SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Khamis, 22 Julai 2010

Tuanku Ismail Petra dukacita sikap MB!

SULTAN Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang selesai menjalani rawatan susulan di Singapura diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan sikap Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, barisan Exco serta pegawai tertinggi kerajaan negeri kerana tidak menyambut keberangkatan pulang baginda daripada menjalani rawatan susulan di Singapura hari ini.

Rasa dukacita Tuanku Ismail itu dinyatakan oleh anakanda baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media lewat petang ini.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, ia merupakan satu tindakan biadab yang ditunjukkan oleh pembesar negeri ini ketika baginda berangkat pulang.

Beliau bagaimanapun berkata, Tuanku Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan kesihatan baginda supaya segera sembuh dan selamat kembali daripada menjalani rawatan tersebut.

“Keadaan kesihatan Tuanku berada pada tahap yang amat baik dan berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor-doktor pakar di Singapura, Tuanku mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat apa-apa keputusan dengan sendiri.

“Di sini, Tuanku ingin menzahirkan rasa dukacita dan kekecewaan baginda dengan ketidakhadiran menteri besar, exco-exco negeri Kelantan termasuk juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri untuk menyambut keberangkatan pulang baginda.

“Tindakan ini adalah satu tindakan yang amat biadab dan diharapkan tidak berulang lagi,” katanya.

Tuanku Ismail selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira pukul 1.20 petang ini selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.

Baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan anakanda baginda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry.

Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Tuanku Ismail ialah kekanda baginda, Tengku Salwani, Tengku Merjan, Tengku Rozan dan kerabat baginda yang lain kecuali Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Bagaimanapun tidak kelihatan pembesar negeri termasuk Nik Abdul Aziz dan barisan exco kerajaan negeri menyambut kepulangan baginda.

Sebelum ini, krisis Istana Kelantan mencetuskan polemik yang berpanjangan termasuk tindakan pihak berkuasa yang menggunakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ketika dalam perjalanan dari Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum berangkat ke Hospital Mount Elizabeth pada 4 Mei lalu.

Pada masa yang sama, banyak pihak menuding jari kepada Nik Abdul Aziz kerana gagal melaksanakan tugas memberikan nasihat kepada institusi diraja tersebut untuk menyelesaikan kemelut itu sehingga ia berlarutan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bagaimanapun menjawab ‘senyap adalah nasihat’, disebabkan itu beliau mengambil sikap mendiamkan diri kerana menganggap isu tersebut hanya melibatkan masalah kekeluargaan.

Sementara itu : Pengelola Istana tidak dibenar buat kenyataan?

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Singapura, bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

Peringatan itu dititahkan oleh Tuanku Ismail sendiri melalui Doktor Pakar Peribadi baginda, Kolonel Dr. Amir Ramli sekembali baginda dan rombongan dari Singapura hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Dr. Amir dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr.Amir, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail untuk 'menasihatkan' Abdul Halim dan semua anggota di bawah seliaannya yang sedang berkhidmat di Istana Kelantan supaya tidak membuat apa-apa kenyataan akhbar mengenai kesihatan dan rawatan yang telah dilakukan oleh baginda di Singapura tempoh hari.

Beliau berkata, langkah itu diambil kerana Abdul Halim tidak mengikuti rombongan tersebut dan tidak berada di Singapura.

"Beliau juga tidak pernah berhubung atau dihubungi oleh mana-mana pihak dari rombongan perubatan Tuanku yang bertugas di sana. Ia ditakuti akan menyebabkan kenyataan akbar beliau nanti tidak tepat dan mengelirukan masyarakat umum.

"Memandangkan Abdul Halim bukanlah doktor perubatan, maka ada ketikanya kenyataan akhbar beliau telah melanggari etika perubatan pesakit dan mengaibkan Sultan Kelantan dan keluarga baginda.

"Pada masa yang sama, Sultan Kelantan juga murka kerana Abdul Halim atau wakilnya tidak pernah datang menjenguk baginda di Istana Mahkota sejak keberangkatan pulang Tuanku pada Mac lalu," katanya.

Tuanku Ismail selamat tiba di negeri ini kira-kira pukul 1.20 petang selepas menerima rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura sejak 15 Julai lalu.

Baginda diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan dua anakanda baginda iaitu Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Temenggung Kelantan.

Turut berada di lapangan terbang bagi menyambut kepulangan Tuanku Ismail ialah kekanda baginda, Tengku Salwani, Tengku Merjan, Tengku Rozan dan kerabat baginda yang lain kecuali Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Dalam kenyataan itu juga, Dr. Amir turut memaklumkan bahawa keberangkatan pergi dan balik Tuanku Ismail tidak pernah diuruskan oleh Abdul Halim.

Sebaliknya kata beliau, ia dikendalikan oleh Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Wan Hashim Wan Daud dan beberapa individu lain melalui Jabatan Perdana Menteri serta beberapa saluran setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat baginda tidak lama dahulu.

"Jika Abdul Halim masih berminat juga menguruskan urusan rombongan perubatan Sultan Kelantan ini, hanya urusan pembayaran balik bil hospital dan penginapan kepada Tengku Temenggung yang belum selesai.

"Ini memandangkan bayaran bil hospital dan hotel telah dibayar oleh Tengku Temenggung menggunakan wang poket baginda sendiri. Urusan-urusan lain telah dapat diselesaikan oleh pihak kami dengan baik dan teratur," katanya.

Gangga Negara..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan