematuhi piawaian halal ditetapkan," ujar beliau.

    Mengenai siasatan Jakim terhadap cawangannya di Kepong, beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan pegawai di jabatan itu dan sedang menunggu keputusan pihak terbabit.

    BalasPadam
  4. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meminda Akta Perihal Dagangan 1972 bagi menaikkan kadar denda kepada individu atau syarikat korporat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang sah.

    Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini bagi membolehkan ia dikuatkuasakan bermula awal tahun depan.

    Menurutnya, dalam cadangan ini, individu dan syarikat yang didapati bersalah akan didenda RM100,000 dan RM250,000 beserta tiga tahun penjara.

    “Bagi kesalahan kali kedua, kadar denda akan dinaikkan kepada RM500,000 untuk individu dan RM1 juta kepada syarikat korporat dengan lima tahun penjara.

    “Manakala bagi kesalahan seterusnya, mereka akan dikenakan denda sebanyak RM1 juta dan RM5 juta bersama 10 tahun penjara,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan projek perumahan Casabella@Grandville di sini hari ini.

    Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Ismail Sabri menyatakan hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhak mengeluarkan sijil halal apabila akta tersebut dipinda tidak lama lagi.

    Tambah Ismail Sabri, piawaian halal bukan hanya berkaitan makanan sahaja sebaliknya meliputi produk kecantikan wanita.

    “Isu halal ini tidak boleh diambil mudah. Ia melibatkan aspek agama. Justeru, saya mahu semua pihak termasuk pengusaha restoran dan pengguna mengambil serius hal ini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengharapkan pihak Jakim mengambil berat segala rungutan pemohon termasuk kesukaran dan kelewatan proses mendapatkannya.

    “Bagaimanapun orang ramai perlu tahu, proses pemberian sijil dan logo halal bukan mudah.

    “Ia perlu dipastikan menepati piawaian halal dengan maksud yang sebenar, bukan dengan melalui panggilan telefon sahaja,” jelasnya.

    BalasPadam
  5. Kerajaan tidak akan melonggarkan prosedur sedia ada bagi mendapatkan sijil halal walaupun beberapa pengusaha kopitiam mendakwa peraturan tersebut merumitkan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tiada sebab untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melonggar prosedur yang ditetapkan kerana soal halal adalah tuntutan agama.

    "Ini bukan soal remeh-temeh, ini prosedur. Kita tidak mahu Jakim menipu rakyat dan agama jika kita bagi sijil tetapi syarikat itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Ini kewajipan, samalah kalau nak dapatkan ISO 2000, kena memenuhi kriteria prosedur ISO.

    "Bila kita menyebut halal, ia bermaksud tidak boleh ada satu peratus pun perkara yang tidak halal. Dalam isu ini, semua sekali perlu dipastikan halal barulah sijil boleh dikeluarkan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pengusaha kopitiam supaya prosedur sedia ada dalam memohon sijil halal dipermudahkan.

    Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung cadangan penubuhan Organisasi Zakat Antarabangsa (IZO), di sini hari ini.

    Dalam pada itu Jamil Khir menempelak para pengusaha yang mengambil jalan mudah dengan mendapatkan sijil 'halal' daripada syarikat swasta, tetapi apabila masyarakat Islam hilang keyakinan, pihak berkuasa pula yang hendak dipersalahkan.

    Katanya, Jakim tidak pernah mengiktiraf mana-mana syarikat swasta yang mengeluarkan sijil halal kerana mereka berasaskan keuntungan, berbeza dengan organisasi itu serta jabatan agama Islam negeri yang berorientasikan tuntutan agama.

    "Sebab itu bila mereka pergi kepada syarikat swasta dan kemudian tengok apa yang berlaku? Syarikat swasta memang bagi sijil tetapi akhirnya ayam pun tidak disembelih, jadi adakah itu yang kita hendak?" katanya.

    "Saya nak tekankan di sini, orang yang keluarkan sijil tetapi akhirnya menyebabkan keyakinan masyarakat Islam hilang, kedua-dua pihak bertanggungjawab (syarikat swasta dan pengusaha). Ini bukan lagi soal remeh-temeh tetapi menipu orang," jelasnya.

    Sementara itu, mengenai cubaan untuk menghidupkan semula pergerakan Al-Arqam oleh isteri kedua Asaari Mohamad, Hatijah Aam melalui ajaran sesat Ummu Jah, beliau berkata, pihak Jakim dan jabatan agama Islam negeri sedang memantau dengan rapi perkara itu.

    Ditanya sama ada Jakim akan menahan Hatijah dalam dalam masa terdekat, Jamil Khir memberitahu, pihaknya memerlukan masa bagi mengumpul segala bukti sebelum tindakan perundangan dapat diambil.

    BalasPadam