SELAMAT DATANG

KE PORTAL GANGGA NEGARA - BLOG UMNO BERUAS


Jumaat, 30 Julai 2010

Selamat Menyambut Hari Pahlawan .

Tingkat semangat, imej pahlawan negara

MEMBELA agama, bangsa dan negara dengan segala kemampuan yang ada adalah satu kewajipan yang dituntut dalam Islam. Mempertahankan agama dan negara bukanlah satu perkara yang mudah sekiranya tidak ada persediaan rapi dilakukan.

Perancangan rapi dan usaha-usaha ke arah menyediakan kemampuan pertahanan mesti dilakukan secara berterusan demi memastikan pihak-pihak yang terlibat sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan musuh-musuh agama dan negara.

Pihak yang terlibat dalam usaha mempertahankan agama dan negara tidak semestinya sebuah institusi atau kumpulan berpakaian seragam seperti tentera, polis, bomba dan sebagainya tetapi individu juga tidak terkecuali daripada usaha menyelamatkan negara sama ada daripada ancaman berbentuk politik, ekonomi dan sosial.

Seseorang yang berjaya mempertahankan agama, negara dan bangsa sama ada secara bersendirian mahupun melalui organisasi digelar pahlawan ataupun perwira negara. Di Malaysia, Hari Pahlawan disambut pada setiap 30 Julai setiap tahun bagi mengenang jasa dan bakti para pahlawan yang gugur semasa menabur bakti mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Ini adalah pengorbanan tertinggi dalam hidup seorang manusia yang tidak semua orang boleh menikmatinya. Seseorang yang berjihad di jalan Allah SWT dengan sebenar-benarnya akan mendapat kehidupan mulia di syurga kelak sebagai balasan pengorbanannya. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebahagian daripada pendapatan negara untuk menyediakan kelengkapan pertahanan dan menjaga keselamatan negara.

Oleh sebab itu, seseorang pejuang mesti memiliki iman, akal budi dan semangat jati diri yang tinggi berlandaskan ketaatan kepada Allah SWT dan rasul-Nya sebelum betul-betul layak mempertahankan agama dan negaranya. Sekiranya unsur kerohanian ini tidak ada dalam jiwa raga seorang perajurit, maka pengorbanannya sama sahaja seperti orang kafir yang bertindak mengikut hawa nafsu dan dorongan keduniaan. Pengorbanan sebegini tidak tergolong dalam jihad ke jalan Allah kerana terpesong daripada agenda sebenar menjaga keamanan dan kemaslahatan umat.

Dalam konteks menaikkan imej seorang pahlawan dan pengorbanan mereka, negara-negara Islam seharusnya mencontohi negara-negara Barat dalam banyak hal bagaimana mereka berjaya meningkatkan dan menyediakan sukarelawan yang mencukupi, bukan sahaja dari segi jumlahnya, malah kekuatan semangat mereka.

Negara-negara Barat bukan sahaja berjaya melengkapkan pertahanan mereka dari segi kelengkapan fizikal, malah usaha-usaha menaikkan martabat dan imej institusi pertahanan negara juga berjaya menarik ramai belia berpandangan positif terhadap kerjaya itu.

Kejayaan dari segi ini merupakan satu aset berguna kepada agama dan negara yang wajar dicontohi oleh negara-negara Islam yang selalu ditindas dan diperalatkan oleh musuh serta jauh ketinggalan dalam aspek tersebut.

Di negara-negara Barat, usaha mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan adalah satu perkara yang luar biasa sambutannya. Kebanyakan negara ini memberi hari cuti umum bagi memberi ruang pengisian aktiviti untuk mengenang jasa dan bakti pahlawan-pahlawan mereka yang gugur dalam medan peperangan semasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Pelbagai aktiviti dan upacara peringatan dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh kerajaan bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya pengorbanan rakyat mempertahankan negara. Anugerah kehormat, pingat penghargaan tertinggi negara dan kutipan sumbangan untuk dana perwira diadakan bagi memastikan keluarga mereka dapat merasai pengorbanan yang telah disumbangkan.

Sambutan Hari Pahlawan di negara-negara Barat merupakan satu usaha penting bagi meningkatkan imej kerajaan dan instrumen pertahanannya serta mengenang pengorbanan individu yang berkorban demi negara dan rakyat. Hari-hari mengenang kepahlawanan negara seperti ANZAC Day di Australia dan New Zealand, Veteran's Day di United Kingdom, Volkstranertag di Jerman, dan Memorial Day di Amerika Syarikat begitu terkenal di seluruh dunia sekali gus membuktikan bagaimana perkasanya negara-negara ini dalam jati diri mempertahankan kepentingan tanah air mereka.

Sambutan sebegini berjaya menaikkan semangat warganegara mereka sekali gus memperbaiki imej negara. Malangnya, dunia Islam amat ketinggalan dalam hal ini berbanding dengan Barat.

Keagungan pahlawan Islam yang dinamakan Salahuddin Al-Ayubi bukan sahaja berjaya mematahkan setiap serangan musuh dari bala tentera Perang Salib, malah terkenal dalam sejarah Barat atas sifat keberanian, ketokohan dan perikemanusiaan apabila beliau berjaya memberi pengajaran dan teladan kepada musuh-musuhnya tentang apakah ertinya budi bicara dan timbang rasa dalam peperangan.

Pembuat filem Hollywood telah membuka mata dunia dengan menerbitkan sebuah filem berkualiti yang menggambarkan ketokohan Salahuddin dalam filem popular The Kingdom of Heaven.

Amat kurang usaha-usaha dijalankan negara-negara Islam untuk mengenang jasa dan bakti para pahlawannya seperti Salahudin al-Ayubi. Negara-negara Islam hanya sibuk mengeluarkan fatwa mengharamkan sambutan upacara Hari Pahlawan yang sudah pernah dijalankan, tetapi pada masa yang sama tidak pula berusaha setimpal dengan upacara tersebut mengikut tradisi Islam.

Sudah sampai masanya negara-negara Islam memikirkan sesuatu untuk menaikkan imej pejuang-pejuang Islam serta negara Islam itu sendiri.

Zaman teknologi dan media massa yang canggih hari ini sepatutnya digunakan bagi membolehkan upacara sambutan Hari Pahlawan disebarluaskan untuk menaikkan semangat dan kesedaran rakyat tentang kepentingan pergorbanan mereka dalam mempertahankan agama dan negara.

Semangat sebegini harus ditiup ke dalam setiap lapisan generasi baru melalui media massa dan bukannya sekadar mengadakan majlis kecil-kecilan di masjid-masjid yang impaknya amat kecil kepada masyarakat.

Oleh yang sedemikian, sambutan Hari Pahlawan di Malaysia pada hari ini harus dianjurkan bagi membuka mata masyarakat dan menaikkan akal budi remaja.

Gangga Negara..

1 ulasan:

  1. Kerajaan hari ini memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata, pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia. Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri hari ini. "Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

    "Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

    Zahid berkata, perkara itu turut dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.

    Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata pihaknya akan menimbang cadangan bagi menjadikan dataran itu sebagai tempat perhimpunan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan negara.
    Menurut laman portal Majlis Fatwa Malaysia (http://e-fatwa.intranetportal.my), telah diwartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

    Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak. - Bernama

    BalasPadam