SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Sabtu, 10 Julai 2010

Kerja kuat tarik belia Melayu daftar undi!!

SEJAK musim Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008 lagi, kita sudah tahu hampir dua juta orang Melayu yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih? Setelah dua tahun berlalu, mengapa masih mendendangkan lagu sumbang yang sama, sedangkan tiada usaha mengatasi gejala tersebut?

Pertama, suka atau tidak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pihak pertama yang perlu bertanggungjawab. Mengapa sejak selepas PRU-12 tidak digiatkan kempen kesedaran yang agresif bagi menarik golongan muda untuk mendaftar? Mengapa iklan mengajak rakyat sedar akan kepentingan mengundi hanya pada musim mengundi sahaja dan tidak dijalankan secara konsisten sepanjang masa?

Kebetulan, ratusan ribu pelajar baru telah mendaftar di semua universiti awam tempatan. SPR digesa agar turun padang 'memujuk' mereka dengan berkempen dan membuka kaunter bagi mendaftarkan mereka yang layak sebagai pemilih. Prosedur pendaftaran pemilih juga perlu dipermudah. Jika orang asing dengan senang dapat masuk ke negara ini melalui permit visa waktu ketibaan (VOA), mengapa SPR tidak mencari mekanisme yang dapat memudahkan warganegara kita sendiri untuk mendaftar sebagai pemilih?

Kedua, para pemimpin Melayu cukup-cukuplah berbalah sesama sendiri, usah diperbesarkan hal remeh dan bersifat peribadi. Belia muda Melayu yang sudah terdedah dengan dunia teknologi maklumat hasil usaha pemimpin Melayu sudah bosan melihat pemimpinnya tidak langsung ada penegasan dan kesungguhan untuk membela dan meningkatkan mutu hidup bangsanya sendiri, lantaran terlalu lemah dan apologetik terhadap desakan kaum lain.

Tidak hairanlah apabila ada antara belia menganggap apa guna mengundi tetapi hidup semakin perit setiap hari? Oleh itu, pemimpin Melayu perlu peka keperluan belia bangsanya. Optimumkan segala jabatan, agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk pendidikan dan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada belia Melayu. Buktikan bahawa tindakan mereka untuk mendaftar sebagai pengundi bukan suatu yang sia-sia bagi masa depan mereka.

Ketiga, penekanan kepada aspek pendidikan Bahasa Melayu, Sastera dan Sejarah. Pada ketika ada usaha yang mahu mengkaji UPSR dan PMR, ada baiknya dalam masa sama komponen ketiga-tiga bidang itu turut diberi tempat dalam kurikulum atau penilaian yang bakal dilaksanakan selepas ini.Ini kerana belia Melayu yang tidak ada kesedaran terhadap bahasa, sastera dan sejarah akan menjadikan mereka sifar jati diri dan tiada perasaan bangga pada bangsa, lalu menjadi mangsa yang lemah, tiada maruah dan pendirian sehingga berbuat apa sahaja sesuka hati.

Bahasa jiwa bangsa tetapi jika bahasa dan budaya Melayu dipandang sepi, maka sia-sialah bangsanya.Pemikiran belia muda Melayu melalui ketiga-tiga bidang itu perlu 'dibasuh' supaya mereka lebih kritis, kukuh pasak jati diri, tinggi maruah dan tahu memilih mana intan dan mana yang pasir.

Oleh itu, hentikan berkeluh-kesah dan khuatir tanpa ada kesungguhan mahu mengubahnya. Semua pihak mesti bekerja kuat atas kapasiti masing-masing bagi memastikan kelangsungan masa depan politik tanah air ini tidak berpindah ke tangan orang lain seperti apa yang telah berlaku di seberang Tambak Johor.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan